SETIAP pasangan pastinya mahukan hubungan mereka kekal bahagia sehingga ke akhir hayat dengan insan yang dicintai dan dikasihi.
Rupa, darjat ataupun pangkat seseorang itu bukanlah syarat utama sesebuah hubungan kerana ia bersifat subjektif dan berbeza-beza mengikut kehendak individu.
Bercakap soal status perkahwinan, wanita berstatus janda sering menjadi tumpuan dalam kalangan lelaki bujang kerana rata-rata lebih tertarik dengan sifat kematangan dan pengalaman rumah tangga yang dimiliki.
Malah, tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka yang memiliki rupa paras dan bentuk badan menarik sekali gus mampu menyaingi gadis yang pastinya lebih muda.
Berikut Majoriti senaraikan lima artis janda 'hot' yang menjadi pilihan jejaka Malaya sebagai pasangan hidup.
Fasha Sandha
Pernah bergelar ibu tunggal selama tiga tahun, pelakon cantik ini pernah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli sekitar tahun 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, namun perkahwinan itu tidak berpanjangan apabila berakhir dengan perceraian pada 2016.
Meskipun gagal dalam perkahwinan terdahulu, kehidupan Fasha Sandha, 38, kian lebih bahagia apabila rezeki lakonannya tidak pernah putus dan ditambah pula dengan kehadiran seorang jejaka, Aidil Aziz, 35, dalam hidupnya. Mereka akhirnya disatukan pada tahun 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Bagai pinang dibelah dua, ternyata perkahwinan Fasha bersama Aidil dilihat lebih serasi dan menjadi inspirasi buat orang ramai di luar sana untuk tidak berputus asa dalam hubungan percintaan.
Memiliki semangat serta keinginan yang tinggi demi memastikan kebahagiaan anak-anaknya, sehingga ke hari ini Fasha masih bergiat aktif dalam dunia lakonan apabila sering muncul di kaca televisyen.
Rozita Che Wan
Merupakan artis janda 'hot' di Malaysia, nama Rozita Che Wan, 51, boleh dikatakan sentiasa terpaut di hati jejaka bujang mahupun duda kerana kecantikan wajah yang dimilikinya.
Lebih mesra disapa Che Ta, anak kelahiran Perlis ini pernah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, bagaimanapun hubungan itu berakhir dan kemudiannya mula menyulam cinta bersama pelakon, Zain Saidin, 38, yang difahamkan mula berputik menerusi drama 'Kiah Pekasam'.
Pada 13 Disember 2013, Che Ta dan Zain Saidin, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dan diwalikan oleh adiknya Roshidi Che Wan.
Menerima lebih RM13 juta tajaan untuk perkahwinan mereka, Che Ta menerima wang hantaran bernilai RM23,200, mas kahwin RM9,300 serta cincin nikah bernilai RM93,000 dan hasil perkahwinan kedua itu, dia dikurniakan cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang mewarisi kecantikan ibunya.
Sari Yanti
Wanita berdarah campuran Melayu dan Minang ini mula berjinak dalam dunia seni tanah air apabila memegang watak utama sebagai Kaisara dalam siri drama 'Kisah Kaisara' terbitan Ace Motion Pictures yang disiarkan di TV3.
Menamatkan zaman bujangnya pada 16 Januari 2009, namun perkahwinan itu tidak berpanjangan apabila Sari Yanti, 38, secara rasminya bercerai sekitar tahun 2015. Menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Barr Al-Aliy dan Baasit Al-Haq.
Selang beberapa tahun kemudian, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita perkahwinan Sari Yanti, 38 dan pelawak terkenal Muhd Nadzri Zainal Abidin, 37, atau lebih dikenali sebagai Jep Sepahtu pada tahun 2017.
Meskipun kenal dalam tempoh yang singkat, pelawak dan penyampai radio, Jep tidak teragak-agak untuk mengahwini Sari Yanti selepas menganggap ia adalah jodoh yang ditetapkan buat dirinya.
Sasha Saidin
Merupakan anggota ahli kumpulan 'Elite', kakak kepada pelakon Zain Saidin ini pernah mencetuskan sensasi dalam kalangan peminat tempatan satu ketika dahulu.
Kisah perkahwinannya agak menyedihkan apabila mengalami perpisahan sebanyak dua kali setelah gagal mempertahankan mahligai yang dibina bersama dua lelaki iaitu Johan Abdullah pada tahun 2003 dan Salyo Priyanto pada tahun 2007.
Namun kisah sedih itu akhirnya didatangi dengan berita gembira apabila Sasha Saidin, 46, akhirnya bertemu jodoh buat kali ketiga dengan jejaka pilihan hati, Sirhan Wahab, 45, pada tahun 2020.
Memegang status sebagai duda anak dua, sifat kematangan dan tanggungjawab yang dimiliki Sirhan membuatkan gadis berdarah campuran itu terpikat dan terbuka untuk menerimanya sebagai suami.
Watie
Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 46, sering dihimpit dengan kontroversi di awal pembabitannya dalam industri hiburan tanah air.
Merupakan ibu tunggal kepada seorang anak, Afiq Danial, 18, kisah hidupnya sentiasa terpalit dengan pelbagai tuduhan sehingga berstatus isteri kepada bekas penyanyi kumpulan Exist, Zulkifli Daud, 49, atau lebih dikenali dengan gelaran Joey dalam satu majlis perkahwinan secara tertutup pada tahun 2012.
Hubungan cinta antara mereka mula terjalin ketika pengambaran drama bersiri 'Blues Pasar Tani' sekitar tahun 2010 dan sehingga kini masih bergiat aktif dengan dunia lakonan dan nyanyian dan terbaharu, Watie dan kumpulan 'Elite' pernah membuat kemunculan sebagai peserta dalam rancangan Gegar Vaganza musim kelima pada 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram