KEADAAN kesihatan penyanyi popular 1990-an, Izam yang juga vokalis kumpulan E.Y.E bertambah baik setelah mengalami lumpuh separuh badan kira-kira dua tahun lalu. Dia juga dilihat semakin aktif melakukan aktiviti seni dan kini mampu untuk berkerja seperti biasa.
Menurut Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad, 54, dia kini lebih fokus kepada aktiviti dakwah bersama menerusi Kumpulan Misi Pembangunan Insan Sabah Cara (PISC Group).
“Sekiranya tiada terikat dengan aktiviti persembahan, saya akan cuba membantu PISC Group untuk mendapatkan dana bagi menyempurnakan kerja dakwah terutama di kawasan pendalaman Sabah.
“Keadaan infrastruktur surau yang tidak dilengkapi dengan bekalan air bersih dan elektrik turut menjadi kekangan untuk beribadat ke jalan ALLAH.
“Malah kita juga memerlukan banyak belanja untuk membawa imam dari Semenanjung untuk memimpin masyarakat di sana. Mudah-mudahan ini akan dapat dijadikan sebagai saham akhirat nanti dan mengajar jangan terlalu mengejar harta dunia. Insya-ALLAH,” katanya kepada Majoriti.
Jelas Izam lagi, dianggarkan seorang imam diperuntukkan sekitar RM8,000 untuk ditempatkan di pendalaman Sabah untuk tujuan dakwah bagi satu tempoh yang ditetapkan.
Bagi menyempurnakan perkara itu, PISC Group memerlukan lebih RM200,000 untuk sekitar 27 imam pada Ramadan lalu. Menyedari kos yang diperlukan tinggi, namun itu bukan menjadi halangan buat Izam kerana perkara itu dilakukan secara berkumpulan bersama beberapa rakan dan kenalan artis seperti kumpulan Rabbani.
Promosi lagu lama
Beralih kepada soal kerja, Izam memberitahu dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengeluarkan single baharu.
Baginya, kumpulan E.Y.E mempunyai banyak karya yang belum mendapat pehatian pendengar berbanding lagu hits seperti Satu Nama Tetap Dihati, Izinkan Selamanya Namamu Di Hati dan Kau Tetap Di Jendela Kenangan.
“Baik saya atau kumpulan E.Y.E tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melahirkan single baru. Cukup dengan lama yang sudah sedia ada.
“Saya pilih untuk menyanyikan semula lagu lama terutama yang jarang diperdengarkan di radio atau kurang dipromosikan dahulu,” katanya.
Susulan itu Izam kembali menyanyikan semula salah satu lagu lama bertajuk Tertumpah Kasihku Padamu versi 2022. Lagu tersebut bukan sahaja dapat perhatian pendengar tempatan, tetapi turut mencuri perhatian peminat Indonesia di YouTube.
“Sebelum penularan virus Covid-19, saya ada membuat persembahan di Indonesia dan pernah menghiburkan di depan lebih 30,000 penonton.
“Diharapkan peluang begitu masih ada lagi, begitu juga dengan kesihatan yang baik. Saya mengharapkan tahun mendatangkan ini, (2023) memberi sinar baharu buat kita semua,” ujarnya.
Nyanyian semula
Sementara itu, Izan turut terbuka menerima tindakan penyanyi baharu yang menyanyikan semula lagu lama khususnya popular sekitar 1990-an.
Baginya, perkara itu secara tidak langsung mempromosikan semula lagu lama dan membuatkan pendengar dapat membezakan antara kualiti vokal baharu atau lama.
“Saya tiada masalah dengan perkara itu kerana itu mereka menyanyikannya mengikut cara sendiri. Jadi masing-masing ada gaya tersendiri.
“Jika lagu yang dinyanyikan semula itu popular, pendengar akan cuba membuat perbandingan dengan lagu asli. Jadi secara tidak langsung pendengar baharu akan mengenali penyanyi lama,” terangnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram