Ada jemaah tanya macam mana saya meninggal di Mekah — Jalaluddin Hassan


  • Hiburan
  • Rabu, 15 Feb 2023

Jalaluddin Hassan harap semua berhenti sebar berita palsu mengatakan dirinya meninggal dunia.

PELAKON veteran, Datuk Jalaluddin Hassan meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita mengatakan dirinya meninggal dunia di tanah suci Mekah ketika menunaikan umrah.

Jalaluddin Hassan, 69, berkata, dirinya dan keluarga berasa terkejut apabila menerima panggilan telefon bertalu-talu daripada ahli keluarga dan sahabat tentang perkara itu.

Jelasnya, ada segelintir daripada rakan-rakan menelefon dan menangis sebaik sahaja mendengar suaranya.

"Saya tidak faham mengapa perkara ini berlaku. Meskipun bukan kali pertama, tetapi saya mengharapkan agar pihak tidak bertanggungjawab berhenti daripada melakukan perkara tidak baik seperti ini.

"Kalau boleh jangan mengganggu mental masyarakat, ahli keluarga, sahabat dan peminat saya yang terkejut kerana orang sedia maklum nama Jalaluddin Hassan itu sebagai pelakon. jIka ingin tulis berita itu harap dijelaskan secara terperinci agar pembaca tidak terkeliru," katanya kepada Majoriti.

majoriti2023 (2)

Jalaluddin mengharapkan agar berita palsu mengatakan dirinya meninggal dunia tidak dilakukan lagi.

Jalaluddin memberi reaksi tersebut ketika disoal tentang tular berita mengatakan ada individu bernama Jalaluddin Hassan meninggal dunia ketika membuat umrah. Dalam berita tular itu turut menjelaskan individu terbabit merupakan seorang ustaz namun, tidak dijelaskan pada awal berita. Sebaliknya perkara itu dihanyatakan pada bahagian akhir.

Menjadikan berita tersebut semakin hangat, aktor filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu secara kebetulan baru pulang daripada menunaikan umrah pada 21 Januari 2023 dan pulang pada 1 Februari lalu.

"Kadangkala orang tidak membaca berita itu penuh, lihat pada tajuk saja. Jadi saya harap jangan buat lagi perkara ini kerana apa yang dimaklumkan ustaz itu juga meninggal dunia pada 2021. Jadi mengapa perkara ini kembali berbangkit.

"Ada kumpulan jemaah yang menelefon dan bertanyakan tentang berita itu kerana kami pulang bersama, tetapi bagaimana saya boleh meninggal di sana pula. Bila pula saya pergi semula ke tanah suci sedangkan sudah pulang ke tanah air.

majoriti2023 (3)

Antara laporan yang mengatakan Jalaluddin meninggal dunia.

"Jadi bayangkan perasaan mereka yang terkejut itu. Sebaiknya janganlah berbuat begini. Fikirkan juga perasaan apabila ada sahabat yang menelefon, tetapi tidak dijawab oleh saya dan isteri. Sahabat baik saya, Cef Yang Jamil yang terkejut dengan berita itu terus memandu kereta ingin ke rumah saya kerana panggilan telefon saya dan isteri tidak dijawab," jelasnya.

Dalam pada itu Jalaluddin turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang masih lagi mengingati dan agar dapat mendoakan kesejahteraan dirinya sekeluarga.

"Alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik dan sihat walafiat. Penat pulang daripada umrah pun masih ada lagi. Balik sahaja dapat berita begini.

majoriti2023 (1)

Jalaluddin memaklumkan tahap kesihatannya dalam keadaan baik dan bakal sibuk menjalani penggambaran drama khas Ramadan.

"Selepas ini saya akan memulakan semula sesi penggambaran drama khas Ramadan dan beberapa buah iklan produk. Alhamdulillah rezeki saya untuk jadi wajah iklan tidak putus-putus," katanya yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-69 pada 18 Februari depan.

Untuk rekod Jalaluddin memulakan kerjaya lakonan sekitar 1990-an dan sudah membintangi lebih ratusan karya antaranya XX Ray III, Cicakman 2, Idaman, Janji Diana, Syurga Kedua, Kerana Aku Isteri Bidaan, Nur dan Nur 2.

Selain lakonan Jalaluddin turut terlibat dengan pengacaraan dan terkenal menerusi program Who Wants To Be A Millionaire? dan muncul sebagai peserta The Masked Singer disebalik maskot Manggis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram