Lebih 7,000 pengunjung serbu siri jelajah Suria di Johor


  • Hiburan
  • Selasa, 14 Feb 2023

Penyampai Suria FM bersama peminat yang hadir di siri jelajah Suria FM di Paradigm Mall, Johor Bahru pada Sabtu lepas.

STESEN radio ketiga popular di Malaysia, Suria FM mengadakan Siri Jelajah Suria Anggun Cotton Collection yang berlangsung di Paradigm Mall, Johor Bahru, Johor pada Sabtu lalu.

Siri jelajah itu membawa kelainan dengan membariskan artis popular era 1980-an, 1990-an dan terkini.

JAA04702

Lebih 7,000 peminat membanjiri konsert jelajah Suria FM.

Dianggarkan lebih 7,000 pengunjung memeriahkan acara tersebut.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), pihaknya sangat gembira dengan sambutan baik dari peminat setia di Selatan tanah air bagi lokasi pertama siri Jelajah Suria 2023.

"Terima kasih kepada pendengar yang datang memberi sokongan padu kepada Suria FM di Johor Bahru yang berlangsung pada Sabtu lalu.

"Kelainan sentuhan 1980-an pada siri jelajah kali ini berjaya menghiburkan peminat yang hadir sekali gus mengimbau nostalgia lagu yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, acara berkenaan turut dimulakan dengan persembahan tradisional daripada kumpulan Tari Aliff’s Dancers.

JAA03395

Persembahan tarian zapin oleh kumpulan Tari Aliff’s Dancers.

"Antara kelainan yang turut ditampilkan adalah gimik persembahan pembukaan tarian zapin yang sinonim dengan masyarakat Johor," jelasnya.

Konsert tersebut dimeriahkan dengan persembahan hebat daripada artis popular antaranya Zamani Slam, Raja Ema, Elly AXL, Shidee, Akim & The Majistret, Siti Nordiana, Insomniacks, Nabila Razali dan Aiman Zaidi.

Lokasi kedua siri jelajah Suria bakal diadakan Ahad depan bermula pukul 2 petang di Aman Central, Alor Setar Kedah dengan membariskan lebih 10 artis popular antaranya kumpulan Exists, Aishah, Ruffedge, Kristal X, Aris Ariwatan, Khai Bahar, Zulhadi, Syameer Azmi, Aqeesh Aleeya dan Danial Kifli.

Pengunjung turut berpeluang menangi hadiah cabutan bertuah seperti motorsikal Modenas MR 3 bernilai lebih RM4,000 dengan hanya membeli ‘Barangan Eksklusif Suria’ yang dijual di gerai Kedai Suria sepanjang konsert berlangsung dengan minimum pembelian sebanyak RM100. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram