'Perbaiki solat dan ekonomi makin pulih', Siti Nurhaliza, barisan selebriti tabur harapan baharu 2023


  • Hiburan
  • Ahad, 01 Jan 2023

Mengharapkan agar 2023 membawa kebaikan tidak hanya buat diri sendiri, tetapi turut kepada negara dan seluruh masyarakat.

SELAMAT datang 2023! Semoga kehadiran tahun baharu ini akan membawa banyak kebaikan dan keharmonian kepada semua pembaca dan pengikut setia Majoriti.

Tentu sahaja setiap daripada kita mempunyai perancangan dan harapan untuk dicapai pada tahun ini. Paling penting jangan mengalah dan terus berusaha agar apa diinginkan berada di landasan yang betul.

majoriti2022 (24)

Begitu juga dengan barisan selebriti yang turut mempunyai azam dan hasrat agar dapat dicapai pada 2023.

Oleh itu berikut antara azam serta doa barisan selebriti sempena kedatangan tahun baharu.

Amir Masdi

majoriti2022 (26)

Memilih untuk memperbaiki agar menjadi lebih baik, itulah azam dan keinginan penyanyi berusia 26 tahun itu sempena menyambut kedatangan 2023.

“Saya mengucapkan selamat tahun baharu kepada semua rakyat Malaysia. Insya-ALLAH azam saya tahun 2023 ini agar dapat memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Mungkin dahulu ada yang ‘lompang’ dalam menunaikan solat, saya mengharapkan kali ini akan lebih baik dan tidak tinggakan solat,” jelas penyanyi lagu Asmara.

Datuk Seri Siti Nurhaliza

majoriti2022 (29)

Heboh berita penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza membeli rumah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi penutup 2022 paling indah.

Oleh itu, sempena kedatangan 2023, ibu kepada dua cahaya mata itu meletakkan banyak harapan tidak hanya untuk diri sendiri, tetapi turut melibatkan negara tercinta.

“Saya berharap agar semua perancangan untuk 2023 akan dapat dilaksanakan dengan baik mengikut masa yang ditetapkan. Insya-ALLAH saya akan muncul dengan single dan album terbaharu, persembahan-persembahan berbentuk showcase dan tentunya konsert besar bagi karier saya ke-27 tahun.

“Apa jua cabaran yang menimpa, inflasi atau kegawatan ekonomi, semoga kami terus bertahan dapat mengeluarkan produk-produk terbaik dan dapat memberikan manfaat kepada orang lain dengan menjana pendapatan dengan produk kami,” ujarnya terhadap perkembangan kerjaya dan pengurusan perniagaan.

Penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu turut mendoakan agar dirinya seisi keluarga sentiasa diberi perlindungan dan mencapai kebahagianan termasuk melibat anak-anaknya membesar dengan baik.

Azaria Tagaya

majoriti2022 (28)

Ringkas dan bersahaja, namun padat isinya. Penyampai berita dan pengacara jelita, Azaria Tagaya mengharapkan agar 2023 membawa banyak kebaikan tidak hanya kesihatan, tetapi turut melibatkan pelbagai aspek seperti ekonomi, keseimbangan hubungan masyarakat dan masa depan negara.

“Selamat tahun baharu! Semoga 2023 ini membawa 1001 kebaikan kepada kita semua. Dilimpahi rahmat dan diharapkan agar semua azam yang dirancang akan terlaksana dan dicapai seperti diinginkan,” kata pembaca berita TV3 itu.

Azrel ismail

majoriti2022 (27)

Setiap kali memasuki tahun baharu, tentu sahaja ada perancangan dan kehendak yang diinginkan agar dapat dijadikan sebagai sasaran. Begitu juga dengan aktor berusia 38 tahun yang mengharapkan agar 2023 hadir dengan kebahagiaan dan keharmonian.

“Saya ucapkan selamat tahun baharu, 2023. Semoga apa yang hendak dicapai pada 2022 sudah dicapai. Tetapi, kalau belum dicapai, boleh teruskan pada 2023.

“Azam untuk 2023, saya mengharapkan apa yang dibuat tidak mengira sama ada kerjaya atau bukan akan berjaya dan berjalan dengan baik.

“Semoga kita terus maju dan insya-ALLAH saya akan buat yang terbaik untuk tahun ini. Saya pun mengharapkan perkara yang baik-baik kepada anda semua terutama pembaca Majoriti!” terangnya optimis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram