Kven Dave sedia terima kecaman demi jadi lebih baik


  • Hiburan
  • Khamis, 26 Jan 2023

Kven Dave menjadikan single pertama Fantasy yang merupakan lagu Inggeris sebagai taruhan pertama dalam industri muzik tanah air. — Shaari Chemat/The Star

PENYANYI baharu yang muncul dengan single pertama bertajuk Fantasy, Kven Dave menaruh harapan tinggi agar lagunya diterima khusunya buat pendengar muzik Melayu.

Mengakui bukan mudah untuk menempatkan diri dalam lapangan seni tempatan, Kven, 31, berlapang dada menerima kritikan mahupun kecaman asalkan dapat memberikan kebaikan kepadanya.

"Saya sedar masih baharu dalam industri dan banyak lagi perkara perlu dipelajari. Sebarang teguran yang membantu akan saya ambil secara positif dan terima dengan hati terbuka.

"Kecaman dan kritikan itu perkara sinonim dengan industri hiburan lebih-lebih lagi apabila berada di hadapan umum. Kecaman itu akan saya ambil untuk menjadikan diri lebih baik dari semasa ke semasa," katanya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai lagunya itu, Kven menyifatkan Fanstasy sebagai karya personal yang dekat dengan dengan pendengar. Lagu terbabit mengisahkan tentang individu yang menyimpan perasaan, tetapi malu untuk meluahkannya.

Fantasy merupakan lagu berbahasa Inggeris yang dihasilkan oleh Jahad manakala liriknya ditulis oleh Kven sendiri.

file7ol62bjfqib12iqvg898

Kven mengetengahkan genre muzik Mpop dance. — Shaari Chemat/The Star

Sementara itu, pemilihan muzik lebih fokus menjurus kepada genre Mpop dance. Selain disifatkan serasi dengan personaliti dirinya.

Malah, Kven memberitahu, pemilihan gaya begitu dapat memberikan peluang bereksperimen dengan gaya tarian bersama kru.

Jelasnya, konsep begitu sebelum ini pernah dipamerkan oleh bekas bintang rap popular, Mizz Nina sewaktu awal kemunculannya sebagai penyanyi solo.

"Sebagai penyanyi solo, saya ingin membawa beberapa kru lain untuk lebih menyerlah di atas pentas lebih-lebih lagi saya fokus kepada genre muzik laju dan tarian.

"Gaya seperti ini memperlihatkan saya memiliki 'squad' ketika berada di atas pentas. Cara itu secara tidak langsung dapat memberikan lebih keyakinan dan bertenaga,"jelasnya.

file7ol6216405vpit4p898

Kven bersama penari pengiring yang menjadi krunya dalam setiap persembahan. — Shaari Chemat/The Star

Jalinan kerjayasama

Melanjutkan cerita tentang kerjaya, Kven yang memiliki darah kacukan Filipina, Jepun, Cina dan Sepanyol turut mengatakan bukan mudah untuk mendapat tempat dalam bidang seni.

Katanya, berdarah kacukan bukan satu kelebihan buatnya lebih-lebih lagi apabila gaya sebutan bahasa Melayu masih kedengaran janggal.

"Industri hiburan tempatan terutama pendengar Melayu agak susah lebih-lebih bagi kami artis kacukan. Bukan bermaksud perkauman, tetapi lebih kepada penerimaan gaya bahasa.

"Disebabkan itu saya perlu lebih berusaha agar dapat memuaskan hati pendengar," katanya.

Tidak dinafikan, Kven mampu bertutur dalam bahasa Melayu, namun sesekali kedengaran ada sedikit campuran sebutan Filipina.

majoriti2023 (2)

Kven mempunyai perancangan untuk melakukan kerjasama dengan rakan artis, Yazmin Aziz.

Dalam pada itu, Kven turut memberitahu tentang perancangan untuk menghasilkan lagu duet bersama Yazmin Aziz. Memiliki kelebihan berdarah campuran Filipina, Kven melihat itu sebagai satu peluang terbaik untuk mereka saling bekerjasama.

"Saya memang mengenali Yazmin dan kami ada bercakap tentang muzik. Buat masa sekarang masih belum ada sebarang kata putus mahupun keputusan rasmi.

"Bagaimanapun saya berharap agar ada sesuatu yang luar biasa nanti antara kami berdua nanti. Jadi pendengar semua tunggu dan lihat," kata Kven yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Sacred Heart, Pulau Pinang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram