Selain JDT jadi mangsa keganasan penyokong fanatik, 3 lagi kes serangan bas sukar dilupakan


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Kejadian cermin bas pecah akibat perbuatan khianat bukan perkara baharu dan seharusnya dihentikan oleh penyokong bersifat fanatik.

SEMANGAT penyokong yang hadir ke stadium bagi membakar semangat pemain pasukan kesayangan memang amat ditagih bagi setiap perlawanan.

Kehadiran mereka secara tidak langsung dapat menyuntik aura kemenangan sekali gus berjaya membantu kelab menjulang trofi yang menjadi rebutan.

Namun, sikap obses atau fanatik boleh mengundang padah sehingga mendatangkan kecederaan, kerugian dan malahan meragut nyawa.

Begitu juga kejadian yang menimba pasukan Johor Darul Takzim (JDT) apabila salah satu bas yang membawa peminat pecah dipercayai dibaling batu baru-baru ini.

Difahamkan kejadian tersebut berpunca daripada rasa tidak puas hati oleh penyokong Kuala Lumpur City yang tewas 0-3 dengan JDT dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

Segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawab bertindak luar kawalan apabila tidak dapat menerima kekalahan skuad di bawah kendalian Bojan Hodak.

Insiden tersebut bukan pertama kali berlaku kerana terdapat beberapa insiden lain yang menerima nasib sama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Selangor FC menentang Terengganu FC, November 2022

majoriti2023 (21)

Tahun lalu, insiden serangan bas turut berlaku apabila kenderaan yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC pecah akibat dibaling batu oleh penyokong Terengganu FC (TFC).

Peristiwa yang berlaku sekitar November 2022 itu berlaku di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu ketika perlawanan aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia.

Disebabkan kejadian tersebut, Pengurusan TFC mengecam perbuatan penyokongnya yang bertindak melampau.

Perak FC menentang Kelantan FC, Ogos 2022

majoriti2023 (22)

Perbuatan khianat penyokong Kelantan FC ketika perlawanan menentang Perak FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan berakhir dengan kekecohan dan aksi kepungan.

Difahamkan penyokong tuan rumah tidak berpuas hati setelah tewas 1-2 kepada pelawat.

Susulan daripada itu, Perak FC membuat laporan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPK), Kota Bharu.

Disebabkan itu juga, pemain Perak terpaksa berkampung dan tidak dibenarkan keluar dari bilik persalinan kira-kira dua jam ekoran bimbang tindakan ganas segelintir penyokong fanatik.

Pulau Pinang menentang Kedah, April 2016

majoriti2023 (23)

Insiden yang berlaku di Stadium Darul Aman, Kedah menyaksikan jurulatih penjaga gol Pulau Pinang ketika itu, Maquinshop Domingues Prep cedera selepas bas yang membawa skuad negeri itu dibaling batu.

Disebabkan kejadian itu, Maquinshop mengalami kecederaan pada lengan akibat terkena serpihan kaca bas yang dilempar dengan sembilan biji batu.

Perkara itu berlaku sebaik sahaja bas pasukan Pulau Pinang meninggalkan stadium selepas memperoleh keputusan seri 2-2 menentang tuan rumah dalam Liga Super pada April 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram