Pernah tidur berhimpit 8 beranak dalam 'reban ayam', ibu tunggal kini usahawan pandan wangi berjaya


Kamariah kini bergelar usahawan pandan wangi berjaya selepas mengharungi episod gelap kehidupannya yang penuh liku. — Facebook/Amanah Ikhtiar Malaysia

UJIAN dan dugaan tidak pernah lekang daripada hidup seseorang dengan kesusahan itu menjadi penanda aras dalam menentukan sama ada seseorang itu tekad untuk berjaya atau tidak.

Bagi setiap insan, cabaran itu pasti berbeza dan masing-masing pasti mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi masalah itu walaupun tidak mengetahui liku-liku yang akan dihadapi.

Perkara itu pasti dirasai seorang ibu tunggal, Kamariah Md Yatim yang tidak pernah mengenali erti putus asa walaupun ujian tidak putus-putus menimpanya.

Ketiadaan bekas suami yang menjatuhkan talak hampir 20 tahun lalu sememangnya sukar dilupakan apabila wanita kental itu ditinggalkan bersama lapan cahaya mata.

"Ketika dicerai pada 2000, anak saya yang paling tua baru sahaja menamatkan pengambilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sementara yang bongsu baru sahaja berusia satu tahun.

"Selepas sahaja suami saya menjatuhkan talak, dia pergi begitu sahaja. Ke mana saya nak bawa kesemua lapan anak saya?" katanya sambil mengenang episod gelap itu dalam sebuah video TikTok.

Tambahnya, bebanan itu serba sedikit dibantu adik ipar yang menjaga anaknya yang berada di bangku persekolahan tatkala ujian akhir tahun semakin hampir.

Bagaimanapun, kesusahan masih dirasai apabila kesesakan kewangan menyukarkan proses pembelajaran, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan buku dan alat persekolahan buat anak-anaknya.

Tidak cukup dengan itu, Kamariah bersama anak-anaknya juga pernah menjadikan pondok kecil sebagai tempat teduhan selepas tiada tempat untuk 'bersandar' buat seberapa lamanya.

"Jadi, apabila ayah saya melihat keadaan saya sebegitu, dia berikan sebidang tanah kosong sebelum abang ipar saya bantu untuk membina 'reban ayam' seperti yang dikatakan tadi.

"Dengan hanya menggunakan zink dan tidak menggunakan banyak kemahiran, terhasillah sebuah 'rumah'. Lantai pun hanya menggunakan tikar sahaja dan kami semua tidur dalam pondok kecil itu," katanya.

Namun, meskipun nasibnya sudah menjadi seburuk itu, kebahagiaan masih dapat dirasakan apabila dia tidak lagi perlu bergantung terhadap suaminya yang baru sahaja menjatuhkan talak.

Selain itu, wanita cekal itu turut memberitahu, hasil-hasil bumi menjadi sumber rezeki demi kelangsungan hidup dengan turut dibantu anak-anaknya yang tekad meringankan beban ibu.

"Anak saya bersekolah tetapi bantu petik pucuk ubi, cari daun pandan dengan seawal pukul enam pagi perlu meninggalkan rumah untuk mencari daun-daun itu.

"Selepas itu, kami sekeluarga keluar pula membawa guni untuk mencari kangkung dalam tali air dan parit sekitar kampung meskipun terpaksa bermandi air kotor," katanya sebak.

Lebih menyayat hati, Kamariah juga pernah terfikir untuk mengambil nyawa sendiri dan anak-anak selepas dirasakan tidak dapat lagi menahan bebanan yang dilihat tidak ada hujungnya.

"Pernah saya balik dari mencari pucuk ubi, anak menangis kerana kelaparan dan tidak mendapat susu. Jadi, apabila saya lihat kepada baki beras, ada sedikit baki.

"Tetapi, dalam fikiran saya, akan aku bunuh kesemua tujuh anak-anak termasuk diri sendiri, kerana biarlah kami semua meninggal dunia secara bersama-sama," kongsinya.

WhatsApp Image 2022-10-02 at 21.21.40

Air mata sering membasahi pipi Kamariah apabila mengenang nasibnya sebelum ini. Facebook/Amanah Ikhtiar Malaysia

Jelasnya, rancangan itu akhirnya gagal apabila ibunya tiba-tiba hadir dan segara menasihatinya untuk memikirkan semula tindakan tidak waras yang cuba dilakukan itu.

"Tetapi, entah bagaimana, emak saya datang ketika sedang menuang racun ke dalam beras dan terus mengingatkan saya untuk mengucap serta mengenang semula nasib anak-anak," katanya dengan beremosi.

Namun, nasib buruk yang menimpa Kamariah segera menemui penamat apabila dia diberikan bantuan dan dorongan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Selain diberikan bantuan, pihak tersebut juga memberikan kesempatan buatnya menimba serba sedikit ilmu dalam bidang keusahawanan bagi membuka lembaran baharu.

"Sejak menyertai badan NGO itu, saya tamatkan pembelajaran bersama mereka sebelum membuat pinjaman sebanyak RM2,000 dan daripada titik itulah, saya berjaya mengubah nasib.

"Tetapi, apabila saya menerima pinjaman itu, duit itu tidak dihabiskan sewenang-wenangnya dengan diberikan kepada anak-anak bagi perbelanjaan persekolahan," katanya.

Tegas ibu penyayang itu, dia tidak memberi tumpuan di atas kesusahan diri sendiri dan menjadikan kebajikan kesemua anaknya sebagai tumpuan dalam hidupnya itu.

Selain itu, Kamariah berkata, dia juga pernah membuat pinjaman sebanyak RM50,000 untuk membeli sebidang tanah bagi memulakan perusahaan dan penanaman pandan wangi.

Kini, wanita tersebut bergelar usahawan yang mampu menghasilkan tanaman pandan sehingga beratus-ratus kilogram dalam setiap tuaian hasil titik peluhnya sendiri.

Usahanya itu juga jelas membuahkan hasil apabila dia pernah membawa pulang Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 yang diserahkan pihak Amanah Ikhtiar Malaysia.

Jadi, jelas buat Kamariah bahawa titik peluh dan kesungguhan yang dihadapi berpunca daripada sikap tidak pernah mengenal erti penat lelah meskipun menghadapi 1001 ujian dan cabaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram