Dua suspek diburu, kumpulan Radja diancam bunuh selepas konsert di Larkin


  • Hiburan
  • Ahad, 12 Mac 2023

Laporan juga sudah dibuat kepada pihak polis ke atas ugutan yang diterima daripada kumpulan muzikal Indonesia itu. — Agensi

KUMPULAN Radja membuat laporan polis apabila mereka menerima ancaman bunuh daripada individu yang tidak bertanggungjawab.

Perkara itu berlaku tidak lama selepas selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada Sabtu.

Polis Johor mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan kumpulan muzik terkenal Indonesia itu menerima ugutan jenayah dan kata-kata kesat amat membimbangkan kumpulan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, susulan laporan yang diterima pada pukul 5.34 pagi itu, pihaknya telah merakam percakapan semua mangsa dan sedang mengesan suspek-suspek yang terlibat.

"Polis memandang serius perkara tersebut dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan ketenteraman awam yang boleh menggugat keamanan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Difahamkan, perkara itu tercetus susulan berlaku salah faham antara pihak penganjur dan band berkenaan apabila kumpulan itu didatangan dua individu selepas kumpulan itu mengadakan persembahan di Larkin.

Tambahan pula, kumpulan itu perlu berhati-hati kerana selepas Ramadan, kumpulan itu akan berkunjung ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan namun bimbang jika perkara seperti itu berulang.

Radja yang juga popular dengan lagu Jujur, Tulus, Cinderella dan Wahai Kau Cinta, dianggotai oleh Ian Kasela sebagai vokalis, Moldy (gitar), Indra (bas) dan Seno (drum). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram