Dan bila lagu jadi haram...


  • Hiburan
  • Khamis, 16 Mac 2023

Lagu popular seperti Kau Segalanya dan Kasih Kekasih antara yang pernah 'diharamkan'.

SELAIN filem, lagu juga merupakan salah satu medium buat khalayak untuk meluahkan perasaan mahupun pandangan tentang sesuatu perkara.

Hal itu tidak mengira sama ada sudut fahaman politik, hubungan kekeluargaan, pembakar semangat atau kisah percintaan. Segala perasaan itu ‘digaul’ sebati dalam bentuk kata-kata dan melodi.

Bagaimanapun terdapat beberapa buah karya tidak dapat diperdengarkan kepada khalayak disebabkan bertentangan dengan perkara yang dikhuatiri menyentuh sensitiviti masyarakat.

Berikut senarai lagu yang dipernah ‘digam’ atau dilarang bersiaran secara umum berdasarkan sebab-sebab tertentu:

Lagu: Kau Segalanya

Penyanyi: Ruth Sahanaya

majoriti2023 (15)

Lagu Kau Segalanya yang dihasilkan oleh Tito Seomarsono yang dihasilkan pada 1991 pernah ‘diharamkan’ di Malaysia kerana memiliki lirik lagu yang tidak bersesuaian dengan budaya, agama dan masyarakat.

Dalam lagu berkenaan, ada lirik yang dinyanyikan berbunyi; “Mungkin hanya TUHAN yang tahu segalanya.” Bait kata itu dilihat tidak bersesuaian dan bertentangan dengan budaya.

Bagaimanapun, lagu tersebut beberapa kali dinyanyikan semula oleh selebriti lain termasuk Datuk Siti Nurhaliza. Ketika beliau menyanyikan lagu itu, lirik ‘mungkin hanya TUHAN’ ditukarkan kepada ‘Yakin hanya TUHAN yang tahu segalanya’.

Disebabkan itu, lagu nyanyian penyanyi asal tidak dapat diputarkan di radio sehingga ke hari ini kecuali versi Malaysia nyanyian Siti Nurhaliza.

Lagu: 20/20

Penyanyi: KRU

majoriti2023 (17)

Pada 1992, lagu ciptaan kumpulan popular yang dianggotai oleh Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim bertajuk 20/20 pernah dilarang untuk dimainkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Difahamkan perkara tersebut dibuat kerana penggunaan bahasa rojak antara bahasa Melayu dan Inggeris dalam lagu tersebut.

Sekitar 1990-an, RTM tegas mempertahankan penggunaan bahasa Melayu dan melarang penggunaan lagu dan artis yang mempunyai unsur bertentangan dengan budaya serta agama.

Lagu: Kasih Kekasih

Penyanyi: In-Team

majoriti2023 (18)

Siapa sangka lagu nyanyian kumpulan nasyid turut berdepan dengan situasi tersebut.

Difahamkan lagu nyanyian kumpulan In-Team, Kasih Kekasih pernah dilarang untuk berkumandang di beberapa universiti dan kolej.

Cubaan In-Team yang ketika itu cuba tampil berbeza iaitu dengan mengetengahkan elemen cinta mendapat tentangan daripada segelintir pihak.

Lagu Kasih Kekasih itu dikatakan tidak boleh dipersembahkan secara umum.

Bagaimanapun, insiden yang berlaku sekitar 2015 itu tidak berlanjutan dan akhirnya pihak institusi pendidikan menerima lagu terbabit dengan hati terbuka.

Lagu: Selimut Putih

Penyanyi: Orkes Sinar Murni

majoriti2023 (16)

Lagu Selimut Putih nyanyian Orkes Sinar Murni merupakan salah satu karya yang turut dilarang untuk dimainkan di radio atau televisyen terutama di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Memetik laporan akhbar Berita Harian terbitan 5 September 1974, lagu yang dinyanyikan oleh Atikah Abdul Rahman dan Asmidar Darwis dengan iringan orkes dikatakan menakutkan.

Namun, tidak dijelaskan sama melodi atau lirik lagu terbabit menjadi punca ‘diharamkan’.

Lagu yang sarat dengan mesej kerohanian itu mengingatkan manusia tentang kematian dan melakukan amalan sebelum nyawa dicabut malaikat maut.

Lagu: Bongok

Penyanyi: Pretty Ugly

majoriti2023 (19)

Pada 2022, kumpulan Pretty Ugly meluahkan rasa terkilan apabila single mereka berjudul Bongok yang diterbitkan pada 2015 tidak mendapat sambutan.

Lagu terbabit kemudian ditukarkan kepada B oleh beberapa stesen radio sehinggalah secara diam-diam Bongok termasuk dalam senarai hitam.

Disebabkan itu secara perlahan-lahan lagu terbabit kurang mendapat sambutan dan seterusnya dibiarkan begitu saja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram