DALAM sukan bola sepak, figura seorang wanita pasti kedengaran sedikit asing lebih-lebih lagi membabitkan sukan bola sepak tempatan.
Perkara itu sendiri diakui oleh pengurus pasukan bola sepak wanita Melaka United, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah yang sudah terlibat dalam bidang itu sejak 2016.
"Penyertaan saya dalam pengurusan bola sepak adalah atas minat mendalam saya terhadap sukan ini.
"Saya tak pilih sukan yang sinonim dengan wanita seperti bola jaring. Apa yang saya cuba lakukan adalah untuk bangunkan bola sepak wanita di negara ini.
"I want to ring a bell. Saya mahu membuka mata pihak-pihak tertentu untuk memartabatkan sukan ini ke peringkat lebih tinggi kerana percaya kepada kemampuannya untuk pergi lebih jauh," katanya kepada Majoriti.
Siti Faidul (tiga dari kiri) memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita FAM. — Facebook
Beliau berkata, hal itu secara tidak langsung akan membantu dari segi pembangunan dan publisiti sukan bola sepak wanita negara.
"Tak seperti bola sepak lelaki, bola sepak wanita bukan semua orang mahu bantu dengan lebih agresif dalam perkasakan bidang itu.
"Jadi seseorang kena pikul tanggungjawab tersebut," katanya yang juga menyandang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bercerita mengenai pembabitannya dalam pengurusan bola sepak, Siti Faidul Maisarah berkata, beliau banyak didorong oleh pembabitan kedua-dua ibu bapanya dalam sukan itu sendiri.
"Ayah saya merupakan seorang pengadil bola sepak dan ibu saya juga merupakan pengadil bola sepak wanita pertama Melaka.
"Saya suka tengok karier pengadil bola sepak wanita... suka lihat mereka dapat menjadi sebahagian daripada perlawanan-perlawanan menarik di serata negara dan antarabangsa.
"Hal ini yang secara tidak langsung mendorong saya terlibat dalam pengurusan bola sepak," ceritanya lagi.
Filem berjudul A Barefoot Dream ini memberi inspirasi kepada Siti Faidul Maisarah. — Google
Kongsi Siti Faidul lagi, beliau juga banyak terinspirasi dengan filem-filem yang mempunyai elemen sukan di dalamnya.
"Kalau ada filem yang tunjukkan sesebuah team daripada zero to hero, memang saya suka. Kita tengok mereka scout pemain yang bagus-bagus, ada antara mereka yang susah tapi akhirnya mereka bergelar juara.
"Ada satu filem ini berjudul A Barefoot Dream yang mengisarkan seorang jurulatih dari Korea yang membimbing budak-budak miskin di Timor Leste dalam sukan bola sepak.
"Usaha murni jurulatih dan semangat anak-anak itu bermain bola sepak dalam serba kekurangan sangat-sangat menyentuh perasaan dan memberi inspirasi kepada saya," katanya.
Siti Faidul (dua kiri) menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan Melaka United mengekalkan kejuaraan PTSR 2022. — Facebook
Menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan Melaka United mengekalkan kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022 dengan mengatasi Negeri Sembilan 1-0 pada aksi final di ibu negara, Siti Faidul Maisarah mengakui ia bukan tugas mudah.
"Nak meraih kejuaraan itu bukan senang tetapi sebenarnya nak mempertahankannya kejayaan itu yang lebih sukar.
"Kami tewas pada aksi pembukaan di tangan Sabah namun bangkit pada dua aksi kumpulan A untuk bergelar naib juara, sebelum melepasi halangan Selangor di separuh akhir," ujarnya.
Berkongsi tip kejayaan, beliau berkata, tiada resipi istimewa sebaliknya apa yang diterapkan termasuk memiliki hubungan akrab dengan setiap pemainnya.
Bukan dalam kalangan pemain Melaka United, malah kebanyakan pemain-pemain pasukan lain dalam Liga Wanita Malaysia adalah anak-anak buahnya.
Siti Faidul Maisarah bercita-cita mahu memartabatkan sukan bola sepak wanita ke peringkat lebih tinggi. — Facebook
Siti Faidul yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Massa Universiti Teknologi MARA (UiTM Kampus Rembau), Negeri Sembilan berkata, beliau membentuk kepercayaan dalam diri setiap pemain terhadap dirinya.
"Saya create trust dengan pemain supaya saya dapat kepercayaan mereka dan pada masa sama, mereka juga percaya kepada saya.
"Bagi saya, mereka dianggap seperti adik-adik dan mereka boleh datang untuk luahkan apa sahaja untuk saya dengar atau bantu.
"Tak kisahlah masalah apapun yang dihadapi, saya tahu dan akan cuba bantu setakat mana yang termampu kerana saya mahu barisan pemain ini beraksi cemerlang atas padang.
"Saya mahu mereka main dan beri 200 peratus komitmen atas padang. Saya nak benda itu dan apabila saya mahukannya, dah tentulah saya kena give and take dengan mereka," katanya.
Siti Faidul Maisarah (tiga kiri) mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan pemain-pemainnya. — Facebook
Tambahnya, seseorang pengurus atau jurulatih yang baik perlulah membuang sikap ego dalam diri kerana ia akan menjejaskan pasukan.
"Ada sesetengah individu ini ada sifat ego dengan pemainnya, itu sebab dia susah nak catch-up dengan mereka dan bila nak minta tolong dengan pemain ini, ia jadi susah.
"Tapi kalau kita cakap dengan pemain-pemain kita bahawa kita adalah satu keluarga, ia berbeza. Saya selalu kata anggap saya macam kakak, bukan hanya pengurus...jadi memang ada hubungan baik dan rapat dengan mereka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram