Bakat boleh diwarisi? Mungkin ramai tak tahu 5 pasangan artis ini sebenarnya adik-beradik


  • Hiburan
  • Selasa, 18 Okt 2022

Beberapa artis terkenal yang mempunyai tali persaudaraan dan hubungan keluarga dalam bidang seni tanah air.

ILMU ataupun bakat seni merupakan satu perkara yang tidak dapat diwarisi oleh mana-mana insan di muka bumi ini oleh kerana minat serta kecenderungan terhadap sesuatu bidang berbeza.

Namun, tidak dinafikan ia boleh terjadi dalam sesebuah keluarga apabila ada yang menceburkan diri dalam bidang sama khususnya dalam kalangan artis tanah air kita.

Berikut Majoriti senaraikan lima pasangan artis ini sebenarnya adik-beradik dan mungkin ramai tidak mengetahui mereka sama-sama berkecimpung dalam bidang seni di Malaysia.

Imran Aqil & Nabil Aqil

Peserta Hero Remaja 2020, Mohammad Imran Aqil Mohd Salehuddin, 23, ataupun lebih dikenali sebagai Imran Aqil merupakan adik kepada seorang pelakon meningkat naik, Muhammad Nabil Aqil, 24.

Imran yang merupakan penyampai di sebuah stesen radio terkemuka tanah air mula menceburkan diri dalam industri seni apabila menyertai rancangan realiti Hero Remaja 2020.

Meskipun rezeki dilihat lebih menyebelahi Imran, Nabil tidak pernah menganggap ia sebagai satu persaingan malah turut berbangga dengan pencapaian adiknya.

Haqiem Rusli & Zali Rusli

Ridzuan Haqiem Rusli, 24, ataupun Haqiem Rusli merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri muzik tanah air.

Cukup disegani dalam kalangan artis muda, nyanyian lagu Haqiem Rusli kerap dimainkan di corong radio dan telah merangkul beberapa anugerah di peringkat tertinggi muzik di Malaysia.

Namun, tiada siapa pun yang mengetahui bahawa penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Tergantung Sepi' ini mempunyai seorang adik lelaki yang juga merupakan artis BBNU, iaitu Zali Rusli.

Zali Rusli ataupun nama sebenarnya, Ahmad Al Ghazali Rusli, 23, mempunyai single pertamanya bertajuk 'Pewangi' yang dicipta sepenuhnya oleh Haqiem.

aznil and azwan - 2

Sabhi Saddi & Fareed (K-Clique)

Pelakon dan penyanyi yang juga merupakan anggota kumpulan One Nation Emcees (ONE), Sabhi Saddi, 38, merupakan abang kepada penyanyi kumpulan rap K-Clique, Fareed Saddi, 28.

Difahamkan, Fareed sememangnya menjadikan abangnya sebagai idola sejak dari kecil sehingga sanggup terjun ke bidang seni meskipun mempunyai kelulusan dalam jurusan undang-undang dan komunikasi massa.

Kedua beradik itu dilihat berjaya membawa haluan masing-masing dengan minat dan genre lagu yang dibawa dan sehingga kini nama mereka masih lagi meniti di bibir peminat.

Natasha Hamzah & Achey (Bocey)

Pelakon dan pelawak, Natasha Hamzah, 29, yang dicungkil bakatnya dalam rancangan komedi, Gegar Lawak 2018 merupakan adik kepada pelawak Achey daripada kumpulan Bocey.

Meskipun namanya kurang dikenali berbanding abangnya, Natasha sudah mula membintangi beberapa drama siri di televisyen antaranya, Cik Ayu Mee Sanggul, Hello Jangan Tapau Cintaku dan Ustaz Evo The Movie.

Selepas menyertai rancangan realiti Gegar Lawak, Natasha sekali lagi mencabar diri dengan menjadi peserta dalam rancangan Miss Lawak pada 2019 namun gagal melayakkan diri ke peringkat akhir.

Siti Saleha & Sam (Bunkface)

Pelakon terkenal drama 7 Hari Mencintaiku, Siti Saleha Mohd Baharum, 32, ataupun Siti Saleha merupakan adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Shamsul Annuar, 34, ataupun Sam.

Gadis cantik berdarah kacukan Inggeris ini mula bergiat aktif dalam bidang lakonan pada 2008 menerusi watak utama dalam drama 5 Jingga.

Meskipun di awal pembabitannya sering dibandingkan dengan kejayaan Sam, Siti Saleha terus mengorak langkah jauh dan berjaya membuktikan dirinya juga mampu berdaya saing dalam industri hiburan tanah air.

Antara filem lakonannya yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat adalah Kerat 14 (2013), Terbaik Dari Langit (2014) dan Langit Cinta (2016). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram