'Saya jaga aib awak', Hafidz Roshdi tulis surat terbuka untuk bekas isteri, dedah segala-galanya


  • Hiburan
  • Sabtu, 11 Mac 2023

Hafidz memuat naik kenyataan surat terbuka kepada bekas isterinya yang meminta berhenti mengeluarkan kenyataan yang dipercayai mempunyai unsur fitnah terhadapnya.

PELAKON Hafidz Roshdi memberi tempoh 48 jam kepada bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan yang dipercayai mempunyai unsur fitnah terhadap dirinya sekeluarga.

Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, berbuat demikian dalam satu kenyataan surat terbuka yang dimuat naik ke akaun Instagram miliknya pada Sabtu.

"Shu, saya jaga erat segala aib, kelemahan dan kekurangan awak sebagai isteri selama ini. Kita tidak sempurna. Saya hadap segala caci dan maki atas kelemahan dan kesilapan saya sendiri.

"Sebagai insan lemah kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Agak malang ia berlaku di luar kawalan," katanya.

Hafidz mendakwa, status Instagram Nurul Shuhada bertarikh 5 Mac juga mengaibkan keluarganya termasuk menuduh adiknya bersubahat serta mendakwa keluarganya bersifat toksik, sekali gus merupakan satu fitnah.

Rentetan itu, katanya, ada pihak menggunakan gambarnya sekali gus keselamatan dan kesejahteraan seluruh keluarga Hafidz terjejas.

Pada masa sama, Hafidz juga menyerahkan perkara itu kepada siasatan pihak polis sebelum kes dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi.

"Saya terpaksa mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap mereka yang telah menyentuh privasi dan maruah keluarga saya.

"Saya masih lagi abah kepada anak-anak saya. Keselamatan dan kesejahteraan mereka adalah objektif utama dalam hidup saya," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram