Ibu bapa perlu dorong anak 'jatuh cinta' dengan badminton — Daphne Ng


Daphne Ng yakin sokongan dan dorongan keluarga dapat membakar semangat kanak-kanak untuk bermain sukan badminton.

BEKAS pemain badminton kebangsaan, Daphne Ng yang kini berkhidmat sebagai jurulatih mengharapkan agar ibu bapa memberi peluang kepada anak-anak untuk mengetahui kemahiran mereka dalam bidang sukan.

Katanya, peluang harus diberikan kepada mereka agar negara dapat terus melahirkan pelapis baharu sekali gus mencipta nama dipersada antarabangsa.

Tambahnya lagi, teknologi digital khususnya kehadirian gajet menjadi antara kekangan untuk melahirkan generasi baharu yang optimis untuk melakukan aktiviti fizikal seperti bersukan.

“Memang benar permainan gajet dan digital ini sangat selesa dan menyenangkan. Tetapi, ibu bapa perlu kawal dan beri peluang kepada anak-anak untuk terokai perkara lain selain daripada itu.

majoriti2023 (12)

Daphne menggalakkan golongan kanak-kanak untuk mendapatkan latihan awal dalam sukan badminton.

“Tidak salah untuk bermain, tetapi biarlah berpada-pada. Kalau boleh luangkan masa dengan mereka untuk melakukan aktiviti agar dapat mewujudkan minat dan mampu mendorong mereka untuk menjadi atlet negara.

“Kanak-kanak ini perlukan sokongan dan galakkan, sekiranya tidak sukar untuk mereka bermain. Sekiranya mereka bermain, tetapi tidak mempunyai skil, perkara itu akan membuatkan mereka kecewa dan enggan lagi mahu bermain,” katanya kepada Majoriti.

Pendedahan awal

Mengimbau semula kenangannya di usia kanak-kanak, Daphne mengakui dia mendapat inspirasi untuk menjadi seorang atlet selepas sering melihat penduduk di sekitar kawasan perumahannya bermain badminton dan menonton acara sukan itu di televisyen.

Dia juga sering dibawa oleh bapanya untuk bermain badminton sebagai pendedahan awal. Bermula daripada situ, timbul kecenderungan dalam dirinya untuk serius dan optimis terhadap bidang sukan.

majoriti2023 (13)

Daphne berjaya membantu pasukan Deaflympic Malaysia memenangi tempat kedua di Deaflypics 2017, Turkiye.

“Seperti yang sama katakan, keluarga boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi terutama jika mendapat sokongan dan dorongan yang betul. Oleh itu setiap ahli keluarga seharusnya memainkan peranan masing-masing.

“Cuba memberikan sokongan dan galakkan kepada mereka untuk melakukan sesuatu perkara yang positif. Kadangkala kita melihat perkara itu remeh, walhal dapat memberi impak besar sekiranya dilakukan dengan kaedah yang betul,” ujarnya.

Cintai sukan

Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sains Sukan dan Ijazah Sarjana Sains Sukan Universiti Malaya (major dalam Psikologi Sukan), Daphne memainkan peranan penting apabila dia berjaya membantu pasukan Deaflympic Malaysia memenangi tempat kedua di Deaflypics 2017, Turkiye.

Disebabkan minatnya terhadap sukan, dia sering mendapat undangan ke beberapa buah negara seperti Jerman, Jepun, Taiwan dan china untuk bercakap tentang badminton.

Tidak kurang daripada itu, Daphne menyokong team e-sukan pada Sukan SEA Manila 2019 dalam aspek psikologi dan membantu pasukan itu memenangi pingat emas Sukan SEA e-sukan pertama bagi permainan Hearthstone.

majoriti2023 (14)

Daphne berkhidmat sebagai ketua jurulatih Pusat Latihan Badminton Ekspres Duo Sparks.

Dengan kelebihan yang ada, Daphne yang juga jurulatih badminton itu bersungguh-sungguh dalam mencungkil bakat khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

“Perkara utama yang mereka perlu ada ialah minat. Itu memang asas kerana jika tiada minat, kita tidak boleh hendak memaksa mereka untuk bermain badminton.

“Kemudian mereka perlu suka untuk melakukan aktiviti fizikal yang memerlukan banyak pergerakan. Mereka perlu ada semangat untuk kejar bola dan bersungguh-sungguh.

“Seterusnya pengetahuan atau skil. Sebahagian mereka sudah memiliki kemahiran ini, namun ada juga yang bakat mereka boleh diasah daripada awal. Bagaimanapun, perkara utama ialah sokongan keluarga.

“Restu penting untuk membantu seseorang agar lebih fokus dan mendapat keberkatan dalam setiap apa yang dilakukan,” terangnya menutup bicara.

Untuk rekod, Daphne ialah perunding sukan dan ketua jurulatih Pusat Latihan Badminton Ekspres Duo Sparks, Petaling Jaya, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram