Jangan desak tapi beri anak kebebasan pilih hobi


  • Hobi
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Kenal pasti minat anak-anak agar dapat mengetahui hobi yang sesuai buat mereka.

SOKONGAN ibu bapa amat penting untuk tumbesaran anak-anak dalam membentuk peribadi dan personaliti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Disebabkan itu ibu bapa perlu memberi pendedahan dan ruang buat anak-anak agar dapat mengetahui minat dan kecenderungan mereka bermula dengan aktiviti masa lapang.

Pemilihan hobi yang tepat pada usia kanak-kanak juga dapat membantu untuk mengesan bakat mereka apabila dewasa nanti.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik Neonatologi, Dr Zurina Zainudin, pendedahan dengan kepelbagaian aktiviti memberikan pengalaman baharu bagi mengisi masa lapang anak-anak.

Katanya, ibu bapa perlu beri peluang kepada untuk mengenal pasti minat anak sama ada melakukan aktiviti seperti melukis, menari, bersukan atau bermain muzik.

Practice makes perfect. Hispanic pretty girl memorizing and practicing the guitar chords in her acoustic instrument

Belajar bermain alat muzik antara salah satu hobi yang boleh menyerlahkan kreativiti.

“Anak memerlukan panduan daripada ibu bapa untuk mendorong mereka mengetahui minat apa yang sesuai. Setelah itu perhatikan cara anak bermain atau kecenderungan terhadap satu-satu aktiviti dilakukan.

“Bermula dengan hobi, kita (ibu bapa) dapat membimbing mereka untuk melakukan perkara berfaedah dan lebih menghargai masa,” katanya kepada Majoriti.

Terlalu mendesak

Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu bersabar dan tidak terlalu mendesak anak melakukan perkara yang bukan diminati mereka. Sebagai contoh ibu bapa inginkan anak menghadiri kelas tarian balet sedangkan perkara itu bertentangan dengan minat mereka.

“Beri ruang masa untuk anak melakukan aktiviti yang diminati tanpa mendesak atau memaksa kerana ini mungkin akan menghilangkan minat terhadap aktiviti.

“Dalam tempoh ini minat anak juga akan berubah dari semasa ke semasa. Cuba sokong minat dan hobi mereka itu dengan cara menyediakan peralatan yang diperlukan,” terangnya.

Pakar perubatan itu turut memberitahu salah satu cara untuk mendisiplinkan anak adalah dengan menyediakan jadual aktiviti harian.

Cara begitu dapat mendidik anak agar bijak menyusun dan menghargai masa dengan melakukan aktiviti kegemaran mereka pada setiap hujung minggu atau waktu tertentu.

high-angle-artisan-doing-pottery

Aktiviti kraf tangan seperti membuat tembikar dapat membantu anak untuk menjadi lebih fokus.

“Pada peringkat permulaan ibu bapa perlu memperkenalkan jadual kepada anak secara berperingkat sehingga menjadi runtin harian. Cara untuk menggalakkan anak mematuhi jadual yang disediakan, ibu bapa boleh menyediakan sistem ganjaran,” katanya.

Sementara itu, Dr Zurina turut menasihati agar jangan terlalu cepat menghukum sekiranya anak tidak mengikut ketetapan jadual.

“Jika anak leka atau asyik bermain permainan video terlalu lama, ibu bapa boleh menghadkan masa dengan cara berperingkat.

“Jelaskan keburukan dan mengapa tindakan itu diambil. Secara perlahan-lahan mereka akan memahami dan tahu menyusun masa sendiri,” jelasnya.

Bagi membantu ibu bapa untuk membentuk minat anak terhadap memiliki hobi, Dr Zurina berkongsi beberapa contoh aktiviti yang boleh dilakukan.

  1. Menggemari alam semula jadi. Lakukan aktiviti seperti mendaki bukit, memancing, berkebun atau fotografi.
  2. Aktiviti fizikal. Luang masa melakukan aktiviti seperti berbasikal, menari, mempelajari seni pertahanan diri atau bersukan.
  3. Kraf. Aktiviti seperti melukis, mewarna, mencanting batik, seni tembikar dan seni ukir.
  4. Kesenian. Boleh lakukan aktiviti seperti menghadiri kelas tarian, drama, lakonon teater mahupun bermain alat muzik.
  5. Menambah ilmu pengetahuan. Aktiviti seperti membaca, melawat muzium, perpustakaan atau ke tempat tempat bersejarah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram