Rahsia di sebalik 3 amalan penting perlu dilakukan ketika Maulidur Rasul


  • Mukmin
  • Khamis, 06 Okt 2022

Sambutan Maulidur Rasul pada Isnin bersempena menzahirkan kecintaaan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin, inspirasi dan Rasul kepada ummah. — Gambar Hiasan

SETIAP tahun kita menyambut kelahiran Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal, menurut pandangan jumhur ulama seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Kathir (pandangan Ibn Ishaq), sambutan tersebut adalah bersempena menzahirkan kecintaaan kepada Nabi Muhammad sebagai pemimpin, inspirasi dan Rasul kepada ummah ini.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut Maulidur Rasul, timbul dua persoalan pokok berhubung sambutan ini, pertama apakah amalan terpenting yang ingin kita lakukan pada hari kelahiran baginda dan kedua, apakah rahsia di sebalik amalan tersebut.

Perlu difahami juga, amalan ini tidak terhad kepada hari Maulid sahaja tapi perlu berusaha melaksanakannya dan melaziminya di hari lain.

Malah pengkhususan tiga amalan tersebut bukanlah terhad kepada ketiga-tiganya sahaja.

Ingat, tiga amalan itu disarankan adalah kerana ianya amalan yang paling hampir kepada pembuktian dan menyuburkan cinta kepada Rasulullah SAW.

Tiga amalan yang disarankan adalah:

1) Berselawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW

WhatsApp Image 2022-10-05 at 7.56.52 PM

Selawat merupakan sebuah usaha dalaman untuk mengukuhkan cinta kepada Rasul. — Gambar Hiasan

Berselawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW merupakan sebuah lafaz cinta kepada beliau yang kedua tertinggi selepas syahadah. Nabi Muhammad bersabda berhubung kelebihan selawat;

Sabda Rasulullah ﷺ:

وصلُوا علي فإِن صلاتكُم تبلغني حيثُ كُنتُم

“Dan berselawatlah ke atasku. Sesungguhnya selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana jua kamu berada,” (Sunan Abu Daud – dinilai sanad yang Sahih oleh Ibn Hajar)

Sabda Rasulullah ﷺ:

أولى الناس بي يوم القيامة أكثرُهم علي صلاة

“Manusia yang paling utama disisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku,” (HR al-Tirmizi – dinilai Hasan)

Namun penting untuk difahami, memperbanyakkan selawat sahaja tidak mencukupi sebagai seorang pencinta baginda, kerana selawat merupakan sebuah usaha dalaman untuk mengukuhkan cinta kepada Rasul.

Kita perlu menghidupkan semula sunnah Nabi Muhammad yang telah baginda tinggalkan.

2) Menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW

Nabi Muhammad SAW meninggalkan dua klasifikasi sunnah untuk diikuti; pertama adalah sunnah ‘jabaliyah’ ataupun sunnah di dalam perbuatan-perbuatan biasa seorang manusia.

Contohnya sunnah memakai celak, menyikat rambut, memakai wangian, menyimpan janggut, bersugi dan lain-lain. Mengikut pandangan Syeikh Abu Zahrah, sunnah-sunnah itu tidaklah memberikan pengamalnya pahala melainkan dihadirkan cinta kepada Nabi. Beliau menambah, sunnah-sunnah tersebut bukanlah keutamaan hidup seorang muslim.

WhatsApp Image 2022-10-05 at 7.56.10 PM

Memakai celak antara sunnah Rasulullah SAW. — Gambar Hiasan

Maka seorang muslim perlu berusaha memusatkan kehidupannya kepada sunnah-sunnah yang lebih besar yang difahami daripada arahan-arahan Rasulullah (Sunnah Qauliyah).

Sebagai contoh di dalam aspek rumah tangga beliau kuat menekankan seperti menjadi seorang ketua keluarga yang beriman, bertaqwa, sabar dan rajin, menjadi seorang isteri yang solehah dan tinggi sifat malunya.

Di dalam aspek keutamaan hidup, baginda Rasul menekankan berpegang kepada syariat, dengan meletakkan arahan ALLAH sebagai nombor satu, contohnya seorang bekerja tetapi jangan sehingga melupakan tanggungjawab kepada anak dan ibu bapa.

Contoh kedua seorang yang sedang berhibur jangan sesekali lalai daripada solat dan amanah.

Dan dua sunnah terpenting yang ditinggalkan beliau adalah keilmuan seorang muslim, yang mana seorang muslim akan menuntut ilmu sehingga meninggal dunia.

Seorang muslim akan melaksanakan semua perkara berdasarkan ilmu yang kukuh, dan seorang muslim akan sentiasa mengembangkan ilmu sedia ada. Amat malu, sekiranya seorang muslim tidak mengambil ilmu sebagai sebuah keutamaan di dalam kehidupan.

3) Membaca sirah Nabi Muhammad dan menghidupkan perjuangan sebagai sunnah utama

Sunnah kedua selepas menuntut ilmu adalah perjuangan baginda di dalam menegakkan Islam sebagai sebuah agama yang bukan sekadar pada praktis hidup individu sahaja, tetapi kepada sebuah agama yang menjulang peradaban insaniyah.

Perjuangan memastikan manusia sentiasa menuju ke arah kemajuan aqidah, akhlak, budaya, sosial, ekonomi, politik dan lain-lain. Perjuangan baginda yang memberi kefahaman bahawa umat Islam haram untuk bersifat mundur dan pemalas.

Umat Islam perlu sentiasa berjuang dan membangunkan tamadun yang membawa kebahagian dunia dan akhirat, kemakmuran, kemajuan yang jelas dirasai secara zahir di dunia.

Sunnah itu hanya akan difahami dengan pembacaan yang mendalam dan berterusan di dalam sirah baginda.

Rasulullah akhirnya berjuang, berdarah, dihina, dicerca, berkorban jiwa raga dan tenaga, adalah untuk menghidupkan sunnah ini dan bukan untuk menghidupkan sunnah-sunnah kecil seperti minyak wangi dan celak.

Semoga kehidupan kita mencintai baginda dengan sedalam-dalamnya dan subur dengan menghidupkan sunnah utama Nabi Muhammad SAW. Insya-ALLAH. — Majoriti

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian

Ketua Sekretariat Penulisan Ulum Syarak, (Pemikir)

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram