Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota jawapan teka-teki Ella 'blackout' di Instagram


  • Hiburan
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Ella akan mengadakan konsert pada 10 Jun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil. 

SPEKULASI tindakan penyanyi, Ella yang memadam semua gambar di Instagram akhirnya terjawab apabila bintang rock terkenal itu mengumumkan akan mengadakan konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota pada 10 Jun depan.

WhatsApp Image 2023-03-10 at 01.35.17

Ella difahamkan akan mempersembahkan beberapa buah lagu popular sepanjang 35 tahun bergelar penyanyi.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 56, berkata, dia menafikan perkara tersebut sebagai gimik untuk meraih perhatian.

Sebaliknya, dia hanya ingin berehat dari media sosial buat sementara waktu.

Katanya, tindakan itu bertujuan untuk menghargai peminat dan ingin membuktikan kesungguhannya berterima kasih kepada mereka yang banyak menyokong.

“Jilid Akhir: Ella Puteri Kota ini saya dedikasikan buat semua peminat yang setia menyokong perjalanan seni saya selama ini. Tiada kata penghargaan yang dapat tandingi sekongan kalian semua.

“Kita sudah berbincang beberapa buah lagu yang akan dipersembahkan termasuk artis jemputan.

“Sekalipun ini merupakan jilid akhir konsert solo saya dalam skala besar sepanjang 35 tahun ini, namun saya percaya ia hanyalah permulaan baharu bagi penggembaraan kerjaya Ella,” ujarnya di Sidang Media Konsert Akhir :Ella Puteri Kota di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah itu bagaimanapun menafikan konsert tersebut menjadi persembahan terakhirnya.

“Ini bukan persembahan terakhir saya. Namanya jilid terakhir sebab itu tajuk buku yang saya terbitkan sepanjang kerjaya 35 tahun,” jelasnya yang turut melancarkan buku Rockers Juga Manusia Bahagian I.

Konsert tersebut dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama jenama RockQueen manakala tiket konsert mula dijual bermula 13 Mac pukul 12 tengah hari di www.hitmanlive.com.

Untuk rekod, antara lagu popular nyanyiannya ialah Sembilu, Tiada Tangis Lagi, Pengemis Cinta dan Baldu Biru.

Ella turut pernah membintangi filem arahan Datuk Yusof Haslam iaitu Pemburu Bayang, Hanya Kawan dan Bayangan Maut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram