Hati-hati jangan sampai salah guna media sosial jadi tempat sebar aib dan punca fitnah 


  • Mukmin
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Didik diri agar tidak terlalu mengikut perasaan dan berfikiran rasional ketika menggunakan media sosial.

SETENGAH abad lalu, penggunaan internet dan media sosial masih belum wujud seperti sekarang. Niat asalnya yang digunakan untuk saling mengekalkan hubungan, meluaskan pengetahuan dan menjadi jaringan perniagaan.

Tetapi situasi itu kini berubah kepada sebaliknya.

Media sosial sudah menjadi tempat untuk saling menabur fitnah, mempamerkan kemewahan dan mengata antara satu sama lain. Penggunaan bahasa kesat atau melakukan perbuatan mungkar sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat sekarang.

Budaya begini seumpama menghidupkan masyarakat tidak bertamadun apatah lagi mempunyai pegangan agama.

Berdasarkan hadis riwayat Timidzi: Rasulullah SAW pernah ditanya sebab yang paling banyak mengakibatkan orang masuk neraka, maka Rasulullah SAW menjawab, ”Mulut dan kemaluan.”

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Siapa yang beriman kepada ALLAH SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau dia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

side-view-male-hacker-with-gloves-laptop

Penggunaan bahasa dan cara individu berinteraksi di sosial media secara tidak langsung menggambarkan personaliti mereka yang sebenar. — Gambar hiasan

Oleh itu, seharusnya perbuatan negatif yang mampu menimbulkan rasa kurang senang disebabkan media sosial perlu ditangani dengan baik dan tindakan wajar perlu diambil.

Jangan sampai dijadikan sebagai budaya sehingga sanggup membelakangkan adab dan amalan yang diajarkan dalam Islam. Begitu juga dengan mengeluarkan sebarang kenyataan dengan niat untuk menyakitkan hati atau memalukan orang lain sebagai contoh isteri menceritakan keburukan suami dan sebaliknya, termasuk anak yang tidak berpuas hati dengan tindakan ibu bapa.

Pendakwah, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre menegaskan bahawa semua pihak harus memainkan peranan bagi membendung perkara ini agar tidak terus menjadi ‘barah’ dalam masyarakat.

“Kita mungkin mendengar ini sebagai klise, tetapi itulah kebenaran bahawa semua pihak bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan negara perlu menghentikan budaya ini.

“Budaya itu datang daripada kita sendiri yang mewujudkan perkara tersebut. Sekiranya tiada apa yang ingin diperkatakan, lebih baik diam,” katanya kepada Majoriti.

1922294

Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre

Dalam pada itu Syed Abdul Kadir turut menegaskan bahawa Islam mengajar tentang dua kaedah untuk agar tidak tergolongan dalam kumpulan yang melampaui batas.

“Ada dua perkara yang boleh dilakukan iaitu tinggalkan perkara yang tiada kaitan manakala kedua, beriman kepada ALLAH di hari akhirat dengan cara bercakap baik atau diam.

“Dua kaedah ini kalau semua orang pakai, insya-ALLAH boleh selesai masalah. Jika ada melihat individu terdekat yang memiliki sikap sebegitu, cuba berikan nasihat kepada mereka,” jelasnya.

Adab menegur

Mengulas mengenai tindakan yang perlu dilakukan, Syed Abdul Kadir menasihatkan agar menggunakan kaedah, tarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.

Katanya, cara dan niat teguran itu perlu betul agar tidak mengeruhkan lagi keadaan sehingga menyebabkan bermasam muka atau putus silaturahim.

“Ajarkan dengan baik dan tegurlah selembut mungkin agar tidak tersinggung. Paling penting niat kita ikhlas kerana ALLAH dan insya-ALLAH, ALLAH akan permudahkan segalanya,” jelasnya.

Secara kesimpulannya, kesalahan menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menyebar fitnah, menjatuhkan maruah, mempamerkan kekayaan sehingga berlakunya riak atau memperlekehkan golongan lemah perlu dijauhkan.

Islam memberi tekanan tentang adab dalam masyarakat tidak mengira sama ada secara berhadapan mahupun dalam talian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram