SELEBRITI senior, pelakon Salih Yaacob yang terkenal dengan karakter komedi mula menceburi bidang seni sekitar tahun 1980-an.
Tidak hanya berbakat dalam lakonan, malah dia turut bergelar pengacara dan penyanyi dengan memiliki lima buah album serta terlibat di lebih 10 buah filem.
Pengikut filem lama tentu sahaja mengenai namanya dan bukan sahaja kerap muncul dengan lelucon yang membuatkan penonton tidak kering gusi dibuatnya.
Tidak hanya itu, kebanyakan lagu yang dinyanyikan olehnya juga diselitkan dengan elemen lucu seperti Gali Lubang Tutup Lubang, Jangan Tak Jadi, Ada Tak Ada dan Pisang Panas.
Justeru, berikut Majoriti senaraikan filem yang dibintangi beliau sekali gus mengimbau semula kenangan dan nostalgia penonton:
Filem: Jejaka Perasan
Tahun: 1986
Filem Jejaka Perasan diarahkan oleh AR Badul yang mengisahkan tentang Dolah dan Dolit yang berusaha untuk mendapat kerja. Mereka akhirnya diberi peluang untuk bekerja di sebuah syarikat. Bagaimanapun, kedua-duanya menyamar menduduki jawatan tinggi di perusahaan tersebut sedangkan sebenarnya tidak.
Selain bertindak sebagai pengarah, AR Badul turut terlibat membintangi filem Jejaka Perasan bergandingan dengan Salih di samping barisan pelakon lain antaranya, Datuk ND Lala, Liza Abdullah, Hamid Gurkha, Ruminah Sidek, Mahmud June, Shah Rezza dan Ibrahim Pendek.
Filem: Keluarga 99
Tahun: 1987
Diarahkan oleh AR Badul, filem komedi terbitan 1987 ini dibintangi oleh Salih Yaacob, Puteri Salbiah, Mr Os, Maria Arshad, Amran Tompel, Yusni Jaafar, Yahya Sulong dan Sharifah Zai.
Mengisahkan tentang seorang peguam yang menguruskan perihal penceraian. Disebabkan sering mengenalikan kes-kes penceraian, perkara itu secara tidak langsung mewujudkan rasa bimbang dan fobia sehinggakan dia takut untuk berumah tangga.
Filem: Juara
Tahun: 1991
Naskhah arahan Yusuf Kelana diterbitkan pada 1991 menceritakan tentang Malek, Sidi, Busul dan Ira yang membawa haluan masing-masing setelah bapa mereka dimasukkan ke hospital sakit jiwa.
Bagaimanapun, Sidi diperalatkan oleh sindikit mencuri berlian lalu menghilangkan diri. Konflik bermula apabila penjenayah meminta agar Sidi bertarung dengan abangnya Malek.
Selain Salih, filem ini turut dibintangi oleh Datuk Malek Noor, Sidi Oraza, Juliza Adzlizan, M. Rojoli, Raja Azura dan A.Galak.
Filem: Janda Meletup
Tahun: 1990
Diarahkan oleh Z.Lokman dan dilakonkan oleh Salih Yaacob, Rosie Rashid, Chik Pak Man Telo, Zami Ismail, Rosnah Mat Aris, Accapan, Yahya Sulong, Norlia Ghani dan AR Badul.
Janda Meletup menceritakan tentang seorang wanita yang berstatus janda menjadi kegilaan jejaka di kampungnya. Kamil antara yang ingin mengahwini Rosnah sehingga sanggup mendapat bantuan daripada bomoh.
Filem: Konstabel Mamat
Tahun: 1992
Filem ini diarahkan oleh Z.Lokman merupakan sebuah karya komedi yang menceritakan tentang anggota polis bernama Mamat yang ditugaskan untuk menangkap penjahat yang merupakan bapa ayam dalam sindikit pelacuran di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Mamat jatuh cinta dengan seorang wanita yang juga merupakan teman wanita kepada salah seorang samseng bernama Mail Musang.
Diterbitkan pada 1992, filem ini dibintangi oleh Salih Yaacob, Datuk Ziela Jalil, Kuza, Latiff Ibrahim, Sidi Oraza dan Rosnah Mat Aris. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram