PENYANYI popular Black Hanifah mengakui mula meminati aktiviti beriadah terutama berkhemah kerana sering melakukan aktiviti itu bersama keluarga sejak kecil.
Kata Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 35, sejak kecil dia kerap melakukan aktiviti lasak seperti sukan pacuan empat roda di kawasan hutan.
Memandangkan lokasi sebegitu sukar untuk mendapatkan tempat penginapan, Black memilih untuk 'pacak' khemah bagi membolehkan dia dan ahli keluarga berteduh serta tidur.
"Sejak kecil saya memang suka melakukan sukan lasak. Boleh dikatakan pantang ada peluang, saya akan pergi berkhemah dan boleh dikatakan sebagai hobi mengisi masa lapang.
"Masa kecil boleh dikatakan saya tidak sabar tunggu hari hujung minggu untuk pergi berkhemah. Pelbagai perkara saya belajar seperti cara menghidupkan unggun api dan memasang khemah," katanya kepada Majoriti.
Isteri dan anak turut menyokong minat Black yang gemar melakukan aktiviti sukan permotoran.
Apabila meningkat dewasa, minat terhadap aktiviti perkhemahan itu tidak pernah pudar meskipun dirinya sudah bergelar selebriti.
Tidak dinafikan, kepadatan jadual kerja sedikit sebanyak menghadkan dirinya daripada terlibat dengan perkara itu.
Namun, Black enggan menjadikannya sebagai alasan untuk 'membuang' segala kenangan dan keseronokan apatah lagi aktiviti perkhemahan itu sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
"Saya turun segala ilmu terhadap sukan lasak dan perkhemahan kepada anak, Khaleef Dayyan dan Rindu Dayyana," ujarnya.
Black kemudian 'menaik taraf' hobinya itu kepada motorhome. Dia menjadikan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 untuk membina sendiri kenderaan tersebut.
Jelasnya, memiliki motorhome sendiri dapat menjimatkan pembelanjaan kos penginapan dan memberi pilihan untuk menginap di mana-mana.
"Meminati motorhome kerana kasihan melihat isteri (Naquia Yasirah Mohd Khairi) dan anak berasa tidak selesa ketika menemani saya melakukan aktiviti motorcross.
Black sekeluarga bersama motorhome mereka.
"Kemudian saya ambil keputusan untuk membina sendiri sebelum membeli sebuah motorhome sedia ada dan menggunakan ketika melakukan aktiviti di hutan," jelasnya.
Bagi Black, meskipun saiz motorhome kecil, tetapi kenderaan itu memiliki kemudahan sama seperti sebuah kediaman antaranya tandas, dapur, peti sejuk dan tempat tidur.
"Memang seronok apabila dapat bercuti dengan kenderaan sebegini, namun perlu diingatkan tentang penjagaan keselamatan.
"Kelengkapan keselamatan seperti alat pemadam api dan peti kecemasan perlu ada kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini," ujarnya.
Pada masa sama, Black turut berkongsikan beberapa tip kepada mereka yang mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu.
Aktiviti motorhome dilihat sudah mendapat perhatian peminat tempatan.
1. Perasaan takut
Individu yang ingin melakukan aktiviti ini perlu membuang perasaan takut atau bimbang terutama ketika berada di tapak perkhemahan. Tidak salah untuk menyimpan perasaan curiga, tetapi jangan sampai mendominasi keputusan dan menolak aktiviti itu mentah-mentah.
Jika masih ragu-ragu, mulakan dengan tapak perkhemahan terlebih dahulu. Selalunya ada individu yang akan mengawasi sekitar kawasan.
2. Pendawaian
Sekiranya ada yang ingin membina motorhome sendiri, keselamatan perlu diutamakan lebih-lebih lagi melibatkan sistem pendawaian elektrik. Mengakui teknik pemasangan banyak dikongsikan dalam talian, tetapi itu tidak bermaksud boleh dilakukan tanpa pemantauan mahir.
Sekiranya berasa ragu-ragu, lebih baik membiarkan individu pakar yang melakukannya bagi mengelakkan sebarang kemungkinan seperti kebakaran, letupan atau kerosakan peralatan elektronik.
3. Pengudaraan
Penggunaan kipas udara penting bagi mengelakkan rasa panas atau kurang selesa. Pengaliran udara juga perlu terutama selepas memasak dan juga bagi mengelakkan bau kurang menyenangkan.
4. Alat keselamatan
Pemasangan alat pengesan asap dan gas beracun di dalam motorhome penting untuk keselamatan. Alat tersebut dapat membantu pemilik untuk mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan kemalangan menjadi lebih buruk. Sebaiknya simpan alat pemadam kebakaran dan peti pertolongan cemas di kawasan yang mudah dicapai serta dilihat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram