Macam telan kaset, 5 legenda bersuara emas tak lapuk dek zaman


  • Hiburan
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Kumpulan rock tanah air, Search merupakan antara artis berkumpulan yang masih relevan dan disegani sehingga ke hari ini.

POPULARITI seseorang penyanyi dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya kualiti lagu yang dihasilkan, genre yang dibawa dan juga sokongan peminat yang ramai.

Namun, tanpa bakat dan kebolehan dalam nyanyian, karier seorang penyanyi dikatakan tidak mampu untuk pergi jauh dan bertahan lama dalam industri kerana mereka akhirnya akan ditelan zaman dan ramai bakat muda yang akan menyaingi mereka.

Pun begitu, terdapat lima artis penyanyi di Malaysia yang masih bersuara emas dan kekal relevan sehingga ke hari ini.

Berikut Majoriti senaraikan lima penyanyi tanah air yang bersuara emas dan popular dalam kalangan peminat dalam negara mahupun di luar negara.

Search

Kekal relevan sehingga ke hari ini, kumpulan rock terkenal tanah air, Search pastinya tidak dapat ditandingi mana-mana kumpulan lain.

Kekal bertahan 35 tahun dalam industri muzik negara, Search yang terkenal dengan lagu Fantasia Bulan Madu masih gah di dalam negara mahupun di negara jiran Indonesia.

Meskipun sering terpalit dengan beberapa kontroversi sesama ahli kumpulan, ia nyata tidak mematahkan semangat peminat untuk menjulang nama mereka sebagai idola.

Terbaharu, mereka bakal membuat penampilan dalam Konsert Search Rock On 40 yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 4 Disember nanti.

Datuk Seri Siti Nurhaliza

Penyanyi nombor satu negara ini merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Diminati pelbagai kaum dan bangsa, penampilan Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43, di pentas nyanyian sentiasa menjadi tumpuan ramai oleh kerana persembahannya yang cukup menakjubkan dan berada di tahap yang tersendiri.

Bakatnya bukan sahaja dihormati dalam negara, malah turut disegani di peringkat antarabangsa apabila Siti Nurhaliza tersenarai dalam 'The World's 500 Most Influental Muslim' dari 2015 sehingga 2022.

Datuk Ramli Sarip

Datuk Ramli Sarip, 70, ataupun lebih dikenali sebagai 'Papa Rock' Malaysia sentiasa mengundang sorakan gemuruh ramai penonton menerusi keunikan vokalnya.

Lagu Kamelia, Teratai dan Doa Buat Kekasih merupakan antara lagu yang membuatkan bekas anggota Sweet Charity ini terus bertahan dan menghiburkan peminatnya.

Terkini, Datuk Ramli Sarip sedang sibuk menjelajah beberapa buah negeri menerusi Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 'Cinta Di Sebalik Musim'.

Dayang Nurfaizah

Sejak 1999 sehingga kini, Dayang Nurfaizah, 41, masih kekal relevan dengan kekuatan vokalnya apabila masih menjadi pilihan artis muda sebagai pasangan duet dalam lagu.

Meskipun pernah berdepan isu dengan syarikat pengurusannya sebelum ini, masalah itu nyata tidak mematahkan semangatnya apabila terus melangkah jauh dalam industri muzik tanah air.

Tergolong dalam kalangan artis eksklusif negara, Dayang masih mampu menjuarai Anugerah Juara Lagu 33 pada 2019 menerusi lagu duet bersama Hael Husaini yang bertajuk Haram.

Anuar Zain

Sering tampil dengan gaya maskulin dan eksklusif, Shahrul Anuar Zain, 52, ataupun Anuar Zain sememangnya digilai ramai peminat khususnya golongan wanita.

Tidak terlalu ghairah dalam menghasilkan album baharu mahupun duet sesama artis, Anuar Zain masih menerima banyak jemputan persembahan berprofil tinggi dan baru sahaja menamatkan konsert bersama kakaknya, Ziana Zain pada Ogos lalu.

Tiket konsert berkenaan dilaporkan terjual dengan laris selepas habis dijual dalam tempoh tiga hari sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram