Jaga tulang sejak awal usia, sedarlah sebelum terlambat


  • Sihat
  • Sabtu, 28 Jan 2023

Antara pakar ortopedik yang hadir pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Amalan Klinikal Edisi ketiga untuk Pengurusan Osteoporosis baru-baru ini. — Izzrafiq Alias

MASALAH kesihatan osteoporosis sering dikaitkan dengan dengan golongan warga emas lingkungan usia 50 tahun dan ke atas. Namun, perkara itu hanya satu konsep pemikiranyang perlu diubah.

Berdasarkan fakta sains, gangguan kesihatan atau masalah tulang, osteoporosis turut boleh berlaku ke atas individu yang berusia 20-an dan 30-an.

Pengerusi Persatuan Osteoporosis Malaysia, Dr Yeap Swan Sim berkata, masalah tulang bermula pada umur 30 hingga 35 tahun.

Menurut beliau, golongan wanita lebih terdedah kepada perkara ini kerana hormon estrogen wanita semakin menurun disebabkan berlakunya menopause atau putus haid.

Sedikit fakta, jelasnya, hormon estrogen penting buat wanita yang secara khusus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan organ seksual. Tidak hanya wanita, malah lelaki turut memiliki hormon estogen.

file7oj13dsp7g01jkr04n55

Dr Yeap Swan Sim — Izzrafiq Alias

Fungsinya untuk membantu mengatur menjaga kestabilan suhu, menjaga kemampuan mengingat serta meningkatkan memori termasuk mengawal jumlah kolesterol.

"Lazimnya masalah osteoporosis sering dikesan pada saat akhir iaitu jika berlaku kepatahan tulang. Pada waktu itu pesakit sudah kehilangan ketumpatan tulang yang banyak.

"Ini mewujudkan situasi yang tidak ideal terutama apabila rawatan hanya bertujuan untuk melindungi kepatahan tulang daripada menjadi semakin buruk.

"Jelas sekali, pemerhatian khusus perlu diberikan kepada pemeriksaan awal, diikuti dengan intervensi yang sesuai supaya kita dapat melindungi daripada menjadi semakin parah," katanya sempena Pelancaran Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) Edisi ketiga untuk Pengurusan Osteoporosis yang diterbitkan bersama Persatuan Osteoporosis Malaysia (MOS), Akademi Perubatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

ezgif-5-87eeed6c4d

Osteoporosis boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor;

  • Gaya pemakanan
  • Peningkatan umur
  • Hormon
  • Gaya hidup (merokok dan minum alkohol)
  • Menghidapi penyakit kronik (diabetes)

Pakar Perunding Bedah Kanan Ortopedik, Profesor Datuk Dr Sabarul Afian Mokhtar pula memberi penekanan terhadap kesedaran penjagaan tulang dalam kalangan golongan muda. Rata-rata kumpulan ini tidak melihat kesihatan tulang sebagai satu kepentingan kerana osteoporosis akan berlaku pada usia tua.

"Mengambil contoh sebagai wang simpanan di bank. Jika kita membuat simpanan sejak usia muda, jumlah wang simpanan akan bertambah apabila sudah tua nanti. Namun, jika wang simpanan juga sedikit dan kerap dikeluarkan, jadi berapa yang tinggal bila tua nanti.

"Begitu juga dengan tahap ketumpatan tulang yang semakin lama akan semakin berkurangan. Oleh itu penjaagan sejak usia kanak-kanak lagi penting bagi memperoleh tulang yang kuat dan tidak mudah patah. Saya pernah merawat pesakit wanita yang lingkungan usia 30-an patah tulang pinggul hanya kerana kerap terhentak akibat melalui bonggol jalan," terangnya.

file7oj13c2g6u017izlbn54

Profesor Datuk Dr Sabarul Afian Mokhtar — Izzrafiq Alias

Sabarul turut memberitahu bahawa pembedahan boleh dijalankan dalam tempoh 48 jam selepas tulang patah. Bagaimanapun katanya, situasi itu mengikut tahap kesediaan bilik bedah hospital. Secara purata pembedahan tulang di Malaysia dijalankan selepas lima hingga tujuh hari.

Sementara itu Pakar Perunding Geriatirik, Dr Terence Ong memberitahu, osteoporosis lazimnya dihidapi oleh warga emas dan kekerapan kes hampir sama dengan diabetes.

Ringkasnya, 1:5 dewasa di Malaysia menghidapi penyakit kencing manis atau diabetes. Nisbah sama tersebut adalah hampir sama dengan osteoporosis yang kini menjejaskan 1:6 dewasa berumur 45 hingga 90 tahun.

Ong juga meluahkan kebimbangan terhadap keputusan kajian kesihatan yang menjangka Malaysia akan menjadi negara Asia tertinggi memiliki pesakit osteoporosis sebanyak 3.55 peratus pada 2050 manakal diikuti oleh Singapura (3.53), Hong Kong (2.86), Korea Selatan (2.85), Thailand (2.79) dan Jepun (1.36).

file7oj13anz1js3ikwwn55

Dr Terence Ong — Izzrafiq Alias

"Penyakit diabetes dapat menimbulakan perasaan takut dan bimbang, namun kebanyakan orang tidak mengambil berat. Mereka hanya sedar untuk menjaga tulang apabila sudah berusia lanjut sedangkan penjagaan itu perlu dilakukan lebih awal.

"Sedari usia kanak-kanak, penjagaan seperti pengambilan kalsium, vitamin D dan aktiviti fizikal perlu diterapkan agar dapat dijadikan amalan sehingga dewasa," jelasnya.

Jelas Ong, masyarakat beranggapan kehilangan ketumpatan tulang merupakan sebahagian proses penuaan semula jadi. Namun, penyakit ini disebabkan sebaliknya.

"Terdapat beberapa perkara yang sering kita hiraukan dalam kehidupan seharian yang mempunyai kesan besar terhadap kesihatan tulang kita. Antaranya kekurangan aktiviti fizikal, diet, merokok dan rawatan perubahan pada tahap hormon (estogen)," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram