10 penyakit 'kaki ride' tak masuk akal tapi nombor 4 dan 8 paling bahaya


  • Hobi
  • Rabu, 28 Sep 2022

Kehadiran geng konvoi memeriahkan lagi suasana di jalan raya. — Gambar hiasan/ Motorqar

SUASANA suram jalan raya sering kali bertukar meriah apabila konvoi motosikal mengisi ruang jalan sehingga membuat pengguna jalan raya lain terpegun melihat aksi mereka.

Kumpulan yang digelar mat motor atau kaki ride ini sering kali tampil dengan warna pakaian, topi keledar dan jenis motor yang seragam sekali gus menampilkan pesona gah di mata orang lain.

Biarpun kadang-kadang dikaitkan dengan konotatif negatif seperti mat rempit, namun kumpulan-kumpulan kaki ride ini tetap tumbuh bagai cendawan selepas hujan di Malaysia.

Apatah lagi dengan banyak keluaran motosikal jenis baharu, maka lebih banyaklah geng kaki ride ini membentuk kumpulan atau persatuan mereka sendiri sama ada mengikut jenis atau jenama motosikal.

Lumrah dalam mana-mana kumpulan atau persatuan, pasti ada ragam ahlinya yang kadang-kadang kala tidak tercapai dek akal dan penyakit ini juga turut meresap dalam kalangan riders.

Berikut merupakan 10 'penyakit' riders yang ada di Malaysia berdasarkan perkongsian yang diterima Majoriti bersama penggemar konvoi motosikal.

1. Kaki sembang kencang

Golongan ini kalau bersembang kalah ahli politik masa kempen Pilihan Raya Umum. Semua idea daripada jenis baju, destinasi dan aktiviti dikongsi mereka kepada kawan-kawan riders.

Tapi bila hari kejadian, batang hidung pun tak nampak. Tiba-tiba ada hal penting katanya. Itu tak termasuk lagi dengan cerita dia pernah buat perkara yang orang tak lain tak mampu buat.

Bagi kaki 'up to date', kelengkapan aksesori perlu sentiasa yang terbaharu.

2. Kaki up to date

Setiap kali perjumpaan mesti ada pasang aksesori baharu. Mereka ini tukar aksesori atau tukar motorsikal lebih kerap berbanding pergi konvoi.

Setiap kali keluar rumah, pasti lengkap dengan jaket, sarung tangan, boots dan sebagainya. Kalau masa konvoi, singgah ke kedai aksesori, tak pernah balik tangan kosong.

3. Kaki buat duit

Ini boleh dikatakan golongan berfikiran bisnes. Mereka orang yang tawarkan diri untuk buat baju, topi atau aksesori pada setiap konvoi.

Pada mereka, setiap perjumpaan adalah peluang menjana kewangan. Masalah mereka ini, buat baju guna nama kelab, tapi apabila minta sumbangan untuk dana tabung kelab, ada sahaja alasannya.

4. Kaki pecah kumpulan

Nama lainnya, kaki sentap. Golongan ini lantang memberikan pendapat dan idea mereka, namun sekiranya tidak diterima, mereka terus protes dengan keluar kumpulan dan buat kumpulan lain. Pendek kata, mereka ini gila kuasa.

Sesetengah konvoi motor membolehkan penunggang membonceng awek mereka. — Gambar hiasan/Palesit Selatan

5. Kaki chinggey

Setiap kali konvoi pasti jadi tumpuan geng-geng sebab awek yang dibonceng kadang-kala bertukar.

Golongan ini memang suka menunjuk depan kawan-kawan macam dia tu jejaka terhangat di pasaran. Kalau ada geng macam ini, cepat-cepat minta dia belanja makan, pasti OK sahaja.

Tapi kaki chinggey ini juga boleh jadi punca lesen kaki ride yang sudah berbini kena tarik.

Mana tidaknya, pasti bini atau isteri tak bagi ikut konvoi sebab takut nanti bawa balik madu.

6. Kaki pinjam

'Benda boleh pinjam, buat apa beli' adalah falsafah golongan ini. Kalau boleh semua dia nak pinjam dari aksesori sehinggalah motorsikal itu sendiri.

Golongan ini juga suka berjimat. Waktu masa makan bersama, masa bayar dia hilang ke tandaslah, lupa bawa dompetlah.

7. Kaki santai tapi laju

Golongan ini boleh dikatakan golongan paling rendah diri. Kalau ditanya tentang pelan konvoi, pasti dia jawab dia nak santai-santai sahaja.

Tapi bila atas jalan sahaja, terus tekan minyak laju ke hadapan. Paling tak boleh tahan, dia boleh tunggu kawan-kawan dekat check point sambil hisap rokok.

Influencer riders

Sesetengah penunggang gemar untuk ambil gambar pada setiap kesempatan terluang. — Gambar hiasan/Japan news

8. Kaki scammers

Orang-orang sebegini ikut konvoi, kemudian buat cerita sedih tentang keluarga dan sebagainya. Mereka ini akan pinjam duit dengan rakan-rakan riders lain.

Jangan tak tahu, ada rider pernah kena tipu kad kredit sampai RM48,000 sehingga jadi kes polis.

9. Kaki CCTV

Mereka ini kira introvert untuk kumpulan tersebut. Ada dua jenis, satu tiba-tiba muncul masa konvoi, satu tak pernah muncul langsung.

Kadang-kadang tak sedar pun mereka ada dalam konvoi sebab mereka tidak banyak bersuara.

10. Kaki influencer

Asal turun je dari motorsikal sahaja nak berswafoto. Kalau gambar kumpulan, pasti dia akan berlari ke bahagian tengah.

Orang lain tak perlu risau kat mana dah kumpulan konvoi ini sebab nanti dia akan update dekat sosial media dengan butiran-butiran sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram