Pernah dihina rakan sejawat, guru OKU tak pernah kibar bendera putih


Bukan sahaja cekal, semangat dan dan keazaman Huzaire juga tidak pernah luntur. — Facebook/Cikgu Mohd Huzaire Haji Ahmad

HENDAK seribu daya, tak nak seribu dalih. Itulah pepatah yang tepat untuk menggambarkan kesungguhan seseorang dalam mencapai hasratnya meskipun berdepan seribu satu halangan dan cabaran.

Bagi seorang guru muzik, Huzaire Ahmad, kata-kata itu pastinya dipegang sehingga membolehkannya berada di satu tahap yang sukar untuk dipercayai sekiranya kisah guru cemerlang itu tidak dikongsikan sebagai inspirasi khalayak.

Kehidupannya yang dahulu normal sebagai seorang penuntut Diploma Perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang berubah sama sekali selepas berdepan satu kemalangan tidak diduga kira-kira 23 tahun lalu.

"Semasa semester terakhir yang merupakan tempoh praktikal, saya jatuh daripada sebatang pokok rambutan ketika berada di Perak dan walaupun pokok itu tidak terlalu tinggi, kemungkinan cara saya terjatuh itu menyebabkan tulang belakang saya patah," katanya kepada Majoriti.

Akibat kejadian itu, dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, namun ia bukanlah penghalang kepada cita-citanya untuk bergelar seorang pendidik.

26425_116155241739120_3588426_n

Nasib Huzaire berubah selepas insiden tersebut. Facebook/Cikgu Mohd Huzaire Haji Ahmad

Sering bersikap dan berfikiran positif, guru berusia 46 tahun itu tidak menjadikan keadaannya sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai alasan untuk mematahkan semangatnya.

"Pada awalnya, ada juga panggilan daripada pihak pentadbiran untuk menilai kemampuan dan kemampuan saya dan apabila mereka melihat keazaman saya untuk mengajar, mereka telah memberikan saya peluang untuk menamatkan kursus praktikum.

"Selepas menamatkan tempoh praktikum, saya telah ditempatkan di sebuah sekolah sekitar sempadan Pahang dan Terengganu yang saya sememangnya ambil peluang itu," katanya.

Tambahnya, kedatangannya di sekolah itu juga memberi kejutan kepada para guru dan ibu bapa yang seakan-akan tidak percaya dengan kebolehan dan kemampuannya sebagai seorang guru.

"Apabila saya sampai di sekolah itu, ramai yang terkejut termasuk pentadbir, cikgu-cikgu, para murid dan termasuk ibu bapa yang berasakan bahawa mereka terpaksa menerima seorang guru berkerusi roda.

"Tetapi, saya mempunyai satu niat, iaitu saya cukup meminati bidang perguruan ini dan saya berazam untuk melakukan yang terbaik dan saya terus mengajar seperti biasa," kongsinya.

Sejak itu, guru berhati waja itu tidak lagi menoleh ke belakang meskipun berdepan onak duri dan cabaran dalam meneruskan kariernya untuk mencurahkan ilmu kepada anak muridnya.

CABARAN DAN ONAK DURI

Selepas terpaksa bergantung dengan penggunaan kerusi roda, Huzaire pasti berdepan pelbagai kesukaran untuk bergerak selain menggunakan segala kemudahan, termasuk tandas dan kawasan tempat tinggal.

"Kuarters ketika di sekolah itu sedikit tinggi, tetapi saya terus mengesot untuk naik ke tingkat atas selain terpaksa untuk menggunakan tandas di tingkat bawah sahaja," katanya.

Namun, dia tidak menjadikan cabaran itu sebagai penghalang untuknya terus berjaya dalam bidang itu sehingga kehadirannya disenangi oleh guru-guru lain di sekolah tersebut.

Selepas tiga tahun, Huzaire mengambil keputusan untuk berpindah berikutan pujukan ibu bapa yang sering menziarahinya hampir setiap minggu bagi melihat keadaannya.

305622919_502309408564579_6791005666468369435_n

Bagi Huzaire, kekurangannya mampu menjadi sumber kekuatan. Facebook/Cikgu Mohd Huzaire Haji Ahmad

Persoalan di atas kemampuannya sekali lagi dipersoalkan apabila dia berjaya menempatkan diri di sebuah sekolah pada 2005, terutama daripada pihak pentadbiran.

"Pentadbir kadang-kadang memberikan saya tugasan yang ala kadar sahaja, menilai saya lebih kurang kerana pada mereka, kami yang OKU ini dicop sebagai seorang yang tidak mampu.

"Tetapi, saya teruskan juga dan saya mencabar diri sendiri sehingga membolehkan saya menerima jawatan Guru Cemerlang Pendidikan Muzik pada 2011 hingga 2016," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Duta Guru Nadi Negara Kementerian Pendidikan (KPM) 2019 itu juga pernah berdepan hinaan dan tohmahan daripada rakan sekerja.

"Saya juga pernah dihina sebagai cacat daripada rakan sejawat pada 2006, iaitu seminggu selepas saya berkahwin kerana kemungkinan guru itu tidak berpuas hati akan jodoh saya itu.

"Saya rasa, sepanjang 20 tahun saya bergelar seorang cikgu, adalah lebih banyak pahit berbanding manis kerana mereka seakan-akan tidak mahu saya berada di tahap yang lebih tinggi berbanding mereka," katanya.

Perkara itu menunjukkan bahawa kesungguhan Huzaire sebagai seorang guru tidak boleh dipersoalkan setelah sumbangannya berjaya menarik perhatian daripada semua pihak.

