Hafidz Roshdi tak mengaku bersalah cederakan bekas isteri, mahkamah arah dapat rawatan di Hospital Tanjung Rambutan


Hafidz mengaku tidak bersalah cederakan Nurul Shuhada awal Mac lalu.

PELAKON Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu, Selangor atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali awal Mac lalu.

Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, membuat pengakuan tidak bersalah selepas dibacakan pertuduhan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib.

Mengikuti pertuduhan, Hafidz mencederakan Nurul Shuhada Mat Shukri di pipi kiri dengan menggunakan tangan iaitu menumbuk sebanyak tiga kali.

Kesalahan itu dilakukan di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada 2 Mac pukul 3.30 pagi.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman dan Nurul Qistina Qamarul Abrar selaku Timbalan Pendakwa Raya.

Hafidz yang diwakili oleh Datuk Akberdin Abdul Kader selaku peguam.

Dalam pada itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan satu penjamin bersama syarat tambahan mendapatkan rawatan dan laporan kesihatan di Hospital Tanjung Rambutan, Ipoh, dilarang mengganggu mangsa dalam apa juga bentuk dan menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Dalam pada itu, pelakon drama Tundukkan Playboy Itu dilaporkan menghidap kecelaruan bipolar dan menerima rawatan psikiatrik ketika kejadian berlaku.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Hafidz tiba di mahkamah dengan menaiki sebuah kenderaan pikap pada jam 8.32 pagi sebelum masuk ke kompleks mahkamah.

Untuk rekod, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2.

Pelakon itu menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu menerusi panggilan telefon di hadapan ahli keluarga.

Kemelut rumah tangga Shuhada menjadi bualan hangat selepas timbul dakwaan diganggu pihak ketiga.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram