BUNYI desingan enjin dan kelajuan sekilas mata pacuan empat roda di litar perlumbaan sememangnya memberikan kepuasan tersendiri buat penggemar sukan pemotoran.
Biarpun sudah tidak terlibat dengan sukan tersebut secara profesional, mereka pasti akan kembali ke litar dengan cara berbeza bagi meneruskan hobi tersebut.
Situasi ini sinonim dengan pemilik nama Fahrizal Hasan yang baru-baru ini menganjurkan Perhimpunan dan 'Track Night' CIVIC FK8 TYPE-R di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur.
Acara yang menghimpunkan model tunggal Honda Civic FK8 Type-R dari 2017 sehingga 2021 itu adalah usaha sama komuniti pengguna Honda Civic FK8 Type-R.
Untuk rekod, komuniti pengguna Honda Civic FK8 Type-R telah mula ditubuhkan pada 2018 dan kini telah mempunyai seramai 354 ahli berdaftar.
Sebanyak 120 buah kereta Honda Civic FK8 Type-R berjaya dihimpunkan pada Jumaat lalu.
Tujuan kumpulan ini ditubuhkan adalah untuk mengumpulkan pengguna-pengguna Honda Civic FK8 Type-R dari seluruh Malaysia dan membentuk satu komuniti untuk berkongsi pendapat dan minat mereka terhadap kereta.
"Perhimpunan ini boleh dikatakan bersejarah kerana kami menghimpunkan sehingga 120 lebih kereta. Saya berbangga menjadi sebahagian daripada komuniti ini.
"Ada di antara pemilik Honda Civic FK8, yang masih belum berkesempatan untuk menguji prestasi jentera mereka.
"Jadi kami menganjurkan acara ini, untuk memberi peluang kepada semua pemilik Honda Civic FK8, untuk mengasah kemahiran pemanduan mereka sambil menguji prestasi jentera mereka, di tempat yang betul dan lebih selamat.
"Acara ini juga sebagai persediaan bagi menyertai acara yang lebih besar yang akan diadakan pada hujung tahun ini, yang mana kami akan mengumpulkan lebih banyak model Type R, dari Malaysia dan Singapura," katanya kepada Majoriti.
Fahrizal berharap dapat mengumpulkan lebih banyak model Type R pada masa hadapan.
Mengimbau kembali detik pertama kali jatuh hati terhadap pacuan empat roda, Pengarah Haro Sport and Entertainment Sdn Bhd itu mendedahkan bahawa bapa saudaranya, Azmi Abd Karim merupakan pemicu kepada minatnya terhadap jentera empat roda itu.
"Pak cik sebelah mak saya yang paling muda suka dengan kereta. Dia dulu selalu bawa saya naik kereta sekeliling taman rumahnya dan kadang-kala dia benarkan saya pegang stereng.
"Waktu itu, umur saya sekitar lapan hingga sembilan tahun. Di situ, saya cuba banyak kereta, Alfa Romeo, Land Rover, Fiat dan sebagainya.
"Secara profesional, saya bermula dengan Formula 2000. Saya mula-mula main go-kart dulu, kemudian perlahan-lahan pergi ke single sitter, GT Car dan seterusnya.
"Dulu saya memang berazam nak sertai pasukan ini dan pasukan itu, tapi kini sudah tak serius macam dulu. Sekarang lebih kepada hobi mengisi masa lapang," jelasnya.
Fahrizal pernah bergelar pemandu litar profesional satu ketika dahulu.
Biarpun enggan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai koleksi kereta yang dimilikinya, Fahrizal akui suka melakukan perubahan pada kereta miliknya namun bukan pada aspek estetik.
"Saya suka beli bahagian-bahagian kereta. Tapi sedikit demi sedikit. Pada saya kalau buat semua sekali gus, saya akan rasa bosan.
"Saya suka tengok perubahan yang berlaku. Saya suka lakukan perubahan pada bahagian handling agar kereta saya lebih laju. Itu kepuasan bagi saya.
"Tukar suspension, ubah semuanya kepada bahagian yang lebih ringan dan menggunakan carbon fibre pada bahagian-bahagian tertentu.
"Jadi, kereta saya lebih ringan berbanding dengan kereta asli. Saya tak banyak ubah bahagian enjin dan saya tak minat aspek estetik," katanya.
Fahrizal turut berkongsi lima tip sebelum menyertai perlumbaan dalam trek:
1. Pastikan kereta dalam keadaan baik
Jangan disebabkan kita rasa kereta tu dalam keadaan baik, kita bawa sahaja ke trek. Penting untuk servis kereta dahulu sebelum bawanya ke trek perlumbaan.
2. Semak peraturan trek
Peraturan ini biasanya melibatkan keselamatan seperti peraturan memotong, jenis dan bentuk trek dan sebagainya.
3. Bawa kereta untuk pandu uji
Penting untuk pandu uji untuk lihat sama ada timbul masalah berbangkit berkaitan kereta ketika berlumba dalam trek nanti.
4. Pastikan anda ada ambil insurans keselamatan.
Memandangkan kereta akan dipandu dalam keadaan laju dan kompetitif, pengambilan insurans penting sebagai pelindungan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram