Bermula dengan hobi, bantu cetus idea cipta mata kail 'ajaib' tangkap udang


  • Hobi
  • Selasa, 14 Feb 2023

Iqbal Afandi mampu menjana pendapatan lebih hasil daripada penjualan mata kail yang diubah bagi kegunaan khusus menangkap udang galah.

PENINGKATAN kos penjagaan dan membaiki motosikal lumba lasak membuatkan Iqbal Afandi beralih kepada pilihan hobi yang lebih menjimatkan.

Jelas Muhammad Iqbal Afandi Zamri, 27, dia kini lebih fokus kepada aktviti memancing udang yang lebih memberikan kepuasan dan pulangan lumayan.

Iqbal Afandi turut mempunyai perkongsian menarik disebalik rahsia berjaya menaikkan udang galah seberat 300gram (g) atau 400g seekor.

"Tidak dinafikan terlibat dalam sukan permotoran memang memberi kepuasan kerana mencabar dan lasak. Tetapi, setelah beberapa tahun melibatkan diri, saya mula berasa bosan.

"Tambahan kos membaiki motosikal yang semakin meningkat membuatkan saya fikir untuk melakukan sesuatu berbeza. Kebetulan ketika melakukan aktiviti permotoran itu, saya sudah mula berjinak-jinak dengan aktiviti memancing udang galah.

"Kemudian saya fikir apa salahnya serius dengan hobi memancing udang galah ini kerana hasilnya dapat dikongsikan bersama keluarga," katanya kepada Majoriti.

majoriti2023 (40)

Iqbal Afandi mempamerkan hasil tangkapan udang galah yang berjaya ditangkapnya di Sungai Pahang.

Lokasi seperti Sungai Pahang berhampiran dengan kawasan Kampung Paloh Hinai, Pekan, Pahang menjadi destinasi kegemaran Iqbal Afandi untuk memancing.

Pada masa sama, dia turut menawarkan perkhidmatan untuk membawa beberapa pemancing udang galah untuk merasakan pengalaman dan menaikkan hasil masing-masing.

Memandangkan bekerja sendiri, Iqbal Afandi mampu membahagikan masa antara kerjaya dengan aktiviti kegemarannya secara seimbang.

Katanya, setiap hujung minggu dia akan memancing udang galah. Dianggarkan Iqbal Afandi akan menghabiskan masa sekitar 12 jam bermula dari pukul 3 atau 4 petang dan berakhir pada petang keesokannya.

majoriti2023 (39)

Beberapa 'kaki pancing' lain turut mencuba nasib menangkap udang galah yang rata-rata berukuran sekitar 300 hingga 400g seekor.

"Bergantung kepada nasib, kadangkala boleh jadi banyak atau sedikit. Namun, saya pernah mempunyai pengalaman berjaya menaikkan sekitar 11 kilogram (kg) udang galah dalam tempoh tersebut.

"Selalunya saya makan sendiri saja. Jika ada tetamu adik adik beradik datang ke rumah, boleh dihidangkan kepada mereka," jelasnya yang tinggal bersama ibunya di Felda Keratong, Pahang.

Iqbal Afandi akan menempuh perjalanan sekitar 45 minit untuk ke Kampung Paloh Hinai dari kediamannya.

Mata kail sendiri

Melanjutkan cerita tentang aktiviti memancing itu, Iqbal Afandi memberitahu, hasil tangkapannya tidak sehebat sekarang. Ini kerana dia sudah menjumpai cara sebenar untuk memancing udang galah.

majoriti2023 (37)

Perbezaan mata kail biasa (kiri) dengan mata kail yang sudah diubah suai oleh Iqbal Afandi dan dijual pada harga RM9 sebungkus yang mengandungi 12 unit.

Ujarnya, dia mengambil masa sekitar dua tahun untuk memahami bagaimana cara hendak 'memikat' udang galah dengan betul. Setelah beberapa kali percubaan, Iqbal Afandi akhir mengetahui 'ramuan' rahsia untuk menggandakan hasil tangkapan.

"Perkara utama kita perlu tahu udang makan umpan mengunakan penyepit. Soal jenis umpan itu tidak ada masalah boleh saja menggunakan cacing, hati ayam atau anak ikan.

"Dahulu menggunakan mata kail biasa yang digunakan untuk memancing ikan sebelum saya mengubahnya agar lebih sesuai untuk digunakan untuk memancing udang galah," jelasnya yang turut memiliki enjin bot Tohatsu 9.8HP (kuasa kuda) bagi memudahkan untuk melakukan aktiviti kegemarannya itu.

Iqbal Afandi kemudian menggunakan mata kail yang sudah diubah suai itu untuk menangkap udang galah. Apabila melihat hasil yang diperoleh, beberapa rakannya mula bertanyakan tentang rahsia sehingga mampu menaikan udang galah dengan mudah.

"Mereka bertanya bagaimana saya mampu lakukan, jadi saya maklumkan segalanya disebabkan mata kail berbeza dan sudah diubah suai. Awalnya rakan-rakan yang banyak bertanyakan, sebelum dijual kepada pelanggan lain.

"Syukur saya mampu menjana pendapatan tambahan hasil daripada menjual mata kail itu dengan rakan-rakan. Sebungkus ada 12 mata kail dan dijual pada harga RM9," katanya.

Iqbal Afandi membelanjakan sekitar RM5,400 untuk membeli enjin dan memiliki sekitar lapan set memancing yang setiap satunya berharga RM500. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram