PENANTIAN selama 17 tahun bergelar ibu tunggal akhirnya berakhir apabila Mas Idayu sah bergelar isteri kepada Penerbit Eksekutif stesen TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, pada jam 10.40 pagi dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Magica Quill Hall, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pasangan mempelai itu dinikahkan Imam dan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Ustaz Haji Azizi Abd Hamid berwalikan bapa pengantin perempuan, Mesnun Hassan.
Mas Idayu atau nama sebenar, Mas Idayu Mesnun, 50, menerima mas kahwin sebanyak RM1,001 selain dulang hantaran tujuh berbalas lima daripada pihak pengantin lelaki.
Mas Idayu sebak menjelang lafaz akad nikah dimajlis pernikahannya.
Berbusana Melayu dan baju kurung, kedua pengantin dilihat mengenakan pakaian berwarna merah jambu dan secara keseluruhan, majlis akad nikah serta resepsi yang akan diadakan pada malam ini mencecah nilai tajaan sebanyak RM8 juta.
Difahamkan, majlis resepsi bertemakan fantasi itu bakal mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dan ia akan didedahkan malam nanti.
Pasangan itu dikatakan mula mengenali satu sama lain menerusi program realiti nyanyian, Mentor 3 pada tahun 2008, namun hubungan yang dijalin bertukar menjadi hubungan serius sejak beberapa tahun lalu.
Selesai majlis pernikahan, Mas Idayu sempat memberikan ucapan buat peminat yang sentiasa menyokongnya.
"Terima kasih buat semua yang sentiasa mendoakan mummy dan akhirnya selepas 17 tahun saya bergelar seorang isteri semula, Alhamdulillah.
"Mohon semua untuk sentiasa mendoakan kebahagiaan kami berdua dan saya sangat gembira dengan pernikahan ini, terima kasih semua," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram