
TELATAH comel si bulus sering menghiburkan hati menakala kehadirannya pula dapat menghilangkan kesunyian. Tidak dinafikan, memelihara kucing sebagai haiwan peliharaan juga dapat menghilangkan tekanan.
Sebagai pemilik yang bertanggungjawab, melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan terhadap kucing antara perkara wajib dilakukan sekurang-kurangnya satu atau dua kali setahun.
Selain itu pemantauan atau mengenal pasti perubahan sikap kucing dapat membantu merawat si comel lebih awal sekali gus mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini.
Beberapa tanda awal seperti muntah-muntah dan cirit-birit perlu diberi perhatian serius kerana hal itu berkemungkinan menderita akibat virus Feline Panleukopenia.
Kucing akan mempamerkan perubahan seperti kurang selera makan, tidak aktif dan kerap muntah.
Pelbagai pengaruh boleh mengakibatkan kucing mengalami virus tersebut dan salah satunya ialah perubahan cuaca. Keadaan sebegini bukan memberi kesan kepada manusia, tetapi haiwan turut berhadapan dengan situasi sama.
Sistem imun yang menurun akibat perubahan cuaca membuatkan mudah dijangkiti dengan penyakit atau virus.
Kucing yang dijangkiti dengan virus pula sangat sukar untuk sembuh melainkan mendapatkan rawatan dan ubat yang bersesuaian. Sekiranya tidak, nyawa kucing mungkin akan terancam.
Feline Panleukopenia ialah sejenis virus parvo yang menyerang sel darah putih pada kucing. Kebanyakan anak kucing dan kucing dewasa yang tidak divaksin terdedah kepada penyakit ini.
Kucing yang dijangkiti dengan virus ini akan menyebabkan najis atau muntah lebih berbau busuk berbanding sebelumnya.
Penularan virus ini dapat menjangkiti haiwan kucing lain dengan cara bersentuhan dengan najis, darah atau kotoran daripada kucing sakit.
Kucing dengan sistem imun lemah akan terjangkiti dan menjadi lemah.
Demam dan hilang selera makan juga antara tanda awal kepada penyakit ini.
Pastikan persekitaran kawasan kediaman yang berada dalam keadaan bersih dan tidak tercemar dengan najis haiwan.
Pencegahan
Memberikan vaksin adalah perlindungan terbaik buat kucing. Begitu juga dengan mendapatkan pemeriksaan berkala dan jadual vaksin teratur seperti disarankan doktor bermula pada umur enam hingga lapan bulan.
Perlindungan ini penting dan baik untuk kucing kerana mereka mempunyai hak untuk menjalani kehidupan sihat sama seperti manusia.
Begitu juga dengan kebersihan rumah dan persekitaran tempat kucing sering bermain perlu diambil kira. Sebaiknya bersihkan lantai dengan pembersih bagi mematikan kuman.
Sekiranya kucing mempamerkan perubahan sikap seperti muntah, cirit-birit, hilang selera makan dan tidak aktif, terus dapatkan rawatan segera. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,