PENCAPAIAN ATAS KOMITMEN

Setelah bertahun-tahun bergelar sebagai seorang warga pendidik, usaha yang ditonjolkan Huzaire akhirnya membuahkan hasil selepas berjaya mengharungi setiap halangan yang mendatang.

"Daripada 20 tahun saya mengajar, banyak anugerah yang telah saya terima seperti dua kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan beberapa kali menerima Anugerah Guru OKU Kebangsaan.

"Saya juga ada terima Anugerah Guru FELDA Kreatif 2020 dan Anugerah Guru Inovatif peringkat negeri Pahang pada 2009 selain Tokoh OKU Cemerlang negeri Pahang 2018 dan banyak lagi sehingga saya sendiri lupa," katanya.

Tambahnya, dia juga sering terlibat dalam pertandingan anjuran negeri dan kebangsaan dalam bidang muzik walaupun pergerakannya sedikit terhad berikutan keadaannya itu.

Namun, berikutan keadaan kesihatannya yang sedikit terjejas, Huzaire terpaksa mengehadkan penglibatannya dalam segala jenis pertandingan bagi memastikan kesannya tidak terus berlanjutan.

Selain itu, dia juga memilih untuk bergiat dengan aktif dalam membela nasib dan membantu golongan OKU menerusi pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Bukan sahaja dalam bidang pendidikan, saya juga nampak bahawa OKU memerlukan saya untuk membimbing mereka sehingga tertubuhnya Persatuan OKU Bentong.

"Saya juga sudah mengalihkan perhatian saya untuk membimbing rakan-rakan dan anak-anak murid yang juga bergelar seorang OKU dengan menghantar mereka bagi menyertai penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA)," katanya.

CORETAN DAN LEGASI

Selepas menerima pelbagai pencapaian atas sumbangannya, tidak hairanlah apabila koleksi sijil dan pingatnya berada dalam jumlah yang tersendiri.

Oleh itu, bagi memperingati segala liku-liku perjalanan sepanjang bergelar seorang cikgu, Huzaire sedang dalam usaha untuk menubuhkan sebuah galeri bagi mengumpul kesemua pencapaian itu.

"Sekiranya orang ramai melayari laman Facebook peribadi saya, mereka akan nampak segala pencapaian dan kesemua sijil yang telah diterima selain beberapa trofi di rumah," katanya.

298570470_478138404315013_8997372561630694622_n

Huzaire tidak pernah kenal erti penat lelah ketika bergelar seorang guru. Facebook/Cikgu Mohd Huzaire Haji Ahmad

Selain itu, segala kenangan baik dan buruk yang pernah dialaminya sedang diolah dalam bentuk penulisan untuk dijadikan sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

"Saya pun sedang menulis buku Guru Inspirasi yang mungkin 10 tahun lagi, buku itu sekurang-kurangnya dapat mengisi masa lapang saya jika saya pencen dalam tempoh itu.

Catatan itu pastinya mampu menjadi satu pendorong semangat kepada orang ramai yang tidak terhad kepada golongan OKU apabila cabaran yang dihadapinya cukup memberi inspirasi kepada para pembaca.

LAMAN FACEBOOK GURU OKU MALAYSIA

Apabila Huzaire terus mencetuskan fenomena dalam kalangan warga pendidik, keadaannya yang kurang berupaya menarik perhatian daripada guru-guru yang berdepan nasib yang sama.

"Sebelum ini, ketika berada di media sosial, saya ada nampak bahawa terdapat guru yang menghidapi strok ataupun terlibat dalam kemalangan mengikuti kisah yang dikongsikan.

"tetapi, apabila saya melihat laman peribadi mereka, ia menunjukkan bahawa guru-guru itu berada dalam keadaan yang tidak bersemangat dan ia mencetuskan idea ini," kongsinya.

Oleh itu, bagi memastikan sumbangan dan bantuannya tidak terhad dan mudah diterima ramai, Huzaire mengambil keputusan untuk menubuhkan satu laman Facebook bagi memberi kesedaran kepada pengguna media sosial.

Menggunakan cogan kata 'Mendidik sampai mati', guru ini turut berharap penubuhannya dapat dimanfaatkan cikgu-cikgu yang kurang bersemangat dengan mengambil ikhtiar dan iktibar daripada perkongsian itu.

Di samping itu, platform tersebut juga memberi ruang dan peluang kepada guru-guru OKU seluruh negara dalam menubuhkan satu hubungan yang lebih akrab antara mereka.

"Saya berfikir, saya hendak mengumpulkan kesemua adiwira-adiwira ini yang sanggup bersusah payah untuk mengajar walaupun berada dalam keadaan sebegini," katanya.

295960890_471973964931457_9183416816238654783_n

Kisah Huzaire wajar dijadikan sumber inspirasi kepada masyarakat. Facebook/Cikgu Mohd Huzaire Haji Ahmad

Jelasnya lagi, dia juga berharap inisiatif yang dilakukan itu dapat menarik perhatian pihak KPM sehingga membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan ujian yang mendatang menerusi satu program bual bicara.

Hasrat itu adalah bagi membolehkan para guru OKU untuk menceritakan perihal dan cabaran kepada guru-guru bermasalah untuk memberikan motivasi dan dorongan kepada mereka.

"Kalau orang lain, mereka hanya menggunakan seperti satu kudrat, tetapi kami perlu menggunkan kudrat dengan dua kali ganda, tetapi kami tetap teruskan juga," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram