Artis serba boleh! 5 selebriti Malaysia layak digelar idola


  • Hiburan
  • Selasa, 11 Okt 2022

Antara artis tempatan yang layak digelarkan idola oleh artis-artis muda kerana mempunyai pengalaman dan bakat yang meluas dalam seni hiburan tanah air.

BILANGAN artis dan selebriti tanah air yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, sememangnya satu situasi yang sedang berlaku ketika ini.

Bakat yang dicungkil daripada program rancangan realiti menghasilkan banyak muka baharu yang semakin dikenali dan disanjungi peminat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Namun, kebanyakannya dilihat hanya tertumpu ke arah bakat lakonan dan nyanyian sahaja walhal seni itu bersifat universal dan boleh diceburi dalam pelbagai bidang yang boleh mengangkat mereka ke tahap lebih tinggi setanding nama besar seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Kedua seniman negara itu sememangnya tiada pengganti namun tanpa kita sedari, terdapat beberapa nama artis kini yang boleh dikatakan hampir menyerupai dua insan tersebut.

Berikut Majoriti senaraikan lima artis versatil, serba boleh yang berkemahiran luas dalam pelbagai bidang seni di Malaysia.

Datuk M. Nasir

Dilahirkan di Singapura pada 4 Julai 1957, Datuk M. Nasir, 65, atau nama sebenarnya, Mohammad Nasir Mohamed merupakan satu nama yang besar dalam industri muzik negara.

Menerima jolokan 'sifu' dalam kalangan penggiat seni negara, M. Nasir merupakan seorang pelukis, pelakon dan komposer terkenal yang telah menghasilkan ratusan lagu hits waima di Malaysia mahupun Singapura.

Memulakan kerjaya sebagai pelukis, beliau kemudiannya bertukar menjadi seorang penulis selepas diberikan ruang utnuk menghasilkan lirik bagi kumpulan Alleycats.

Turut dikenali dengan watak Hang Tuah, Datuk M. Nasir cukup sinonim dengan watak pendekar itu menerusi filem lakonannya dalam Puteri Gunung Ledang.

Meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon dan penulis lirik, minatnya yang mendalam terhadap seni lukisan terbukti apabila beliau pernah menjalankan pameran lukisan yang dinamakan 'Tanda' pada 2014.

Imuda

Lebih dikenali dengan watak lakonan komedi dalam drama siri sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Abdul Rahim Muda, 63, ataupun Imuda merupakan seorang kartunis yang terkenal.

Hasil karyanya kerap disiarkan dalam majalah Gila-Gila yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan pembaca majalah humor satu ketika dahulu.

Selain daripada seorang kartunis, Imuda juga berkebolehan dalam menghasilkan seni lukisan potret dan telah beberapa kali mengadakan persembahan lukisan selain turut mempunyai bengkel kelas lukisan bagi mengasah bakat baharu.

Sehingga kini Imuda masih lagi bergiat aktif dalam dunia lakonan dengan lakonan terbaharunya menerusi drama Bukan Pi Mai Pi Mai.

Afdlin Shauki

Pelakon, pengarah dan juga penyanyi hebat ini mula dikenali menerusi filem arahannya Buli pada 2004.

Datuk Afdlin Shauki Aksan, 51, ataupun Afdlin Shauki sememangnya antara pengarah harapan negara satu ketika dahulu apabila menghasilkan pelbagai filem yang 'hits' di pawagam seperti, Baik Punya Cilok, Papadom, Sumolah dan banyak lagi.

Lebih cenderung ke arah dunia komedi, Afdlin juga banyak menerbitkan beberapa rancangan berbentuk hiburan di bawah syarikatnya sendiri seperti Super Spontan, Redah Kasi Pecah dan yang paling diminati ramai, Lawak Ke Der.

Meskipun lebih dikenali dalam dunia lakonan, Afdlin Shauki mula bertapak dalam industri seni sebagai seorang penyanyi di bawah label syarikat Roslan Aziz Produksi pada 1967.

KRU

Kehadiran KRU dalam industri seni tanah air sememangnya memberikan impak besar menerusi filem dan lagu terbitan syarikat adik beradik itu.

Memulakan karier sebagai sebuah kumpulan rap, zaman kegemilangan mereka bermula sekitar 1962 menerusi album Canggih yang berjaya mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat khususnya kaum wanita ketika itu.

Selain daripada giat menghasilkan album sendiri, kumpulan adik beradik ini turut melahirkan nama-nama artis terkenal seperti kumpulan Feminin, Elite, Indigo dan Forteen menerusi KRU Studios.

Selain daripada bidang nyanyian, KRU juga cukup sinonim dengan keberanian mereka dalam menghasilkan filem sinematografi tinggi seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Cicakman dan filem animasi Wheely.

Awie

Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali dengan Awie merupakan penyanyi utama kumpulan muzik rock terkenal tanah air, Wings.

Kerjaya seni Awie bermula pada 1987 bersama kumpulan Wings dengan kemunculan album pertamanya berjudul Belenggu Irama dan kemudiannya melonjakkan namanya ke bidang lakonan menerusi filem Pemburu Bayang pada 1993.

Dalam bidang lakonan, pelbagai watak yang pernah dibawakan oleh Awie dan tiada siapa pernah menyangka bahawa penyanyi rock itu boleh melakonkan watak komedi.

Filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah merupakan pencetus kepada sisi komedi Awie apabila watak yang dibawa berjaya mencuit hati serta meninggalkan impak besar kepada penonton sehingga ke hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Datuk Awie, M. Nasir, Imuda, KRU, Afdlin Shauki