'Dia nak buat saya sampai mati', DJ Lin enggan dedah identiti pengamal ilmu hitam


  • Hiburan
  • Rabu, 08 Feb 2023

DJ Lin memilih untuk beri tumpuan kepada kerjaya berbanding sibuk memikirkan soal peribadi terutama tentang penyakit misteri yang dialaminya.

LAPAN tahun bertarung nyawa mempertahankan diri daripada terus menjadi mangsa ilmu hitam oleh individu yang tidak bertanggungjawab bukan penyebab untuk DJ Lin patah semangat.

Pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid, 47, itu berkata, sepanjang tempoh tersebut, dia banyak mengalami mimpi aneh dan menakutkan seperti ular hitam, jatuh dari tempat tinggi termasuk mimpi individu sama berulang kali.

Mengulas mengenai itu, DJ Lin mengakui mengenali individu terbabit, namun sekerasnya enggan mendedahkan identiti sebenar kepada umum.

"Berdasarkan apa yang saya dimaklumkan daripada ustaz yang membuat rawatan, orang ini hatinya telah hitam dan dia nak buat sampai saya mati.

"Satu cara sahaja untuk hentikan ialah dengan berhenti kerja daripada Suria FM. Insya-ALLAH itu sahaja cara untuk saya menjalani kehidupan yang lebih sihat," katanya.

Biarpun dirinya mengenali individu yang terlibat, namun DJ Lin lebih mudah untuk memberi fokus kepada pengurusan Suria FM dan kerjaya berbanding bersemuka empat mata.

915488

Keadaan kesihatan DJ Lin yang kerap dimasukkan ke hospital.

Baginya, semangat juang yang kuat membantunya untuk terus fokus kepada kerjaya biarpun kesihatan fizikal tidak mengizinkan.

"Doktor masih lagi memantau tahap kesihatan saya kerana selepas membuat pemeriksaan, doktor mendapat ada bahagian kelenjar yang bengkak.

"Setelah membuat pemeriksaan darah dan ultra bunyi, doktor masih belum dapat mengesan apa sebenarnya punca kesakitan yang saya alami. Tidak dinafikan rasa sakit yang amat sangat itu hanya Tuhan saja yang tahu.

"Saya pernah mengalami suhu badan panas hingga melebihi 40 darjah celsius, migrain yang amat sangat dan rasa sakit badan yang secara mata kasarnya tidak nampak apa-apa pun," ujar DJ Lin tentang penyakit misterinya itu.

DJ Lin memaklumkan ketika dia dimasukkan ke hospital pada Januari lalu, terdapat benjolan pada pangkal paha kanan yang menyebabkan dia mengalami demam panas.

"Selepas pulang daripada pelayaran pada awal Januari lalu, saya mendapati terdapat bonjolan di pangkal paha kanan yang saiznya sebesar buah kundang sebelum mengeras menjadi seperti bola golf.

"Ketika itu saya dapat merasakan sakit yang amat sangat pada bahagian tersebut sehingga menyebabkan suhu badan naik," terangnya.

1909819

DJ Lin pilih untuk terus fokus kepada kerjaya sebagai Penyampai dan Pengurus Besar Suria FM.

Biarpun dalam keadaan begitu, DJ Lin tetap optimis dan bersemangat serta enggan menjadikan keadaan kesihatannya sebagai penghalang untuk bekerja.

Baginya, terlalu fokus kepada permasalahan yang berlaku tidak tidak akan mengubah apa-apa. Disebabkan itu, dia cuba mengalihkan fokus untuk memikirkan perkara-perkara lain.

"Badan saya memang lemah dan kalau boleh saya cuba tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu. Nanti apabila difikirkan, kita akan mengalah, itu akan menunjukkan yang kita kalah. Jadi mengapa kita hendak mengalah," jelasnya.

Melihat kepada itu, DJ Lin turut berterima kasih kepada peminatnya yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan kesihatannya.

"Terima kasih kepada mereka yang mendoakan, membuat bacaan Yasin dan doa selamat, tolong berubat dari jauh dan bermacam lagi. Saya berasa sungguh terharu dan tidak menyangka bahawa mereka akan memberi sokongan sehingga begitu sekali," katanya.

1533484

DJ Lin yang memenagi anugerah kategori Influential Radio Announcer di Majlis Women of Excellence Awards 2021/22 (WOEA2021/22)

Melihat kepada tahap kesihatannya begitu, DJ Lin mengharapkan agar individu terlibat dianugerahkan kesedaran dan dapat melihat semula kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan olehnya demi mencapai kerjayaan di tahap sekarang.

"Di sebalik kejayaan ini lihat bagaimana saya berkorban dengan menghabiskan berapa jam masa di pejabat. Harap boleh lihat jenis-jenis pengorbanan yang sudah dilakukan sebelum ini. Saya mengharap agar masyarakat di luar sana terus mendoakan kesihatan saya kerana masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan," pinta DJ Lin.

Untuk rekod, DJ Lin sebelum ini dipilih sebagai penerima anugerah kecemerlangan bagi kategori Influential Radio Announcer di Majlis Women of Excellence Awards 2021/22 (WOEA2021/22) dan Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai anjuran majalah antarabangsa, Reader's Digest 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram