MENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi sememangnya diminati ramai masyarakat tidak kira jantina lelaki mahupun wanita.
Ada yang menganggap ia sebagai sukan ataupun hobi mahal, namun minat mendalam pada kelajuan dan permotoran membuatkan seseorang itu sanggup mengorbankan wang ringgit yang besar bagi memenuhi hasrat terpendam.
Tidak ketinggalan, beberapa artis wanita tanah air turut menjadikan sukan permotoran sebagai hobi mereka.
Berikut Majoriti senaraikan lima artis wanita tempatan yang dilaporkan gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi:
Erra Fazira bersama Datuk Awie. — Agensi
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 48, cukup dikenali dengan karakter lasak dan sisi feminin dalam kalangan peminat.
Namun, bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu turut meminati sukan permotoran apabila sering menunggang motosikal berkuasa besar dan menjelajah ke beberapa buah negeri bersama rakan artis yang lain.
Meskipun pernah terlibat dalam kemalangan, perkara itu langsung tidak mematahkan semangatnya dan ia dianggap satu perkara biasa dalam dunia permotoran.
Siti Elizad — Instagram
Seorang lagi selebriti tanah air, Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 38, ataupun lebih dikenali sebagai Siti Elizad merupakan antara yang aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Aktiviti itu sering dilakukan bersama suaminya yang juga penunggang motosikal dan kakitangan syarikat permotoran terkemuka, Harley-Davidson.
Selain meminati sukan tersebut, Elizad mempunyai hampir kesemua koleksi barangan jenama Harley. Maka tidak hairanlah ada yang menggelarnya sebagai 'Kakak Harley'.
Janna Nick — Agensi
Terkenal dengan watak lasak dan aktif di layar perak, pelakon berkulit cerah ini sememangnya tidak gentar pada kelajuan dan cabaran.
Nurul Jannah Muner, 27, ataupun Janna Nick cukup meminati bidang permotoran terutamanya motosikal berkuasa tinggi.
Meskipun ramai yang tidak percaya akan kebolehannya, persoalan itu terjawab apabila dia dilihat mampu menunggang motosikal jenis Harley Davidson menerusi video di laman Instagram peribadinya.
Ahirine Ahirudin
Pengacara dan hos meningkat naik, Ahirine Ahirudin, 26, dikhabarkan mula jatuh hati dengan sukan pemotoran hasil dorongan bapanya sendiri.
Menganggap kecederaan merupakan asam garam kepada sukan pemotoran, pelakon filem Gadis Jolobu itu mengakui kemalangan motosikal tidak pernah membuatnya serik untuk kembali menunggang.
Pada 2021, Ahirine dilantik sebagai Duta Rasmi Dewi Yamaha yang sekali gus melonjakkan nama beliau dalam dunia permotoran.
Dira Abu Zahar — Instagram
Dira Abu Zahar, 38 atau nama sebenarnya Khaidiriah Abu Zahar antara artis terawal yang memiliki hobi tersebut sejak dua dekad lalu.
Awal pembabitannya dalam dunia permotoran, Dira dikatakan menggunakan wang simpanan sendiri untuk memiliki motosikal idaman.
Meskipun dilihat mula memperlahankan kerjaya seninya dengan memberikan tumpuan dalam bidang politik, Dira merupakan antara calon terbaik untuk dijadikan idola dalam dunia permotoran wanita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram