Ilusi ceritera cinta dalam Imaginur tampil kelainan


  • Hiburan
  • Rabu, 22 Feb 2023

Gandingan Beto Kusyairi dan Diana Danielle dalam filem Imaginur memberikan sentuhan luar biasa di samping mendapat suntikan elemen fiksyen dan romantik.

MENGANGKAT kisah sebuah percintaan yang mengetengahkan elemen fiksyen pastinya menjadi sebuah naskhah luar biasa dan unik.

Itu yang cuba ditonjolkan oleh pengarah, Nik Amir Mustapha menerusi buah tangan terbaharunya bertajuk Imaginur.

Menurut Nik Amir, Imaginur sebuah filem bertemakan cinta, tetapi disulam dengan elemen hipsosis untuk menjadikan plot penceritaan lebih dramatik.

"Imaginur sebuah kisah cinta fiksi semata-mata. Mengisahkan tentang seorang lelaki yang mimpikan seorang gadis, kemudian tiba-tiba dapat berjumpa di alam realiti.

"Saya dedikasi filem ini kepada masyarakat yang menginginkan paparan cerita cinta dan keluarga. Jadi untuk menjadikanya lebih menarik saya cuba gabungkan dengan beberapa elemen lain agar lebih menyerlah," jelasnya.

DSC04728

Nik Amir sedang memberikan arahan kepada pelakon dalam filem Imaginur.

Imaginur merupakan filem ketiga dihasilkan Nik Amir selepas KIL dan Terbaik Dari Langit.

Mengulas lanjut, Nik Amir kongsikan bahawa konsep untuk menghasilkan naskhah terbabit timbul selepas dia tertarik dengan aktiviti hipnosis dan permainan minda.

"Sebenarnya, idea untuk menghasilkan filem ini sudah ada sebelum mengarahkan filem pertama, KIL.

"Sudah lama tidak buat filem, saya rasa nak buat kemunculan semula dengan idea original maka terhasillah filem Imaginur," katanya.

Official Poster - IMAGINUR

Filem Imaginur akan memulakan tayangan di pawagam pada 23 Februari.

Diterbitkan oleh Lumatic Films, Imaginur menggandingkan dua pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy dan Diana Danielle selaku teraju utama.

Tulang belakang

Bercerita tentang pemilihan teraju utama filem terbabit, Nik Amir mengatakan keyakinannya terhadap kedua-dua bintang hebat itu.

"Umum mengetahui Beto merupakan seorang pelakon yang mampu menjiwai apa sahaja watak. Malah, mereka berhasil memberikan komitmen 100 peratus untuk mengidupkan karakter dalam filem ini.

"Begitu juga dengan Diana. Saya tertarik dengan kebijaksanaan dia yang menjawab beberapa soalan diberikan. Saya yakin dia sesuai untuk membawakan watak Nur dalam filem ini," tuturnya.

Imaginur 4

Filem Imaginur menampilkan elemen fiksyen yang memaparkan daya hipnosis yang memberikan sentuhan berbeza.

Dalam pada itu, bercerita tentang cabaran untuk menghasilkan Imaginur, Nik Amir mengakui naskhah tersebut mencabar kemahirannya sebagai pengarah dan penerbit.

Ujar, selain faktor pandemik yang membuatkan penggambaran tergendala, faktor kewangan juga cukup memberikan tentangan.

"Sebagai syarikat kecil, tentu sahaja kewangan menjadi cabaran terbesar dan Lumatic Films perlu mengambil masa lama untuk mengumpul dana yang cukup sehinggakan mendapat bantuan pihak Finas," terangnya.

Imaginur 7

Beto Kusyairi yang membawakan watak Zuhal sementara Afdlin Shauki memainkan peranan sebagai Dr Ramli.

Imaginur yang menceritakan tentang tentang kehidupan seorang lelaki bernama Zuhal yang cuba untuk mendapatkan rawatan hipnosis. Pastikan bersedia dengan tisu kerana filem ini sarat dengan air mata dan menerapkan tentang kisah kekeluargaan.

Seorang lelaki cuba untuk menghidupkan semula kisah cinta masa lampau sehingga membuatkan dirinya sedar tentang kebenaran mengenai apa yang berlaku.

Selain Beto dan Diana, filem ini turut dibintangi oleh Nadiya Nisaa, Fatimah Abu Bakar, Datuk Rahim Razali, Pekin Ibrahim, Datuk Afdlin Shauki, Megat Sharizal dan Firdaus Karim.

Imaginur akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 23 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram