Aktiviti cuti sekolah 2 dalam 1, anak seronok bermain, ibu bapa boleh 'shopping'


  • Hobi
  • Selasa, 07 Feb 2023

Taman hiburan tertutup boleh dijadikan lokasi menarik buat anak-anak dan ibu bapa untuk luangkan masa bersama.

MALAYSIA memiliki pelbagai tempat menarik untuk berhibur khususnya buat kanak-kanak dan ibu bapa lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah.

Tentu sahaja ibu bapa tidak akan melepaskan peluang untuk menghabiskan masa dengan keluarga. Begitu juga kepada kanak-kanak yang dapat berehat sebentar daripada mentelaah buku dan bergembira bersama insan tersayang.

Justeru pilihan tempat bercuti penting agar dapat memberi kepuasan kepada kedua-dua belah pihak iaitu anak-anak dan ibu bapa.

Jadi berikut Majoriti senaraikan taman hiburan yang sesuai buatkan si anak bersuka ria, sementara ibu bapa boleh menghabiskan masa dengan membeli-belah.

Escape Challenge Adventure Park

majoriti2023 (23)

Pelbagai tawaran di Escape Challenge Adventure Park. Bukan sahaja mencabar, malah taman hiburan seluas 35,000 kaki persegi itu menawarkan variasi aktiviti yang seronok untuk dilakukan,

Selain dapat menguji kekuatan mental dan fizikal, kanak-kanak dapat menimba pengalaman berbeza dengan melakukan aktiviti mencabar seperti memanjat dinding.

Lokasi taman hiburan ini terletak di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 8 malam.

Berjaya Times Square Theme Park

majoriti2023 (28)

Terletak di tingkat 5 dan 7 pusat beli-belah Berjaya Times Square, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tidak dinafikan taman hiburan ini sangat popular dalam kalangan penduduk Lembah Klang.

Jadi apa kata penduduk dari luar Kuala Lumpur turut merasai suasana meriah berhibur di Berjaya Times Square Theme Park. Memiliki keluasan 133,000 kaki persegi, taman hiburan ini terbahagi kepada dua kawasan iaitu roller coaster sepanjang 800 meter dengan kelajuan 80 kilometer sejam manakala taman fantasi untuk kanak-kanak.

Waktu operasi taman hiburan ini dibuka pada setiap hari pada pukul 12 tengah hari hingga 8 malam bagi Isnin hingga Jumaat manakala 11 pagi hingga 8 malam (Sabtu dan Ahad).

Angsana Space Park

majoriti2023 (24)

Taman hiburan ini secara rasmi dibuka pada Julai 2018 di pusat beli-belah Angsana Ipoh Mall di Kampung Kastam Greentown, Ipoh, Perak. Beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Taman hiburan tertutup dengan tema galaksi angkasa ini merupakan hiburan permainan realiti maya yang memberi pengalaman terbaik buat kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Skytropolis Indoor Theme Park

majoriti2023 (25)

Tanah tinggi Genting Highlands antara lokasi terbaik buat keluarga berhibur kerana ia memiliki gabungan taman hiburan yang menawarkan keseronokan dan kepuasan membeli-belah.

Terdapat bermacam permainan dan aktiviti yang boleh dilakukan anak-anak bersama keluarga selain sesuai untuk pelbagai peringkat umur.

Taman hiburan ini beroperasi pada setiap hari bermula pukul 2 petang hingga 9 malam.

Kiddytopia

majoriti2023 (26)

Kanak-kanak tentu akan berasa gembira sebaik sahaja melangkah masuk ke Kiddytopia yang merupakan sebuah taman hiburan mesra keluarga yang terletak di Mid Valley Southkey, Johor Bahru, Johor.

Kanak-kanak akan gembira di ruangan permainan yang penuh keseronokan, malahan ia juga sesuai buat ibu bapa.

Waktu beropersi bermula 10 pagi hingga 10 malam pada setiap hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram