MUZIK rap atau hip hop sememangnya diminati ramai masyarakat di Malaysia mahupun di luar negara.
Lirik lagu yang dihasilkan bukan sahaja sarat dengan penceritaan malah turut mengandungi 1001 mesej.
Meskipun muzik itu dilihat bersifat agresif, ia juga diminati kaum wanita di Malaysia dan rata-ratanya terbuka dalam menerima genre muzik berkenaan.
Buktinya, beberapa penyanyi rap wanita tanah air sudah mula melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa menerusi kolaborasi lagu yang dihasilkan bersama pihak pengurusan luar negara.
Berikut Majoriti senaraikan lima penyanyi rap wanita Malaysia yang bertaraf antarabangsa.
Hunny Madu
Penyanyi rap negara, Hani Farhana Mohd Hatim, 38, ataupun lebih dikenali sebagai Hunny Madu telah melebarkan sayapnya ke Amerika Syarikat pada 2016.
Bekas pengacara dan penyampai radio itu merakamkan lagu berbahasa Inggeris bersama penyanyi terkenal dari negara itu, Radio3000 menerusi lagunya 'Your Call.'
Lagu tersebut mula dimainkan di negara 'Uncle Sam' selepas ia menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai selepas selesai menjalankan promosi.
Zamaera
Penggubah dan penyanyi rap wanita berbakat tanah air, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen, 27, ataupun lebih dikenali sebagai Zamaera terkenal menerusi albumnya bertajuk 'Heart Break To Heal.'
Album yang mengandungi enam lagu berbahasa Inggeris dan empat lagu Melayu itu didatangkan dalam bentuk peranti USB yang menyerupai sebuah kaset klasik.
Album 'Heart Break To Heal' merungkai kisah silam Zamaera yang menceritakan soal cinta, kehilangan dan pemulihan.
Sembilan daripada 10 lagu yang terkandung dalam album tersebut adalah ciptaan produser muzik antarabangsa, LouXtwo yang pernah menghasilkan lagu artis terkenal antarabangsa seperti Chris Brown, Bad Bunny, Tory Lanez, dan Russ & Wale.
Sya
Nur Batrisya Mohd Nazri, 26, merupakan penyanyi rap yang berbakat besar dalam penulian lirik dan penyampaian lagu hip hop.
Meskipun namanya masih baru dalam industri, namun single sulungnya bertajuk 'PrettyGirlBop' telah mendapat sentuhan daripada penyanyi Sona One dan artis Singapura Yung Raja.
Berasal dari Ampang, Selangor, difahamkan dia mendedikasikan lagu tersebut kepada kaum Hawa yang berhadapan dengan cabaran sepanjang Covid-19.
Mengangkat nilai ketabahan kaum wanita, lagu tersebut menyimpan harapan buat wanita di luar sana agar tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan.
Sophia Liana
Penyanyi rap daripada kumpulan De Fam, Sophiatul Liana Mohamed Sobri, 32, ataupun Sophia Liana cukup dikenali dalam kalangan peminat muzik rap tempatan.
Mahir dalam seni tarian hip hop, Sophia telah mewakili negara dalam acara berprestij ASEAN Korea Music Festival Round 2021 (AKMF2021) di Korea Selatan pada 2021.
Mempersembahkan lima lagu pada acara tersebut, kehadiran Sophia turut diiringi pasukan tariannya, Budak Ngam.
AKMF2021 ditayangkan secara virtual menerusi dalam talian manakala di Korea, penonton dapat menyaksikan acara itu secara langsung di sebuah dewan konsert.
Hullera
Figura berasal dari Bukit Jelutong Shah Alam, Selangor ini merupakan antara pelapis penyanyi rap wanita negara yang sedang meningkat naik.
Terbaharu, Hullera telah menjalin satu kolaborasi bersama penyanyi rap terkenal Singapura, Akeem Jahat dan Thelioncityboy menerusi sebuah lagu bertajuk Basikal.
Menggabungkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam liriknya, lagu tersebut telah dimuat naik di laman YouTube pada Febuari lalu dan menerima lebih 8,000 jumlah tontonan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram