Genre ketuhanan sarat teladan, berikut 5 karya cetus keinsafan


  • Hiburan
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Pelbagai mesej cuba disampaikan kepada penonton tidak kira melibatkan perihal jenayah, kehidupan masyarakat, kasih sayang keluarga atau hubungan percintaan.

MENONTON filem di pawagam tidak hanya memberikan kepuasan untuk menghilangkan tekanan atau sekadar bahan hiburan, terutama ketika cuti hujung minggu.

Pelbagai mesej cuba disampaikan kepada penonton tidak kira melibatkan perihal jenayah, kehidupan masyarakat, kasih sayang keluarga atau hubungan percintaan.

Ini termasuk nasihat dan teladan agar dapat mendidik penonton tentang keinsafan setelah berbuat khilaf dalam melakukan perkara bertentangan dengan agama.

Meskipun industri perfileman tempatan tidak serancak lapangan seni Indonesia dalam menghasilkan filem genre ketuhanan, namun berikut antara karya tempatan yang mempertaruhkan konsep agama Islam.

Filem: Nur Kasih The Movie

Tahun: 2011

majoriti2022 (3)

Filem ini merupakan kesinambungan kepada drama Nur Kasih yang bersiaran di saluran TV3. Pelakon Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Datuk Fizz Fairuz membintangi kedua-dua filem dan drama.

Diarahkan oleh Kabir Bhatia terbitan Primeworks Studios pada 2011. Filem ini menceritakan tentang cabaran dan konflik hubungan rumah tangga Adam dan Nur Amina.

Insiden malang yang menimpa Aidil apabila terpaksa membesarkan dua anak sendiri setelah kematian isteri sementara Adam dan Nur Amina masih belum dikurniakan cahaya mata meskipun sudah bertahun berumah tangga.

Filem: Syurga Cinta

Tahun: 2009

majoriti2022 (1)

Filem berbentuk romantik komedi arahan Ahmad Idham memaparkan tentang kehidupan Irham yang berusia 20-an dan dibesarkan di luar negara.

Irham merupakan anak kepada pasangan Tan Sri Zakaria dan Puan Sri Mahani menjalani kehidupan gaya masyarakat barat.

Irham kemudian dicabar oleh rakan-rakannya untuk memikat gadis bertudung dan wanita itu merupakan Syuhadah.

Irham kemudian meminta bantuan adiknya Ikmal yang merupakan murid Syuhadah.

Filem ini dilakonkan oleh Awal Ashaari, Heliza Helmi, Hadziq Hazem, Datuk Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, Mustapha Kamal dan Dian P.Ramlee.

Filem: 7 Petala Cinta

Tahun: 2012

majoriti2022

Berlandaskan konsep penceritaan ketuhanan, filem ini turut memaparkan tentang hubungan percintaaan dan kekeluargaan.

Mengisahkan tentang Attar seorang lelaki yang berada dalam kesesatan dan terlibat dengan aktiviti jenayah bertemu dengan Aby Ikhwan di sebuah sekolah agama, Madrasah Qalbun Salim.

Attar yang kemudian berubah menjadi seorang yang lebih baik dan jatuh cinta dengan Saidatul Nafisa. Bagaimanapun hubungan mereka berdepan dengan pelbagai halangan apabila Attar menjadi mangsa fitnah.

Filem ini diarahkan oleh Azahari Zain manakala barisan pelakon Aeril Zafrel, Fizo Omar, Shima Anuar, Diana Amir, Puteri Mardiana dan Zalif Sidek.

Filem: Aku Masih Dara

Tahun: 2010

majoriti2022 (2)

Filem arahan Ahmad Idham lakonan Farid Kamil, Ashraf Muslim, Raja Farah, Yana Samsudin dan Diana Amir ini menceritakan tentang sekumpulan anak muda yang menjalani kehidupan seks bebas.

Isu keruntuhan akhlak dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja sehingga sanggup membelakangkan agama demi keseronokan.

Filem terbitan Metrowealth Pictures diterbitkan pada 2010 dan menelan belanja sebanyak RM2.05 juta.

Filem: Maut

Tahun: 2009

majoriti2022 (4)

Filem terbitan Tayangan Unggul arahan Bade Azmi ini memiliki tiga plot penceritaan iaitu Syaaban, Ramadan dan Syawal.

Setiap kisah memiliki penceritaan berbeza, namun mengetengahkan konsep ketuhanan dan pengajaran apabila membelakangkan agama dalam kehidupan.

Barisan pelakon Liyana Jasmay, Sabrina Hassan, Que Haidar, Eja, Hasnul Rahmat, Diana Danielle, Raja Farah, Fauziah Nawi dan Mardiana Alwi.

Selain itu terdapat juga Datin Fouziah Gous, Sherry Ibrahim, Nana Mahazan, Awal Ashaari, Hamidah Wahab, Ridzuan Hashim dan Nisha Dirr. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram