[VIDEO] 'Tak malu pun berniaga perfume, itu memang saya', Aznah Hamid akui dah tak relevan jadi artis popular


  • Hiburan
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Aznah Hamid mengganggap dirinya sudah tidak relevan mengejar populariti sebagai artis. — Instagram/Aznah Hamid

PELAKON veteran popular tanah air, Aznah Abdul Hamid, 68, enggan lagi mengejar populariti dalam dunia lakonan, sebaliknya mahu fokus dalam perniagaan barangan alat solek wanita yang sudah lama diminatinya sejak dahulu.

Pernah popular dan diminati ramai satu ketika dahulu, Aznah menganggap bahawa zaman kegemilangannya sudah berlalu dan hanya mengambil watak lakonan yang bersesuaian dengan dirinya sahaja pada ketika ini.

Beliau kini semakin aktif dalam dunia perniagaan apabila sering berniaga di jualan ekspo dan karnival dan terbaharu, Aznah sedang sibuk menjalankan perniagaan barangan solek dan tudung di sebuah Karnival Jualan Lelong Utara di Dataran Seri Serdang, Kedah sehingga 1 Januari 2023 nanti.

Meskipun karnival itu dikatakan kurang bersesuaian dengan statusnya sebagai seorang artis, ia nyata tidak mengundang masalah buat pelakon tersebut selepas mendakwa dirinya tidak malu untuk berniaga di situ.

Terdahulu, tular satu rakaman di TikTok memaparkan pelakon berkenaan sedang berehat sambil menanti pelanggan hadir di tapak jualannya.

Ada yang beranggapan bahawa kekurangan tawaran lakonan menjadi punca pelakon veteran itu sanggup berniaga di tapak jualan karnival seperti itu namun dakwaan itu ditepis sama sekali oleh Aznah Hamid.

Menurutnya, bidang perniagaan sudah lama diceburi sejak dari zaman dahulu dan ia tiada kena mangena dengan soal kerjaya lakonan beliau.

"Saya memang sudah mula berniaga sejak dari zaman selepas Perintah Kawalan Penjarakan (PKP) lagi dan tak kisah kalau berniaga di karnival seperti ini.

"Saya dah tak mahu mengejar populariti lagi, bagi saya itu semua sudah berlalu dan untuk lakonan saya hanya akan memilih watak bersesuaian sahaja.

"Tiada isu malu berniaga sebab karnival ini pun dihadiri ramai rakan artis dan penyanyi otai yang dijemput untuk membuat persembahan, pengunjung pun akan terhibur kalau ada karnival macam ini," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut soal sambutan pengunjung di tapak jualannya, ibu kepada pelakon cantik Sheera Iskandar itu turut meluahkan kesalan terhadap sikap segelintir peminat yang hanya mahu bergambar bukan membeli barangan yang dijualnya.

"Memang la ada ramai peminat dan pengunjung yang datang tapi segelintir mereka terlampau fanatik nak bergambar, bukannya membeli.

"Sekurang-kurangnya tegur la dengan sopan beri salam dan minta izin untuk bergambar, bukannya main tarik dan tak hirau langsung barangan niaga saya.

"Mungkin bukan semua tapi isu itu memang dihadapi kebanyakan artis dan saya datang ke sini penat-penat untuk berniaga, jadi harap pengunjung semua sudi memberikan sokongan kepada perniagaan saya," tambahnya.

Mengakhiri perbualannya, Aznah Hamid menegaskan bahawa produk jualannya merupakan barangan berkualiti dan setakat ini belum ada sebarang maklum balas negatif diterimanya.

Dalam pada itu, karnival tersebut turut dihadiri ramai artis dan pelakon veteran antaranya Kay Maria, Rozie Rahman dan ramai lagi serta pelbagai aktiviti menarik yang bakal berlangsung sepanjang karnival itu diadakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram