Bakat tanpa sempadan, kenali 7 artis negara jiran berpengaruh besar di Malaysia


  • Hiburan
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Antara artis terkenal berasal dari kota singa Singapura yang diminati ramai dan mempunyai pengaruh besar dalam industri hiburan tanah air.

MALAYSIA dan Singapura merupakan dua buah negara yang saling melengkapi daripada segi ekonomi, pelancongan mahupun industri seni negara.

Paling mencuri perhatian, industri hiburan tanah air kini semakin rancak dan dimeriahi dengan kedatangan artis selebriti yang berhijrah ke Malaysia bagi melebarkan kerjaya dan bakat seni mereka.

Tidak kira sama ada artis lama ataupun baharu, masing-masing mempunyai bilangan peminat dan penyokong yang ramai berbekalkan bakat seni yang dimiliki.

Berikut Majoriti senaraikan tujuh artis selebriti yang berasal dari Singapura yang kian dikenali dan mempunyai pengaruh besar di negara ini.

mnasir

Datuk M. Nasir

Dilahirkan di Singapura pada 4 Julai 1957, Datuk M. Nasir, 65, atau nama sebenarnya, Mohammad Nasir Mohamed merupakan satu nama yang besar dalam industri muzik negara.

Menerima jolokan 'sifu' dalam kalangan penggiat seni negara, Datuk M. Nasir merupakan seorang pelukis, pelakon dan komposer terkenal yang telah menghasilkan ratusan lagu hits waima di Malaysia mahupun Singapura.

Antara nama besar yang pernah meningkat naik di bawah tunjuk ajar beliau termasuklah Siti Roziana Zain lebih dikenali sebagai Ziana Zain, 54, Datuk Hattan Shahabudin (Hattan), 57, kumpulan Spider dan Search.

Selain itu, antara filem lakonannya yang pernah mencetuskan fenomena adalah Selubung (1992), Merah (1997), Puteri Gunung Ledang (2004) dan Tombiruo: Penunggu Rimba (2017). Beliau dilaporkan telah mendapat kerakyatan Malaysia pada 1989.

na

Nadiyah Shahab

Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, 31, atau lebih dikenali sebagai Nadiyah Shahab memulakan kerjaya di negara kelahirannya, Singapura sebagai model dan pengacara bagi sebuah rancangan travelog yang bersiaran di stesen televisyen negara itu.

Mula melebarkan sayap sebagai seorang pelakon di Malaysia sekitar tahun 2018, Nadiyah membuat penampilan pertamanya menerusi drama yang diadaptasi daripada novel 'Encik Suami Mat Salih Celup'.

Selain daripada pengacara dan pelakon, Nadiyah kini bergelar seorang usahawan berjaya apabila produk kek di bawah jenama 'Absolut Chocolat' yang diusahakannya semakin dikenali ramai.

hanna

Hannah Delisha

Pelakon cantik, Hannah Adlina Blackburne Birch, 25, ataupun Hannah Delisha juga merupakan salah seorang artis yang berasal dari Singapura.

Namanya mula meniti di bibir peminat menerusi lakonan mantap dalam drama adaptasi novel 'Mencintaimu Mr. Photographer' pada 2017.

Merupakan penyanyi di negara kelahirannya, Hannah boleh menguasai lebih daripada 10 lagu pelbagai bahasa antaranya lagu Hindi, Jepun, Arab, Sepanyol dan Cina hasil tunjuk ajar daripada ibunya.

Pelakon cantik ini selamat diijabkabulkan pada 18 Febuari 2021 bersama pasangannya, Muhammad Imam Shah Abdul Mutalib, 34, setelah lima tahun menyulam cinta.

hisya

Hisyam Hamid

Bermula sebagai seorang pelakon dan pengacara di Singapura, Hisyam Hamid, 37, memulakan kerjayanya sebagai seorang ahli bomba di negara kelahirannya.

Mempunyai senyuman yang memikat dan pandangan yang mampu mencairkan hati para gadis, populariti Hisyam mula meningkat naik menerusi watak Harith yang dibawanya dalam drama 'Ariana Rose' pada 2013.

Pembabitannya dalam industri hiburan tanah air amat diminati peminat khususnya golongan wanita, namun jejaka kacak ini telahpun bergelar suami kepada Rosmawati Hanafi, 41 dan juga ayah kepada dua orang anak.

hetty

Hetty Sarlene

Pernah membintangi filem Sembilu pada tahun 2005, Hetty Sarlene Abdul Hamid, 38, mula berkecimpung dalam dunia nyanyian apabila pernah memenangi anugerah 'Artis Singapura Terbaik' dalam Anugerah Planet Muzik 2006.

Setelah hampir 13 tahun menyepi daripada industri muzik, Hetty mengubati rindu peminat apabila membuat kemunculan semula dengan menyertai rancangan realiti Gegar Vaganza musim ke 5 pada tahun 2018.

Antara lagu yang terkenal dalam album 'The Best of Hetty Sarlene' adalah Siapa Diriku Di Sisimu, Cerita Dalam Lagu dan Satu Nama.

Erwin Dawson

Mohamed Erwin Shah Evan Dawson, 33, ataupun Erwin Dawson merupakan seorang pelakon yang dikenali ramai di Singapura menerusi drama lakonannya termasuk Di Luar Garisan (2013) dan 9 Nyawa (2014) yang bersiaran di saluran televisyen MediaCorp Suria.

Jejaka kacak berdarah kacukan Melayu dan New Zealand berasal dari Bukit Panjang, Singapura ini mula menceburi dunia seni sejak 2009 dan membina nama di Malaysia menerusi filem Cinta Kura-Kura (2012), Bisik Pada Langit (2017) dan Pulang (2018).

Turut menceburi dunia pengacaraan, Erwin pernah mengendalikan sebuah program bual bicara pagi, Feel Good Show di saluran NTV7 pada 2018.

ramli

Datuk Ramli M.S.

Datuk Ramli Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Ramli M.S. merupakan seorang pemuzik terkenal di Malaysia yang amat disegani dalam kalangan penggiat muzik tempatan.

Mesra disapa Tok Ram, nama beliau semakin dikenali dalam kalangan peminat tempatan apabila menjadi juri tetap di rancangan Gegar Vaganza sejak dari musim yang pertama sehingga kesembilan.

Meskipun tidak berpendidikan tinggi dan hanya bersekolah sehingga darjah enam, Tok Ram mula menyelami ilmu muzik pada usia 14 tahun melalui kaedah membaca dan perkongsian daripada insan seni.

Meraih pengalaman luas ketika menyertai industri muzik di Hong Kong, beliau kini menetap di Malaysia dan telahpun berkahwin dengan penyanyi terkenal, Noor Hasliah Abu Hasan atau lebih dikenali sebagai Datin Alyah, 41, pada 18 Mac 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram