Hati-hati dicakar kucing! Ketahui bahaya dan rawatan jika terkena CSD


  • Sihat
  • Isnin, 30 Jan 2023

Hati-hati dengan kesan cakaran kucing kerana bimbang akan menyebabkan berlakunya kerosakan organ dalaman manusia. — Gambar hiasan

DI Malaysia, kucing antara paling popular menjadi pilihan sebagai haiwan peliharaan. Kadangkala, ada yang memiliki lebih daripada dua ekor kucing sebagai peneman di rumah.

Malahan ada juga yang melayan si bulus ini seperti ahli keluarga mereka.

Bagaimanapun, individu yang memelihara kucing pasti pernah berdepan pengalaman terkena cakaran. Disebabkan sudah terbiasa dengan hal itu, pemilik lebih senang membiarkan perkara itu begitu sahaja tanpa memandang serius.

Namun, tahukah anda sebenarnya kesan cakaran itu mampu mendatangkan kemudaratan sehingga berlakunya gangguan kesihatan.

close-up-sleepy-beautiful-cat

Jangan ambil mudah luka cakaran kucing kerana bimbang akan menyebabkan CSD.

Mengikut pakar veterinar Amerika Syarikat (AS), Dr Patrick Mahaney, kuku haiwan comel ini sebenarnya lebih tajam berbanding binatang lain seperti anjing. Disebabkan itu kesan cakaran mampu mengakibatkan trauma dan boleh berlakunya jangkitan kuman.

Menurut Hello Doktor, cakaran kucing sebenarnya boleh mendatangkan sejenis penyakit yang dinamakan cat scratch disease (CSD).

Penyakit yang berpunca daripada kucing ini akan tersebar melalui infeksi luka akibat cakaran mahupun gigitan kucing yang terjangkiti CSD.

Kesan luka boleh tersebar sekiranya kucing menjilat bahagian luka sehingga menyebabkan kemerahan dan boleh mengakibatkan bengkak serta kesakitan.

CSD ini dikenali sebagai penyakit yang disebabkan oleh bakteria, Bartonella Henselae. Dianggarkan sekitar 40 peratus daripada kucing terutamanya berumur setahun ke bawah membawa bakteria ini dalam tubuh mereka, namun tidak menunjukkan tanda berbahaya.

close-up-beautiful-cat

Cakaran kucing dikhuatiri mampu menyebabkan imuniti tububh badan seseorang menjadi lemah.

Kesan cakaran juga akan menyebabkan kelenjar limfa membengkak dan berlakunya peningkatan sel darah putih yang bertindak untuk melawan bakteria.

Disebabkan itu, pesakit mungkin akan mengalami demam gred rendah, lesu atau sakit kepala.

Dalam pada itu cakaran kucing turut dikhuatiri akan menjejaskan imuniti badan untuk melawan penyakit.

Ketahui tanda-tanda

  • Muncul benjol bernanah dan cecair pada bahagian luka.
  • Demam.
  • Pening kepala.
  • Hilang selera makan.
  • Keletihan.

White cat lies on woman's knees

Dapatkan rawatan doktor jika terdapat kesan darah atau benjolan nanah mahupun cecair selepas terkena cakaran kucing.

Kaedah rawatan

Individu yang mengalami cakaran kucing perlu mendapatkan rawatan CSD segera kerana bimbang akan terkena komplikasi otak, mata, jantung dan pelbagai organ dalaman lain. Meskipun perkara ini jarang berlaku, tetapi sebaiknya ambil langkah berjaga-jaga.

Basuh luka gigitan atau cakaran kucing dengan menggunakan air dan sabun.

Jika bahagian cakaran ada kesan luka pendarahan, tekan kawasan luka dengan kain atau kapas bersih.

Dapatkan rawatan doktor jika jangkitan makin melarat atau perlukan nasihat lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram