Pelakon antagonis jadi pelawak, 5 artis lelaki makin famous selepas ubah watak


  • Hiburan
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Beberapa artis terkenal tanah air yang kini semakin dikenali dengan watak lucu.

WATAK antagonis merupakan satu peranan dan watak penting yang menjadi tumpuan ramai peminat filem tempatan ketika menonton di layar perak.

Meskipun dihujani pelbagai kecaman dan kebencian dalam kalangan penonton, namun keberkesanan watak yang dibawa dipercayai mampu meninggalkan impak besar kepada sesebuah filem itu.

Namun, tahukah anda bahawa beberapa artis antagonis tanah air yang pernah terkenal satu ketika dahulu kini sudah mula beralih arah menampilkan watak lucu.

Berikut Majoriti senaraikan lima artis lelaki watak antagonis yang kini lebih dikenali dengan imej seorang pelawak.

lead - 3

Kamarool Yusof

Kamarool Haji Yusoff, 63, ataupun lebih dikenali dengan watak lakonan Cik Man menerusi filem Rock memulakan karier lakonan sebagai seorang penjahat dan watak antagonis satu ketika dahulu.

Pada 1991, Kamarool Yusoff pernah mencetuskan fenomena menerusi lakonan sensinya dalam filem Kanta Serigala.

Membawakan watak sebagai Rahim, peranan jahat yang dibawa nyata mengundang pelbagai kecaman penonton ketika itu apabila turut melakukan adegan rogol dan bunuh dalam filem tersebut.

Kini beliau lebih dikenali dengan pelbagai watak lucu menerusi filem pecah panggung Rock, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Mael Totey The Movie.

kazar

Kazar

Pelakon dan penyanyi veteran negara, Kazaruddin Saisi, 64, sememangnya terkenal dengan watak antagonis menerusi drama dan filem di layar perak.

Antara watak antagonis yang paling digemari ramai adalah 'Degawan' dalam drama siri Susuk yang disiarkan di televisyen.

Namun, kebelakangan ini namanya semakin menyinar dalam dunia lawak tanah air apabila sering menerima tawaran watak sebagai seorang penghibur.

Antara drama lucu yang pernah dilakonkan olehnya adalah Kampong Pisang Bersiri-siri, Mamu Mami Gosip dan Ops Cinta Din Sardin.

jalil

Jalil Hamid

Pelakon otai dan berpengalaman tanah air, Jalil Hamid, 65, sememangnya disegani ramai pelakon dan pelapis muda masa kini.

Malah, sehingga kini namanya kekal relevan di layar perak apabila masih menerima banyak tawaran lakonan sama ada dalam filem mahupun drama di kaca televisyen.

Meskipun terkenal dengan perwatakan tegas dan lakonan jahat di awal pembabitannya, Jalil juga kian mencuri perhatian ramai apabila banyak menghiasi drama lucu kebelakangan ini.

Lebih mengejutkan, pelakon itu pernah membuat penampilan dalam rancangan realiti Maharaja Lawak Mega pada 2011 namun perjalanannya tidak berpanjangan apabila tersingkir di pusingan ke empat.

awii

Awie

Datuk Ahmad Azhar Othman, 53, atau lebih dikenali dengan Awie merupakan penyanyi utama kumpulan muzik rock terkenal tanah air, Wings.

Banyak melakonkan watak maskulin dan antagonis dalam dunia lakonan, tiada siapa pernah menyangka bahawa penyanyi rock itu boleh melakonkan watak komedi.

Filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah merupakan pencetus kepada sisi komedi Awie apabila watak yang dibawa berjaya mencuit hati serta meninggalkan impak besar kepada penonton sehingga ke hari ini.

AZHAN_RANI_1562739104

Azhan Rani

Azhan Abdul Rani, 46, memulakan kerjaya awalnya dalam bidang lakonan menerusi teater dan drama radio sekitar 1994.

Pelakon itu pernah meluahkan keluhannya apabila sering diberikan watak jahat satu ketika dahulu dan antara lakonannya yang paling diingati sehingga ke hari ini adalah menerusi drama Amukan Pocong.

Namun, segalanya berubah apabila beliau tampil dengan kelainan membawakan watak lucu menerusi drama Geng Surau sekitar 2013 yang nyata berjaya melonjakkan namanya sebagai pelakon pelawak masa kini.

Lebih menarik, artis kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu turut mempunyai sejenis penyakit latah yang lucu.

Maka tidak hairanlah mengapa ramai yang suka berkawan dengan beliau kerana pelakon ini menghiburkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram