Digelar JDT versi wanita, skuad Milah tak sabar nak ratah juara bertahan Piala Tun Sharifah Rodziah 2022


  • Podium
  • Sabtu, 10 Sep 2022

Aksi final PTSR 2022 akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur esok.

DI sebalik kemeriahan pentas akhir Piala FA, ada satu lagi yang mencuri tumpuan peminat bola sepak khususnya wanita iaitu final antara Negeri Sembilan dan Melaka United bagi merebut kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022 pada Ahad.

Kedua-dua pasukan berkenaan mara ke final selepas menewaskan Sabah dan Selangor di peringkat separuh akhir.

Meskipun bakal menentang juara bertahan PTSR iaitu Melaka United, namun Negeri Sembilan Wanita FC (NSW) tahun ini sering membuat kejutan sehingga digelar sebagai Johor Darul Takzim (JDT) versi wanita kerana sering mencatatkan kemenangan besar.

Sebelum ini, Skuad Milah menggegarkan Liga Wanita Nasional (LWN) 2022 apabila membelasah DCL FC dengan keputusan 22-0 sekitar Julai lalu.

Ketua pasukan NSW FC, Malini Nordin juga terharu apabila dia dan rakan-rakan sepasukan disamakan dengan JDT versi wanita, sambil menyifatkan itu sebagai satu penghormatan buat pasukannya.

Baginya, perjalanan dari peringkat kumpulan sehingga ke pentas akhir juga merupakan satu perkara yang dia dan rakannya syukuri.

“Itu rezeki kami bila orang cakap kami JDT versi wanita. Semua itu kami perolehi dengan adanya bantuan pengurus, bantuan dari jurulatih.

“Apa orang cakap itu adalah satu inspirasi untuk kami. Kami masuk separuh akhir pun sudah jadi sejarah untuk Negeri Sembilan. Kerana sebelum ini selalu habis pada peringkat kumpulan sahaja,” katanya kepada Majoriti selepas sidang media praperlawanan final PTSR pada Sabtu.

WhatsApp Image 2022-09-10 at 4.27.07 PM-2

Negeri Sembilan berjaya menewaskan Sabah untuk mara ke peringkat akhir PTSR.

Meskipun pada mulanya mendapat tentangan awal dari keluarga dalam kerjaya bola sepaknya, Malini kini dapat membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu mencapai sesuatu yang besar dalam dunia sukan nombor satu Malaysia itu.

Pemain yang menjadikan Amri Yahyah dan Cristiano Ronaldo sebagai idola itu berharap akan mampu membawa pulang piala berkenaan sekali gus menggembirakan penyokong NSW FC.

Dalam pada itu, skuad Milah mengakui menentang pasukan Melaka United pada Ahad ini merupakan cabaran getir, selain tidak memandang mudah kehebatan kapten lawan, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh.

“Kami buat persediaan yang agak sempurna, dibantu oleh Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan. Ia banyak membantu penambah baikan dari segi taktikal, tapi tekanan tetap ada.

“Seperti yang diketahui, kami berada di Zon Selatan. Semua tahu kapten Melaka memang ada aura dia. Bahagian sayap kanan, sayap kiri mereka dan yang menggerakkan pasukan adalah Steffi Sarge,” ujar pembantu jurulatih, Masmalhadi Shukor.

Sementara itu, bagi Steffi Sarge, tekanan sebagai ketua pasukan Melaka United sememangnya ada tapi dia percaya akan kerjasama dari rakan sepasukannya.

WhatsApp Image 2022-09-10 at 4.27.07 PM

Aksi final akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur esok.

Malah, bekas kapten Malayan Tigress itu juga berharap akan dapat mempertahankan kejuaraan kejohanan itu.

“Saya tidak nak letak apa-apa tekanan. Apa yang berlaku esok (Ahad) adalah cerita kedua. Saya berharap kami akan bagi 300 peratus esok.

“Dua-dua pasukan memang hebat. Lagipun sebelum ini kami pernah jumpa pada peringkat Zon Selatan. Jadi siapa yang usaha lebih, akan menang esok,” ujarnya.

Aksi final akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur Ahad ini manakala penentuan tempat ketiga dan keempat antara Sabah dan Selangor berlangsung di JSA Arena, Setia Alam, Selangor pada Sabtu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram