BINTANG rock terkenal, Datuk Awie mengharapkan agar masyarakat tidak terlalu mudah membuat penilaian terhadap persembahan Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan yang bakal diadakan pada 8 April depan.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 54, berkata, demi menghormati bulan Ramadan, persembahan akan dimulakan selepas selasai solat tarawih.
“Sebelum berbuka puasa, kita akan mendengarkan alunan bacaan al-Quran, kemudian diteruskan dengan solat maghrib. Sementara menunggu solat Ishak, kita akan mendengarkan tazkirah.
“Kemudian kita teruskan dengan solat tarawih dan sebaik sahaja semua selesai, barulah kita mulakan dengan persembahan. Saya mengharapkan agar jangan cepat membuat penilaian. Orang tidak tahu, datang sini tengok sendiri baru tahu,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada Rabu.
Awie mengharapkan khalayak jangan mudah 'menjatuhkan hukuman' terhadap usahanya membuat persembahan pada bulan Ramadan.
Awie memberi reaksi tersebut bagi mengulas komen media sosial yang mengkritik tindakan Wings yang terkenal dengan muzik rock membuat persembahan pada bulan Ramadan.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Sejati itu tidak menafikan dia ingin memberi fokus terhadap ibadah dalam bulan mulia, namun terikat dengan tanggungjawab kepada keluarga.
“Saya sentiasa beringat sebelum perkara begini menjadi mudarat. Takut terlalu lama buat persembahan di Ramadan, kita tertinggal apa yang wajib. Bagaimanapun, saya perlu fikirkan tentang keluarga, isteri dan anak-anak.
“Saya perlu bekerja barulah dapat duit raya. Anak-anak memerlukan persiapan raya. Saya ada fikir untuk jadikan persembahan ini yang terakhir untuk bulan Ramadan, tetapi banyak perkara yang perlu difikirkan.
Wings hadir ketika sidang media Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan.
“Saya bekerja sebagai penyanyi dan pemuzik. Jika tidak bekerja, nanti dapur tidak berasap. Insya-ALLAH semoga ada peluang yang baik pada tahun hadapan, jadi kita boleh fokus kepada ibadah sambil bekerja,” ujarnya.
Dalam pada itu Awie turut meluahkan kebimbangan terhadap kehebatan ‘wira papan kekunci’ dan juga impak media sosial terhadap sesuatu perkara.
Jelasnya, pengguna media sosial agak berani meluahkan pendapat tidak mengira sama ada baik atau buruk.
“Saya ada melihat video individu dari Filipina, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia yang memberikan reaksi terhadap lagu kumpulan Wings. Bayangkan hanya dengan satu klik sahaja segela informasi sudah tersebar.
“Apabila ramai yang memberikan reaksi begini, sebab itu saya jadi takut dengan kegagalan. Pujian juga boleh menjadi sesuatu yang bahaya kerana apabila kita hanya salah sekali sahaja terus ‘hentam’.
Wings akan menyampaikan barisan lagu berbentuk KETUHANAN dan kerohanian.
“Disebabkan itu juga saya banyak memberi penekanan kepada anggota kumpulan lain supaya membuat persiapan yang terbaik agar dapat mengelakkan kesilapan.
“Namun, reaksi pendengar dari luar negara ini baik kerana secara tidak langsung mereka tahu bahawa Malaysia mempunyai artis berkualiti bertaraf dunia,” jelasnya ketika mengulas tentang reaksi beberapa pengguna YouTube mengenai persembahan Wings dan dirinya.
Dalam pada itu Awie yang akan membuat persembahan bersama kumpulan Wings yang turut dianggotai oleh Syam (gitar), Edrie (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) akan mempersembahkan lagu berkonsepkan KETUHANAN dan kerohanian.
Wings turut akan membawakan beberapa lagu raya dan lagu hits sebagai bonus persembahan yang dianjurkan oleh HS Event & Ent Sdn Bhd.
Penjualan dibuka untuk satu meja memuatkan 10 orang serendah RM4,000 untuk Table Silver, RM6,000 (Table Gold), RM8,000 (Table Platinum), RM12,000 (Table VIP) dan RM15,000 (Table VVIP).
Sebanyak 100 meja disediakan manakala sebahagiannya sudah habis terjual dan sebarang pertanyaan hubungi Zul S2W (019-2888092), Ayob Abdul Majid (019- 3682548), Hatta (018-2239934), Shasha (011-33000017), Azrin (019-4944451) dan Pak Abu (019- 3721756).
Beberapa lagu popular Wings antaranya Taman Rashidah Utama, Misteri Mimpi Syakilla, Opera Hidup, Hukum Karma, Anugerah dan Intan Kukesepian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram