Warisi bakat ibu, Kak Ant nekad julang kraf Bumi Kenyalang ke peringkat antarabangsa


  • Hobi
  • Rabu, 16 Nov 2022

Kak Ant menjual hasil seninya menerusi laman Facebook, Instagram dan WhatsApp.

SARAWAK sememangnya kaya dengan limpahan hasil seni sulaman budaya daripada 27 etnik yang mewarisi kesenian dan cara pembuatan tradisional secara turun-temurun.

Pembuatan kraf tangan pada asalnya dilakukan oleh masyarakat bagi memenuhi keperluan harian, di samping untuk dijadikan sebagai tanda kasih kepada insan tersayang.

Buat Angelia Anak David Langi atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ant, teknik-teknik seni pembuatan kraf tangan seperti perhiasan diri wanita dipelajarinya daripada ibunya.

Aktiviti menghasilkan perhiasan seperti gelang manik merupakan hobi masa lapang bersama keluarganya, namun haluannya berubah apabila rakan-rakannya berminat pada hasil produknya.

Tanah liat dibentuk dengan menggunakan tangan.

Tanah liat kemudiannya dibakar dengan suhu 1080 darjah celsius.

Bermula dari situ, dia melanjutkan minatnya daripada sekadar menghasilkan seni secara suka-suka kepada menjadi seorang usahawan kraf tangan sehingga dilantik sebagai tenaga pengajar teknikal dalam bidang kraf tangan dan manik seramik.

"Keluarga saya memang mahir dalam bidang-bidang kesenian terutama mak. Mak pandai memasak, buat kraf tangan, menjahit, beranyam dan sebagainya.

"Boleh dikatakan minat dan bakat saya diwarisi daripada mak. Saya mula lakukannya sebagai hobi pada usia 10 tahun dan cuma menghasilkan aneka kraf tangan dengan manik-manik biasa.

"Setelah rakan-rakan saya menyuarakan keinginan mereka untuk membeli hasil kraf saya. Daripada situ saya cuba memberanikan diri untuk menjual hasif kraf.

"Sejak 2012, saya mengikuti pelbagai kursus, showcase dan acara dalam dan luar negara," katanya kepada Majoriti.

Kreativiti, kesabaran dan ketelitian merupakan aspek penting untuk pembuatan kraf.

Kak Ant merupakan tenaga pengajar teknikal dalam bidang kraf tangan dan manik seramik.

Tambah wanita berusia 43 tahun tersebut, kesemua perhiasan wanita rekaannya dibentuk dengan menggunakan tangan.

Bagi gelang dan rantai diperbuat daripada tanah liat, setiap adunan dibentuk akan dibakar dengan menggunakan proses pembakaran firing glaze 1080 darjah celsius.

"Dulu saya bakar tanah liat yang sudah dibentuk di kilang juga. Tapi saya terpaksa berulang alik dari Sri Aman ke Kuching yang memakan masa lebih kurang tiga jam.

"Lepas dapat bantuan geran dari Jabatan Pertanian, saya dapat buka kilang sendiri. Sekarang semua dibakar pakai mesin. Sekarang ini, saya dapat hasilkan 20 pasang subang sehari dan 30 utas gelang tangan. " jelasnya yang hanya memiliki seorang pekerja.

Sekiranya pembaca berminat melakukan kraf tangan dan mahu menjana wang daripada hobi tersebut, Kak Ant ada nasihat yang boleh dipertimbangkan:

Antara hasil gelang manik seramik hasil tangan Kak Ant.

1. Masuk kelas kraf tangan

Biarpun mempelajari kraf tangan daripada ibu sewaktu kecil dahulu, Kak Ant tetap memasuki pelbagai kursus kraf tangan sehingga kursus ke peringkat antarabangsa. Sebagai penghasil seni, lebih molek kalau kita terus perhalusi lagi kraf tersebut.

2.Teroka pelbagai reka bentuk

Terbuka untuk mencuba pelbagai reka bentuk daripada traditional ke kotemporari atau daripada lokal ke antarabangsa. Keterbukaan ini menjadikan kita lebih kreatif sekali gus mampu menterjemahkan hasil seni dengan lebih menawan.

3. Kreativiti, kesabaran, ketelitian

Proses pembuatan kraf tangan sebenarnya satu terapi minda. Oleh itu, penting untuk kita sentiasa berfikiran kreatif terhadap reka bentuk yang kita mahu, sabar dengan proses pembuatan dan teliti terhadap semua aspek agar kita puas dengan hasilnya nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram