Jangan main redah tanpa gali ilmu, memancing cara Amir mampu bantu raih tangkapan lumayan


  • Hobi
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Amir Ashraaf aktif menjadikan aktiviti memancing sebagai hobi sejak mengikuti bapanya keluar memancing ketika di usia kanak-kanak.

PENGALAMAN memancing bersama ayah sewaktu kecil menjadikan Amir Ashraaf Ahmad jatuh cinta dengan aktiviti tersebut. Meskipun kini sudah berumur 33 tahun, jejaka kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu tetap meneruskannya tanpa jemu.

Baginya, memancing bukan sahaja memberi kepuasan ketika mengangkat hasil tangkapan, tetapi turut dapat menghilangkan stres. Ini juga dapat menjadi hobi menarik buat mereka yang gemarkan cabaran.

Mesra disapa Amir, dia menyifatkan memancing bukan aktiviti biasa kerana memerlukan kesabaran, pengetahuan dan kemahiran tinggi.

Katanya perkara itu bukan sahaja melibatkan penggunaan bot atau peralatan memancing, tetapi juga kemahiran berenang.

majoriti2023 (1)

Memancing menjadi hobi kegemaran Amir ketika waktu lapang.

"Tidak kira sebarang aktiviti sukan air, individu itu perlu tahu berenang meskipun sekadar pengetahuan asas.

"Juga perlu dengar nasihat tekong bot dan jangan bertindak melulu 'ikut kepala sendiri'," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, Amir turut menasihatkan agar mengamalkan pemakaian jaket keselamatan sepanjang masa berada di atas bot. Tindakan itu secara tidak langsung dapat membantu untuk mengelakkan berlakunya kemalangan jiwa sekiranya berdepan bencana.

Rahsia umpan

Selepas memastikan tahap keselamatan terjamin, perkara seterusnya ialah peralatan memancing seperti joran, tali pancing, mata kail dan pemberat.

Paling utama jenis umpan yang ingin digunakan sama ada umpan plastik lembut atau umpan hidup.

majoriti2023 (3)

Amir aktif melakukan aktiviti memancing di Kuala Rompin bersama kumpulan kaki pancing.

Menurut Amir, dia lebih selesa mendalami dan mempelajari selok-belok kawasan memancing sebelum melakukan aktiviti.

"Orang kata lain padang lain belalang. Jadi saya akan membuat kajian terlebih dahulu lokasi memancing. Tidak kira sama ada bertanya penduduk setempat atau dapatkan maklumat daripada tekong.

"Biarpun sudah berpengalaman, sebaiknya cuba bertanya melainkan pernah memancing di kawasan itu sebelum ini," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti tersebut, Amir kebiasaannya akan menghabiskan masa sekitar tiga hari memancing di laut.

Dia senang memilih untuk berehat di Pulau Tioman setelah penat memancing. Di sana, dia akan menginap di pusat peranginan sekali gus boleh menyediakan hidangan hasil tangkapannya.

"Saya tidak pernah bermalam di atas bot kerana tidak selesa. Lagi pun apabila berada di darat, kita boleh masak sendiri atau meminta bantuan penduduk setempat untuk memasakkan hasil tangkapan.

"Selain itu ada juga beberapa aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti selam snorkel atau aktiviti sukan air lain,"terangnya.

Persediaan

majoriti2023 (2)

Pelakon Zul Huzaimy (kiri) dan Fazren Rafi antara artis yang pernah memancing bersama Amir

Melanjutkan bicara, Amir yang aktif memancing bersama beberapa selebriti popular negara antaranya aktor Zul Huzaimy, Hafiz Suip dan Fazren Rafi memberitahu dia akan melakukan kajian terhadap cuaca, ombak dan kekuatan angin sewaktu tarikh memancing yang dipilih.

Kajian terhadap cuaca dan kekuatan ombak serta angin antara perkara yang membantu bagi mengelakkan berlaku insiden tidak dingini.

Namun, langit tidak selalunya cerah kerana Amir pernah menempuh pengalaman bot dinaikinya dipukul badai dan terkandas di tengah lautan.

Pengalaman itu menjadi satu kenangan hitam kerana dia perlu bertahan di dalam bot kecil dan berhadapan dengan ombak setinggi 1.2 meter.

"Apabila berlaku ombak besar, sauh perlu diturunkan dan dibiarkan tali dilepaskan sehingga habis dan membiarkan bot beralun mengikut ombak.

"Saya masih ingat lagi kejadian itu berlaku lewat malam dan di tengah lautan. Perasaan takut itu memang ada, tetapi Insya-ALLAH kita berdoa dan berserah kepada Yang Esa agar semuanya selamat," jelasnya.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti Amir, pemuda ini gemar berkongsi menerusi Instagram amirashraaf. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram