PENYANYI veteran, Yantzen tidak mahu mengulas lanjut mengenai penyakit yang dihidapinya sehingga menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk tidur.
Yantzen atau nama sebenarnya Yentzen Juniwan, 65, berkata perkara itu dihidapinya pada tahun lalu dan berlanjutan hingga ke hari ini.
“Saya cuba untuk memperbaiki diri dan terus terang saya pernah enam bulan tidak tidur. Sehingga sekarang ini saya masih sukar untuk tidur.
“Penyakit saya itu urusan antara saya dengan TUHAN. Saya tidak maklumkan kepada umum, jadi biarlah urusan itu saya dengan TUHAN saja yang tahu,” jelasnya ketika hadir ke rakaman Takbir Raya Rockers anjuran SIAR di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Insan itu juga tidak mengetahui sekiranya penyakit yang dihidapi itu terkait dengan perkara mistik.
“Kalau benda-benda mistik saya tak tahu, tapi saya ada lakukan perbuatan (rawatan) Islam. Cara saya mengubati itu antara saya dengan ALLAH,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Yantzen turut enggan mengulas lanjut mengenai tular video yang menunjukkan seperti keadaannya tidak sihat.
Katanya, tiada sebarang penjelasan mengenai perkara itu dan tidak ambil peduli tentang pandangan orang terhadap dirinya.
“Saya kalau cakap pun tak guna. Kalau saya beritahu pun ceritanya akan jadi dua hala. Jadi saya terserah kepada mereka untuk menilai.
“Saya tidak melatah dengan komen negatif kerana orang memang mudah menilai dengan apa yang dilihat. Segalanya hanya saya dan ALLAH yang tahu.
“Saya fokus dengan kehidupan sekarang dan bukan mereka yang memberi saya makan,” terangnya.
Sebelum itu, penyanyi lagu Meniti Suratan itu hangat diperkatakan selepas satu rakaman video tular memaparkan dirinya dipercayai dalam keadaan tidak sihat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram