Pernah lalui detik sukar terpaksa berlapar ketika di U, Ms Puiyi kini bangkit bantu pelajar kurang mampu


  • Hiburan
  • Khamis, 23 Feb 2023

Ms Puiyi tidak menolak masalah kewangan menjadi punca pelajar tidak cukup belanja ketika di IPT.

SELEBRITI media sosial yang juga pelakon filem Pulau, Ms Puiyi mengakui status sebagai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bukan satu tugas mudah.

Ini kerana kos pembelajaran yang tinggi membuatkan Ms Puiyi atau nama sebenarnya Siew Pui Yi terpaksa ikat perut selain tidak cukup tidur kerana terpaksa melakukan kerja sambilan.

“Bekerja sambilan sebagai model bagi memperoleh pendapatan tambahan. Namun, itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus fokus kepada pembelajaran.

“Saya melanjutkan pembelajaran dalam bidang perniagaan kerana yurannya lebih berpatutan dan murah,” kata bekas model OnlyFans itu.

Selepas mencipta nama, Puiyi ingin melakukan perubahan dengan membantu pelajar lain khususnya yang memerlukan untuk mencapai impiran mereka.

Disebabkan itu dia menawarkan program biasiswa AS$1juta (RM4.4 juta) dengan kerjayasama Yayasan Educapital bagi membantu pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Setiap pelajar akan diberikan AS$1,000 (RM4,433) untuk mengikuti mana-mana bidang pendidikan yang diinginkan.

“Mereka akan diberi akses kepada dana bantuan kewangan sepanjang tempoh pembelajaran serta geran untuk memulakan perniagaan selepas tamat pengajian,” kongsinya.

Puiyi berbuat demikan sebagai salah satu usaha untuk membantu individu yang berdepan dengan masalah kewangan dan memahami bahawa bukan semua orang diberi peluang sama dalam soal pendidikan.

Untuk rekod Ms Puiyi memiliki Ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Bagaimanapun dia tidak mendedahkan lokasi mahupun nama IPT tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram