Hilang tiada ganti, 5 filem lakonan Bob Lokman buat hilangkan rindu


  • Hiburan
  • Selasa, 27 Sep 2022

5 filem lakonan Allahyarham Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman yang akan sentiasa diingati dan dikenangi sepanjang zaman oleh peminat.

MOHD Hakim Lokman atau lebih dikenali sebagai Bob Lokman merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni hiburan tanah air. Insan ini merupakan individu hebat yang disegani sehingga kini banyak menghasilkan lagu, lirik selain lakonan mantapnya.

Merupakan komposer, pelakon dan pelawak terkenal, Bob Lokman menghembuskan nafas terakhir di kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan pada usia 58 tahun akibat komplikasi jantung.

Berikut Majoriti menyenaraikan lima filem lakonan Allahyarham Bob Lokman yang tidak lapuk ditelan zaman.

Yes, Tuan!

Yes, Tuan! adalah sebuah filem genre komedi berkonsepkan keluarga Malaysia yang ditayangkan pada tahun 1996.

Cerita ini mengisahkan sebuah famili yang sering bertukar orang gaji susulan sikap anak-anak nakal dan suka mendatangkan masalah kepada pembantu rumah.

Pada satu hari, seorang lelaki menawarkan dirinya bekerja sebagai pembantu di rumah tersebut dan pelbagai adegan lucu dan mencuit hati dipaparkan menerusi watak tersebut.

Arwah Bob Lukman dan Sabri Yunus, 61, merupakan dua tunjang utama dalam karya berkenaan.

getaran

Getaran

Ditayangkan pada tahun 2001, sehingga kini filem ini masih relevan dan boleh ditonton seisi keluarga di laman sesawang internet dan saluran You Tube.

Filem cinta ini pernah mencetuskan sensasi dalam perfileman tanah air apabila berjaya mencatatkan sebanyak RM840,640 kutipan tiket di pawagam.

Dilakonkan oleh pelakon dan penyanyi terkenal Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie, 54, dan Fiza Halim, 41, sebagai watak utama, kehadiran Bob Lokman sentiasa mencuri perhatian dalam kalangan penonton apabila dia antara artis veteran yang membintangi filem itu.

Meskipun hanya selaku watak tambahan, kehadiran Bob Lokman dilihat sebagai pelengkap kepada filem tersebut menerusi lakonan mantapnya.

Jin_Notti01

Jin Notti

Merupakan filem ke empat terbitan KRU Studios, 'Jin Notti' turut dibintangi Allahyarham Bob Lokman yang membawa watak sebagai Jin Samsu.

Filem ini mengisahkan Notti yang dilakonkan Fara Fauzana, 42, seorang gadis jin yang sangat baik, lembut dan jujur yang dijatuhi hukuman penjara 'All Alone' oleh Majlis Penghakiman Jin yang diketuai Bob Lokman menerusi watak Jin Samsu.

Tayangan hari pertama filem ini berjaya mencatatkan hampir sejuta penonton menyerbu ke pawagam di seluruh negara.

Jin Notti turut dibintangi Farish Ramli atau lebih dikenali sebagai Cat Farish, 48, (Jinbara), Asmawi Ani ataupun Mawi, 41, (Aziz), Adam Corrie Abdullah, 54, (Taiko) dan ramai lagi artis terkemuka lain.

Zoo

Zoo merupakan sebuah filem komedi fantasi Malaysia diterbitkan pada tahun 2010 arahan Azhari Zain, 50, yang bertemakan kehidupan manusia dan haiwan.

Mengisahkan seorang jejaka bernama Saad atau Ad yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan, sikapnya yang ‘gila-gila’ membawa padah apabila diberhentikan kerja.

Bob Lokman yang memegang watak sebagai Encik Din merupakan pengurus di Zoo berkenaan dan merupakan antara watak utama yang menjadi tulang belakang kepada filem komedi itu.

Menampilkan ramai artis dan pelawak terkenal daripada kumpulan Senario, filem ini sememangnya menjanjikan keriangan kepada penonton yang menyaksikannya.

Sekali Lagi

Filem sulung arahan Hashim Rejab ini menampilkan Shaheizy Sam Abdul Samad, 40, Lisa Surihani Mohamed, 36, dan pelakon cilik Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 18, sebagai pelakon utama.

Merupakan filem terakhir lakonan Allahyarham Bob Lokman, ia ditayangkan di pawagam pada tahun 2011 dan meraih kutipan sebanyak RM3.4 juta dalam tempoh seminggu tayangan.

Menerusi filem ini, berlakon sebagai bapa kepada Sheila (Lisa Surihani), Allahyarham berperanan sebagai seorang ayah penyayang yang sentiasa memberikan sokongan serta pertolongan kepada anaknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram