M. Nasir, Hattan bakal buat kejutan di Sabah dan Sarawak


  • Hiburan
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Hattan (kiri) dan M Nasir cukup terkenal dalam industri seni tempatan.

HAMPIR tiga dekad menjalinkan persahabatan, dua sinergi legenda, Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan dikhabarkan bakal bergabung dalam menjayakan Konsert Sifu & Aku 38 di Sabah dan Sarawak pada Mei depan.

Idea tercetus daripada Hattan tersebut bakal menampilkan persembahan istimewa daripada sifu dan anak murid yang mana menjadi manifestasi terhadap hubungan dan perjalanan seni dua bintang itu.

"Saya melihat konsert ini sebagai satu buah fikiran yang baik, apa lagi ia adalah gabungan bersama Hattan".

"Itu yang membuatkan saya menyambut idea ini dengan senang hati, sebelum ini, kumpulan Search dan Wings mengajak saya untuk tampil bersama dalam konsert tetapi saya pikir belum ada rezeki," kata M. Nasir.

Tambah anak seni kelahiran Singapura itu, personaliti Hattan yang cukup sinonim dalam bidang itu merupakan antara faktor untuknya menyertai program gilang-gemilang itu.

"Hattan ada tarikan yang lain macam, dia seorang pandai memujuk, ada juga pelawaan lain untuk bergabung dengan penyanyi wanita dan Datuk Ramli Sarip, namun, Hattan dekat dengan saya.

"Kami pernah menyanyi bersama di pentas tetapi bukanlah melalui konsert seperti ini, jadi bagi saya ia adalah konsert yang serius daripada kami," tambahnya.

WhatsApp Image 2023-03-04 at 15.12.50

Kerjasama Hattan dan M Nasir bakal memeriahkan Konsert Sifu & Aku itu nanti.

Konsert Sifu & Aku 38 bakal dipentaskan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching, Sarawak pada 25 Mei dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 1 Jun depan.

Dua lokasi konsert dipilih selepas membuat perbincangan iaitu Kota Kinabalu dan Kuching. Dalam persembahan itu, mereka ingin tampil dengan idea jelajah yang mana ingin memberikan kelainan dan perubahan.

"Kami percaya Sabah dan Sarawak antara lokasi terbaik, saya yakin konsert ini dapat menarik penonton dan saya suka buat persembahan di Borneo," katanya.

Pada Konsert Sifu & Aku 38, M Nasir akan Hattan akan mempersembahkan lebih 20 lagu termasuk duet.

Antara lagu duet yang akan didendangkan adalah Apokalips, Kepadamu Kekasih, Sekuntum Mawar Merah, Gerhana, Hati Emas dan Keroncong Untuk Ana.

Lebih menarik lagi, M Nasir akan berduet dengan Hattan dengan membawa lagu Sekuntum Mawar Merah yang mana itu adalah dendangan pertama dicipta zaman Alleycats dan single itu mencanak popular.

"Jadi, kalau mahu tahu keunikan konsert ini, kena datang tengok. Antara 15 pemuzik yang turut hadir dalam konsert itu adalah Aznan Alias yang bermain gitar, Ujang (dram), Firdaus (keyboard), Ritz (gitar) dan Fly (bes)," kata Hattan.

Tambahan pula, mereka turut merancang untuk merakamkan semula lagu yang didendangkan tersebut secara langsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram