Tolak tepi follower, 6 artis 'low profile' tempatan berbakat besar di layar perak


  • Hiburan
  • Jumaat, 28 Okt 2022

Beberapa artis terkenal tempatan yang low profile, namun berbakat besar di layar perak. — Agensi

BAKAT seseorang artis ataupun selebriti seharusnya bergerak seiring dengan sokongan peminat mahupun penggiat seni dalam industri tanah air.

Namun, pada zaman yang serba canggih ini, kredibiliti artis dilihat bersandarkan kepada rupa dan jumlah peminat sahaja apabila syarikat produksi perfileman turut memandang perkara itu sebagai perkara utama.

Mereka yang kurang menyerlah dan aktif di media sosial akan dianggap kurang bernilai daripada sudut pemasaran dan tarikan penonton di kaca televisyen.

Namun, persepsi negatif itu seakan-akan berjaya ditepis oleh enam artis tanah air ini yang rata-ratanya tidak mementingkan populariti, sebaliknya fokus dalam menghasilkan karya terbaik di setiap lakonannya.

Berikut Majoriti senaraikan enam artis Malaysia yang berstatus 'low profile' tetapi tetap 'meletup' di layar perak.

beto

Beto Khusyairy — Agensi

Nur Kusyairy Zakuan Osman, 42, ataupun lebih dikenali sebagai Beto Khusyairy merupakan contoh terbaik yang perlu dijadikan teladan pelakon-pelakon muda sekarang.

Bukan sahaja merendah diri, malah sifatnya yang dikatakan cerewet dalam menerima skrip dan watak lakonan membuktikan betapa seriusnya pelakon itu dalam menghasilkan sesebuah karya.

Memulakan kerjaya dalam dunia hiburan sebagai maskot untuk sebuah rancangan televisyen pendidikan bertajuk Along, Beto kemudiannya membuat kemunculan pertamanya di layar perak menerusi filem Syaitan pada 2007.

Meskipun kurang diberikan penghargaan di pentas anugerah, Beto mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila memenangi Pelakon Komedi Lelaki Terbaik (Filem) di Anugerah Lawak Warna 2015 dan Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2015.

amerul

Amerul Affendi — Agensi

Kurang dikenali di kaca televisyen, pelakon Mohd Amerul Affendi Mawardi, 36, ataupun Amerul Affendi berjaya mencuri hati peminat menerusi lakonannya yang mantap.

Memulakan kerjaya lakonan dengan membintangi drama Rona Roni Makaroni pada 2008, nama Amerul mula menjadi sebutan ramai menerusi filem Bunohan pada 2012.

Memegang watak Muski sebagai seorang peninju tomoi, filem itu turut dibintangi beberapa lagi nama besar dalam industri antaranya Zahiril Adzim, Faizal Hussein dan Pekin Ibrahim.

Baru-baru ini, Amerul membuat ciapan di Twitter berhubung kekecewaannya terhadap pandangan penerbit, Datuk A. Aida yang dilaporkan lebih mementingkan paras rupa bagi memilih hero dan heroin setiap drama terbitan produksi milik beliau.

sara

Sara Ali — Agensi

Siti Sarah Hairi Ali, 32, ataupun Sara Ali memulakan kerjaya lakonan pada 2011 dan ditawarkan berlakon dalam filem pertamanya, Penunggu Istana.

Meskipun pernah terpalit isu kontroversi bersama pelakon cantik Nur Fazura sedikit masa lalu, situasi itu nyata tidak memutuskan semangat beliau untuk terus berkarya sehingga ke hari ini.

Terbaharu, Sara Ali baru sahaja membuat kemunculan dalam filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di bawah arahan bersama Zulkarnain Azhar dan Frank See.

nadiya

Nadiya Nisaa — Agensi

Dilahirkan pada 11 Julai 1985 di Gombak, Selangor, Nadiyatul Nisaa Kamarudin, 37, merupakan bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Penyiaran di Universiti Teknologi Mara (UITM), Shah Alam.

Lebih mesra disapa Nadiya Nisaa, namanya melonjak naik selepas drama lakonannya bersama Datuk Aaron Aziz dalam drama adaptasi novel, Adam dan Hawa pada 2012.

Selain banyak membawa watak heroin, Nadiya juga pernah memainkan peranan sebagai seorang gadis kurang upaya dalam filem Cun! pada 2011.

Meskipun hanya memegang watak kecil dalam filem tersebut, lakonannya nyata menerima pelbagai komen positif daripada peminat.

bront

Bront Palarae — Agensi

Bront Palarae, 44, ataupun nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin merupakan seorang pelakon, penerbit dan pengarah berbakat tanah air.

Selain membintangi drama dan filem dalam negara, Bront juga telah menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi lakonannya dalam filem Jepun, Redemption Night dan Pengabdi Setan di Indonesia.

Terkenali dengan watak antagonis dan maskulin, Bront juga pernah mencetuskan fenomena menerusi filem Ola Bola apabila membawakan watak sebagai penyampai sukan.

Untuk rekod, filem itu telah mengutip RM15.85 juta di pawagam.

tiz

Tiz Zaqyah — Agensi

Siti Zaqyah Abdul Razak, 34, atau lebih dikenali sebagai Tiz Zaqyah memulakan kerjaya lakonannya menerusi watak sampingan dalam siri drama televisyen Gol & Gincu The Series pada 2005.

Lebih dikenali menerusi watak Nur Amina dalam Nur Kasih, drama itu melayakkan beliau untuk menerima anugerah Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 2009.

Selepas kejayaan itu, namanya kian menyepi seketika dalam industri tanah air sebelum kembali menyinar menerusi drama komedi romantik, Sebenarnya, Saya Isteri Dia! pada 2013.

Sehingga kini, Tiz Zaqkyah merupakan antara pelakon wanita terbaik yang masih kekal relevan untuk membawa watak heroin dalam drama ataupun filem.

Pada masa sama, Tiz Zaqyah juga dikatakan jarang berkongsi kisah peribadi bersama media meskipun aktif di laman sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram