Status OKU tidak halang Prof Madya Naziaty bergelar pensyarah


Prof Madya Naziaty akhirnya menamatkan kariernya sebagai warga pengajar melihat kepada usia dan keadaan semasanya. — Facebook/Naziaty Mohd Yaacob

TIDAK boleh dinafikan, tugas sebagai seorang warga pendidik adalah satu ujian apabila mereka perlu tabah dalam menabur ilmu kepada anak murid.

Namun, cabaran itu tidak menghentikan ribuan pengajar dalam negara yang berhasrat membina sebuah masyarakat bertamadun menerusi kepakaran dimiliki mereka.

Bagi Prof Madya Naziaty Mohd Yaacob, statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak menyekat cita-citanya untuk menjadi seorang pensyarah di beberapa universiti ternama tanah air, termasuk Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

"Saya pernah mengajar di beberapa pusat pengajian dan saya berada dalam karier ini sejak saya berusia 29 tahun, iaitu selepas saya baru sahaja menamatkan pengajian.

"Sewaktu bergelar pensyarah junior, saya tidaklah terlalu berharap dengan kerusi roda kerana saya masih boleh berjalan-jalan walaupun menggunakan tongkat," katanya kepada Majoriti.

Tambah bekas pengajar di Fakulti Alam Bina UM itu, cabarannya dalam bidang tersebut mula bertambah apabila dia bergelar pensyarah senior setelah beberapa tahun mengajar.

204193517_10158867488141523_582053747070699600_n

Prof Naziaty tidak pernah mengenali erti putus asa ketika menjadi pensyarah. Facebook/Naziaty Mohd Yaacob

Perkara itu berikutan keadaan fizikalnya yang sedikit merosot serta tanggungjawab semakin berat melihat kepada keupayaan dan pengalamannya dalam bidang kejuruteraan.

Di samping itu, Naziaty turut sempat berkongsi kesusahan yang perlu ditempuhinya sepanjang kira-kira 30 tahun mengajar di beberapa institusi pengajian tinggi seluruh negara.

"Salah satu perkara yang saya teringat adalah apabila terdapat keputusan pihak universiti untuk memindahkan pejabat daripada blok lama ke blok baharu kerana baru sahaja disiapkan.

"Jadi, saya lihat bangunan lama itu tiada kemudahan seperti lif untuk membantu saya kerana saya perlu pergi ke studio untuk sesi pembelajaran," katanya.

Dia juga berasa sedikit kesal apabila segala urusan aduan perlu dilakukan dengan sendiri sekiranya terdapat kerosakan, yang pastinya memberi kesan terhadap semangatnya di universiti tersebut.

Lebih teruk lagi, pihak pengurusan pernah mengatakan Naziaty mempunyai 'agenda tersendiri' sebagai seorang OKU dalam mendapatkan kemudahan di pusat pengajian tersebut.

"Selepas saya kemukan aduan untuk memperkenalkan lif di satu bangunan itu, pihak atasan mengambil masa hampir lima tahun kerana mungkin perlu melalui pelbagai proses," katanya.

Naziaty juga berkata, meskipun perlu berdepan halangan-halangan itu, semangatnya untuk menerapkan unsur kebolehcapaian dalam bidang seni bina adalah perkara yang menyebabkannya kekal sebagai seorang pensyarah.

"Semasa saya masih belajar, seni bina ini tidak menekankan konsep kebolehcapaian kerana mereka hanya melihat kepada seni estetik sesuatu binaan dan kurang mengenai fungsi binaan itu.

"Jadi, apabila saya sudah masuk dalam bidang ini, saya cuba untuk memasukkan unsur ketidak upayaan ini ke dalam kurikulum seni bina," katanya.

Perkara itu kelihatan seakan-akan membuahkan hasil buatnya apabila pengkhususan yang diperkenalkannya di UM boleh dipelajari mahasiswa ketika ini.

31655411_10156447211515555_4012256575593906176_n

Pensyarah cekal itu berjaya meraih pelbagai pencapaian sepanjang kariernya. Bernama

Selain itu, pensyarah itu juga berjaya memperkenalkan serba sedikit konsep sejagat dalam kursus pengajian, sekali gus memberi pendedahan awal mengenai perkara itu.

Kini, selepas bertahun-tahun mencurahkan ilmu, Naziaty akhirnya menamatkan kariernya sebagai pensyarah pada 2022 melihat kepada usianya yang mencecah 60 tahun.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, pelbagai pencapaian berjaya diraih dengan melihat Anugerah Cemerlang Universiti Malaya sebagai penghargaan tertingginya.

"Anugerah Tokoh Pekerja saya pernah terima sebanyak dua kali daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa anugerah lain.

"Tetapi, yang paling saya hargai ialah Anugerah Cemerlang Universiti Malaya pada 2019 tidak silap saya kerana saya berasakan, saya dinilai sebagai seorang akademik dan bukan seorang OKU," tegasnya.

Jelasnya, anugerah itu seakan-akan mengiktiraf pencapaian dan ilmunya dalam bidang sains sosial serta mengangkat namanya berbanding pensyarah-pensyarah lain di universiti tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram